Now Reading
Nak Mandi Di Sungai? Amalkan 11 Tips Keselamatan Ini Untuk Elak Perkara Tidak Diingini Berlaku

Nak Mandi Di Sungai? Amalkan 11 Tips Keselamatan Ini Untuk Elak Perkara Tidak Diingini Berlaku

Perkara penting yang perlu dilakukan sebelum bermandi-manda di sungai adalah mengenal pasti laluan keselamatan untuk menyelamatkan diri jika belaku kejadian kepala air.

Nak Mandi Di Sungai? Amalkan 11 Tips Keselamatan Ini Untuk Elak Perkara Tidak Diingini Berlaku

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Aktiviti riadah bermandi-manda di sungai bersama ahli keluarga ketika cuaca panas cukup menyeronokkan. Dapat pula berendam dalam air sungai yang jernih dan sejuk, memang sangat nyaman!

Dalam menikmati keindahan alam semula jadi ini, pengunjung perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Terdahulu, berlaku satu tragedi malang kepada sebuah keluarga apabila mereka ditimpa kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman pada 2 Julai lalu.

Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan untuk mengesan seorang lagi mangsa selepas sembilan mayat telah ditemui.

BACA JUGA: Tragedi Kepala Air Di Jeram Mawar, Identiti 8 Mangsa Sudah Dikenal Pasti


Tips Keselamatan Ketika Bermandi-manda Di Kawasan Sungai

Menerusi video dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok (@mohdnorfahmy3), lelaki ini berkongsi beberapa tips keselamatan yang sering diamalkan ketika bermandi di sungai terutamanya di kawasan yang baru pertama kali dijejaki. 

Antara tips yang dikongsikan adalah:

1. Tips Keselamatan Mandi Di Sungai: Ringan Mulut Untuk Bertanya Kepada Penduduk Tempatan

Sumber: Facebook Rumah Sungai

Kebiasaannya di kawasan sungai, akan ada penduduk tempatan yang berniaga kepada pengunjung. Sebelum anda bermandi-manda, ringankan mulut untuk bertanya tentang keadaan sungai lebih-lebih lagi berkaitan kekerapan berlakunya kejadian kepala air di laluan sungai itu.

Percayalah, mereka akan berbesar hati untuk berkongsi maklumat dan tips keselamatan tentang kawasan berbahaya yang perlu dielakkan. 

2. Tips Keselamatan Mandi Di Sungai: Perhatikan Ketinggian Kesan Air Pasang

Sumber: OrangPerak

Sebelum masuk ke dalam sungai, perhatikan dahulu kawasan tebing yang menunjukkan kesan paras ketinggian sungai ketika air pasang. Boleh juga kenal pasti kesan daripada daun dan ranting di tebing sungai.

3. Tips Keselamatan Mandi Di Sungai: Anggarkan Kedalaman Sungai

Sumber: Yuksinau

Anggarkan kedalaman sungai supaya dapat lebih berhati-hati untuk tidak bermain di kawasan tersebut. Secara logiknya, kawasan yang lebih gelap menunjukkan paras sungai yang agak dalam. 

Kalau batu berwarna gelap pula, berkemungkinan ia memberi tanda sudah berlumut dan licin. Jadi, dinasihatkan untuk memakai kasut ketika melakukan aktiviti air. 

4. Tips Keselamatan Mandi Di Sungai: Kenal Pasti Laluan Untuk Selamatkan Diri Jika Berlaku Kejadian Tidak Diingini

Sumber: Secebis Pandangan

Apabila sudah memasuki sungai, kenal pasti juga laluan mudah, pantas dan agak tinggi untuk menyelamatkan diri dan keluarga jika berlaku kejadian yang tidak diingini seperti kepala air.

5. Tips Keselamatan Mandi Di Sungai: Mandi Dengan Cara Menghadap Ke Arah Aliran Air Mendatang

Sumber: Xplorasi Destinasi

Semasa mandi, pastikan anda menghadap ke arah aliran yang mendatang. Ini bagi mengelakkan daripada anda tidak perasaan kehadiran kepala air, haiwan atau kayu-kayu tajam yang mengalir mengikut aliran sungai.

6. Tips Keselamatan Mandi Di Sungai:  Memakai Wisel Di Leher

Sumber: Lazada Malaysia

Pemakaian wisel pada leher membolehkan anda untuk memberi amaran kepada orang di sekeliling jika ternampak objek bahaya atau keadaan yang meragukan.

7. Tips Keselamatan Mandi Di Sungai: Elakkan Mandi Di Bahagian Selekoh Sungai

Sumber: Detik Travel

Di kawasan sungai yang anda mandi, pastikan ia membolehkan anda melihat dari jarak 50 sehingga 100 meter dari arah air mendatang. Dengan cara ini, anda akan lebih peka dengan kewujudan kepala air dari jauh. Ingat ya, jangan mandi di bahagian selekoh sungai.

8. Tips Keselamatan Mandi Di Sungai: Awasi Pergerakan Anak-anak

Sumber: YouTube Omar Bakar

Kalau anda bermandi-manda di sungai dengan kehadiran kanak-kanak, pastikan awasi setiap pergerakan mereka. Jangan terlalu memberi kebebasan kepada si kecil ketika bermain dengan air.

9. Tips Keselamatan Mandi Di Sungai:  Segera Naik Ke Kawasan Tinggi Jika Keadaan Sungai Meragukan

Sumber: Astro Awani

Sekiranya kawasan hulu sungai agak meragukan yang mana ia kelihatan agak gelap, timbulnya banyak daun-daun dan air semakin berkeladak serta berbuih, maksudnya air semakin deras.

Apabila anda mula mengesan petanda ini, berkemungkinan hujan di kawasan bukit hulu sungai dan segera beredar dari sungai dan naik ke kawasan tinggi.

10. Tips Keselamatan Mandi Di Sungai: Bawa Tali Atau Pelampung Keselamatan

Sumber: Tokopedia

Sebelum memulakan perjalanan dari rumah ke kawasan sungai, pastikan anda juga membawa tali atau pelampung keselamatan yang boleh digunakan untuk membantu ahli keluarga atau orang lain jika berlaku kecemasan.

11. Tips Keselamatan Mandi Di Sungai: Elakkan Bertapak Di Kawasan Sama Paras Dengan Air Sungai

Sumber: PT Eticon Rekayasa Teknik

Kalau anda bercadang untuk bermalam di kawasan sungai, elakkan dari memacak khemah atau membuka kerusi ‘healing’ di kawasan sama paras dengan air sungai.


Semoga perkongsian ini dapat membantu anda untuk lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti riadah air bersama ahli keluarga mahupun rakan-rakan khususnya di kawasan sungai.

BACA JUGA: Pertama Kali Hadapi Banjir? Ini Tips Yang Anda Perlu Tahu

BACA JUGA: Elak Terkena Renjatan Elektrik, TNB Kongsi Langkah Keselamatan Ketika Banjir


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd