Now Reading
Rakyat Malaysia Luah Kekecewaan Dilarang Keluar Dari Hotel Di Bali, Indonesia. Ini Sebabnya

Rakyat Malaysia Luah Kekecewaan Dilarang Keluar Dari Hotel Di Bali, Indonesia. Ini Sebabnya

Seorang wanita dikenali sebagai Miyabell berkata dia terpaksa memanjangkan tempoh bercuti di Bali, Indonesia akibat larangan keluar dari kediaman pada Hari Nyepi yang berlangsung hari ini (11 Mac).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila bercuti ke sesebuah negara luar, sudah pasti anda berharap rancangan serta itenerari berjalan dengan lancar.

Mana tidaknya, melancong ke luar negara bukanlah satu pengalaman yang sering dilalui buat segelintir individu. Mungkin ada yang pergi sekali pada setiap tahun?

Oleh disebabkan itu, ramai di kalangan pelancong membuat kaji selidik tentang destinasi yang ingin dituju termasuklah budaya, kaum, cuaca dan sebagainya. Namun begitu, ada juga kes di mana percutian seseorang tidak berjalan lancar walaupun telah bersiap sedia.


Wanita Hampa Tak Boleh Keluar Hotel Ketika Hari Nyepi Di Bali, Indonesia

Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman X (Twitter @Miyabellsoz), apabila seorang wanita dikenali sebagai Miyabell berkongsi pengalaman menghampakan kerana perjalanan percutian di Bali, Indonesia tidak berjalan seperti yang dirancang.

Hal ini kerana kaum beragama Hindu di sana menyambut perayaan Hari Nyepi bermula hari ini hingga esok (11 – 12 Mac) mengikut kalendar agamanya.

Manakala pada semalam (10 Mac), perarakan patung ogoh-ogoh telah dijalankan di pekarangan hotel Miya. Difahamkan perarakan itu turut berlangsung di kawasan lain sekitar Bali.

Oleh disebabkan larangan masyarakat setempat untuk keluar dari rumah serta bersiar-siar pada hari tersebut, maka rancangan melancong Miyabell terkesan.

Rugi satu hari aku bercuti hahaha baru tahu sebab Agoda suruh aku extend stay. Sepatutnya esok checkout kawasan Ubud dan nak check in area Uluwatu. Jadi tak boleh buat tu sebab tak boleh keluar. Orang hotel pun tak bagi keluar.

Miyabell.

Apa Itu Hari Nyepi?

Untuk pengetahuan semua, Hari Nyepi ini merupakan permulaan kepada Tahun Baru buat golongan tersebut. Kebiasaannya, ia disambut pada hari yang sama dengan perayaan India, Ugadi. Perkataan Nyepi pula berasal daripada sepi atau sunyi.

Festival Nyepi bertujuan untuk menghapus segala kelakuan buruk serta bala pada tahun sebelumnya sekaligus membawa tahun yang lebih positif untuk masa akan datang.

Sumber: Libur.com

Difahamkan, seluruh Pulau Bali akan ditutup selama 24 jam dan aktiviti bersiar-siar adalah dilarang sama sekali. Ini termasuklah tiada sebarang perjalanan, pengangkutan, kerja, bunyi dan sebagainya.

Pada hari tersebut, penduduk beragama Hindu di sana akan berkumpul bersama keluarga di rumah sambil berdoa.

Sebelum seminggu berlangsungnya festival berkenaan, jalan raya, laluan di sana akan kelihatan meriah dengan persiapan serta dendangan alat gamelan tradisional. Persiapan ini adalah khas untuk menyambut Melasti iaitu sebuah upacara penyucian terbesar di pulau berkenaan.


Maksud Di Sebalik Perarakan Ogoh-ogoh

Patung ogoh-ogoh mewakili makhluk jahat yang suka mengganggu kehidupan manusia dan biasanya dilambangkan sebagai makhluk gergasi dengan rupa yang mengganaskan. Ia juga turut dikenali sebagai Bhuta-Kala.

Kalau anda nak tahu, ogoh-ogoh berasal dari bahasa Bali ogah-ogah membawa maksud sesuatu yang digoncang. Ketika ogoh-ogoh dibawa berarak mengelilingi bandar, pembawa patung-patung tersebut akan menjadikannya kelihatan seperti bergerak atau sedang menari.

Sumber: Katong NTT

Kebiasaannya, ogoh-ogoh diperbuat daripada bahan ringan seperti gabungan kayu, buluh, kertas dan juga styrofoam agar ia mudah diangkat oleh masyarakat setempat semasa perarakan.

Patung berkenaan dibawa bersempena dengan perarakan Ngrupuk yang diadakan setiap kali malam sebelum Hari Nyepi. Selesai sahaja perarakan itu, patung-patung yang dibina akan dibakar sebagai lambang penyucian diri.

Sumber: Libur.com

Fakta Menarik Tentang Kaitan Hari Nyepi & Ogoh-ogoh

Mesti ada yang tertanya-tanya apakah kaitan perarakan ogoh-ogoh yang meriah serta Hari Nyepi yang sunyi sepi? Situasi itu berlaku kerana penduduk di Bali atau lebih tepat penganut agama Hindu di sana percaya bahawa roh jahat sedang menjelajah bumi bagi mencari individu untuk diseksa.

Bagi mengelakkan perkara sebegitu berlaku, mereka akan membina patung ogoh-ogoh bagi menarik perhatian roh jahat berkenaan untuk datang melawat Pulau Bali.

Sumber: Libur.com

Setelah roh-roh itu tiba ke sana, ia akan menyedari bahawa pulau itu adalah tenang tanpa kelibat manusia.

Oleh yang demikian, makhluk jahat itu akan pergi meninggalkan kawasan itu sekaligus membawa kepada pulau bebas tanpa roh jahat selama satu tahun.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd