Now Reading
Gelje Sherpa Selamatkan Pendaki Malaysia Dari ‘Zon Mati’ Di Gunung Everest

Gelje Sherpa Selamatkan Pendaki Malaysia Dari ‘Zon Mati’ Di Gunung Everest

Gelje Sherpa menemukan pendaki tersebut sedang berpaut pada tali dan terketar-ketar kesejukan ketika membawa seorang pendaki lain menaiki gunung Everest.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Seorang pendaki dari Malaysia berjaya diselamatkan setelah seorang sherpa berbangsa Nepal membawanya turun daripada bahagian ‘zon mati’ gunung Everest, lapor Reuters.

Gelje Sherpa yang berusia 30 tahun sedang membawa seorang pendaki dari China dalam misi menawan puncak gunung Everest pada pertengahan Mei. Dia kemudiannya menemukan pendaki Malaysia itu sedang memaut pada tali dalam keadaan terketar-ketar akibat suhu sejuk yang melampau.

Gelje Sherpa meyakinkan pendaki dari China tersebut untuk membatalkan misi menawan puncak Everest dan mula menyelamatkan pendaki Malaysia tadi. Katanya, menyelamatkan nyawa adalah lebih penting berbanding berdoa di tempat khas di puncak gunung itu.

Duit boleh dicari bila-bila masa. Jika kami tinggalkan dia di situ, sudah pasti dia tidak akan selamat. Kami telah menyelamatkan nyawanya dengan membatalkan pendakian ke puncak gunung.

Gelje Sherpa

‘Zon mati’, tempat mangsa ditemui adalah kawasan di mana suhu boleh menjunam sehingga negatif 30 darjah Celsius dan kurang.

Menurut Gelje, dia menarik pendaki tersebut turun 600 meter daripada kawasan Balkoni ke South Kol dalam masa enam jam. Kemudian, seorang pemandu lain, Ngima Tashi Sherpa membantunya.

Pendaki tersebut dibalut di dalam lapik tidur dan ditarik secara bergilir-gilir hingga tiba ke Kem III. Gelje berkata mereka terpaksa mengendong mangsa di belakang apabila melalui kawasan yang berbatu.

Ngima Tashi sedang mengangkat mangsa. Kredit gambar: Gelje Sherpa/ Instagram

Setibanya di Kem III, sebuah helikopter membawa mangsa turun dari ketinggian 7,162 meter itu ke kem pangkalan. Mangsa dilaporkan telah dihantar pulang ke Malaysia minggu lepas.

Bigyan Koirala, pegawai di Jabatan Pelancongan Nepal berkata misi menyelamat pada ketinggian sedemikian adalah sangat jarang dan hampir mustahil untuk berjaya.

Bagi tempoh mendaki gunung Everest antara Mac dan Mei tahun ini, Nepal telah mengeluarkan sebanyak 478 permit.

Jumlah kematian setakat ini adalah yang tertinggi sejak lapan tahun lepas, dengan 12 pendaki tidak dapat diselamatkan dan lima orang lagi masih tidak dapat dijumpai.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd