Now Reading
Podcast Berunsur Persundalan Adalah Haram – Mufti Wilayah Persekutuan

Podcast Berunsur Persundalan Adalah Haram – Mufti Wilayah Persekutuan

“Penggunaan podcast sebagai platform untuk membuka aib peribadi seseorang adalah termasuk dalam perbuatan menzahir kemaksiatan dan perbuatan ini diharamkan oleh syarak.”

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, sejak kebelakangan ini hangat diperkatakan tentang sebuah laman web penstriman yang menjemput ‘Hot Daddy’ sebagai tetamu jemputan untuk podcast mereka.

Baca Artikel Berkaitan: “Kenapa Glorify Orang Takda Moral?” – Ramai Kecam Tindakan YouTuber Jemput Hot Daddy Dalam Podcast

Malah, keadaan tersebut turut menyeru Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor untuk memberikan kenyataan mengenai isu itu.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan itu begitu mengecewakan dan ia boleh dianggap sebagai salah satu cara untuk mempromosi serta menormalisasikan aktiviti pensundalan.

Sumber: X

“Sekiranya keadaan ini tidak dikekang atau dicegah, dibimbangi akan mempengaruhi remaja dan membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak,” ujar beliau.

Baca Artikel Berkaitan: SKMM Sekat Akaun Telegram Lelaki Rakam & Jual Aksi Seks Dengan Lebih 20 Wanita


Haram Podcast Berunsurkan Persundalan – Mufti Wilayah Persekutuan

Hari ini (15 Februari), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan baru sahaja mengeluarkan kenyataan mengenai isu hangat di media sosial ketika ini.

Pihak mereka mendapati wujud perkembangan pembangunan konten di media sosial yang memaparkan segmen bual bicara (podcast) bersama individu ataupun pihak terlibat dengan gejala sosial (reality showcase).

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Rakam & Jual Aksi Seks Dengan Lebih 20 Wanita Ditahan Polis

Sumber: Simple Legal

“Pada asalnya, penyiaran segmen berkenaan bertujuan memberikan kesedaran kepada umum agar masyarakat sekeliling dan pihak berkuasa dapat mengambil langkah yang sewajarnya.

“Secara zahirnya, penyiaran segmen sedemikian bermotifkan kebaikan seakan-akan bertepatan dengan konsep amar makruf nahi mungkar dalam Islam. Namun pada masa yang sama, ia sebenarnya secara tidak langsung turut meninggalkan kesan-kesan negatif kepada masyarakat.

“Lebih-lebih lagi, apabila individu yang terpalit dengan jenayah sivil mahupun syariah telah diangkat secara terbuka di khalayak sehingga menampakkan bahawa seolah-olah kesalahan mereka merupakan suatu perkara yang normal dan boleh diterima.

“Walhal, kesalahan yang dilakukan turut termasuk dalam kategori dosa besar iaitu berzina dan persundalan,” jelas kenyataan tersebut.


Zina & Persundalan Adalah HARAM Dalam Islam

Mengulas lanjut, pihak MWP turut menegaskan bahawa aktiviti zina dan persundalan merupakan perbuatan tercela dan boleh mendatangkan kerosakan kepada institusi kekeluargaan dan negara.

“Dalil daripada nas syarak jelas tentang pengharaman zina dan segala perbuatan yang mendorong ke arahnya. Para ulama bersepakat bahawa syariat Islam diturunkan untuk menjaga lima tonggak utama (dharuriyyat al-khamsah) dan salah satu daripadanya adalah menjaga keturunan.”

Menurut firman Allah SWT; وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan jahat (yang membawa kerosakan). Surah al-Isra’ (32).


Kesimpulan

Dalam kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa, “Penggunaan podcast sebagai platform untuk membuka aib peribadi seseorang adalah termasuk dalam perbuatan menzahir kemaksiatan dan perbuatan ini diharamkan oleh syarak. Apatah lagi menjadikan penzina sebagai tetamu undangan untuk menceritakan perbuatan maksiatnya tanpa rasa malu dan berdosa.

“Walaupun kaedah ini berpotensi memberikan keuntungan dari sudut material, namun pada masa yang sama ia turut meninggalkan kesan buruk kepada masyarakat dengan mempromosikan penzina secara tidak langsung. Hal ini kerana, golongan pengguna media sosial terdiri daripada latar belakang berbeza.

“Bahkan, sebahagian daripada mereka tidak berupaya memahami mesej secara tersirat malah tidak mampu untuk menapis dan menyaring setiap maklumat yang disampaikan. Sejajar dengan itu, hal ini boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat seterusnya mendorong kepada perbuatan maksiat,” tegasnya lagi.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd