Now Reading
Ikrar Derma Organ & Selamatkan Nyawa [Pendapat]

Ikrar Derma Organ & Selamatkan Nyawa [Pendapat]

Di Malaysia, orang dewasa yang sihat boleh mendermakan salah satu buah pinggang atau satu lobus hati mereka kepada suami/isteri, atau saudara peringkat satu atau dua.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Oleh:
Dr Hasdy Haron
Pengurus Kanan Klinikal Pendermaan Organ
Pusat Sumber Transplan Nasional
, Hospital Kuala Lumpur.


Menderma organ, sama ada dengan berikrar untuk organ tersebut digunakan selepas anda meninggal dunia atau mendermakannya semasa anda masih hidup, adalah satu tindakan yang murni.

Ini biasanya bermakna anda menyelamatkan nyawa penerima organ tersebut kerana mereka berdepan risiko kematian kerana organ yang terjejas sudah berada dalam peringkat akhir kegagalan fungsi.

Namun, apa yang menyedihkan adalah majoriti pesakit dalam senarai pemindahan organ meninggal dunia semasa sedang menunggu dan berharap untuk mendapat organ baharu.

Punca utamanya adalah kerana jumlah penderma sebenar tidak mencukupi. Pendek kata, permintaan untuk organ jauh melebihi bekalannya.

Sejak tahun 1997 hingga April tahun ini, sejumlah 2,641 pemindahan organ pejal telah dijalankan di Malaysia – organ pejal adalah organ yang mempunyai konsistensi tisu yang pejal dan tidak kosong (contohnya perut dan usus) atau cecair (contohnya darah).

Gambar sekadar hiasan.
(Sumber: Kosmo)

Sebahagian besar darinya adalah pemindahan buah pinggang, di mana 2,403 prosedur telah dijalankan dalam masa 25 tahun ini. Pemindahan organ lain melibatkan hati (198) dan sistem kardiotorasik (jantung dan paru-paru) (40).

Kebanyakan organ ini didermakan oleh penderma hidup: 1,752 untuk buah pinggang dan 92 untuk hati. Selebihnya adalah organ yang didermakan oleh penderma yang telah meninggal dunia, iaitu sebanyak 767.


Pandemik Covid-19 Beri Impak Besar Kepada Pemindahan Organ Di Malaysia

Seperti semua bidang penjagaan kesihatan lain, pandemik Covid-19 telah mendatangkan impak yang besar kepada pemindahan organ di negara kita.

Bukan sahaja pemindahan dari penderma masih hidup yang tergendala kerana bimbang berlakunya jangkitan virus SARS-CoV-2 kepada pihak-pihak yang terlibat, jumlah penderma organ yang telah meninggal dunia juga turun mendadak.

Sebagai contoh, terdapat hanya tujuh penderma organ yang telah meninggal dunia sepanjang tahun 2021.

Ini kemungkinan besar disebabkan oleh kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kebanyakan penderma organ yang sudah meninggal dunia biasanya merupakan mangsa kemalangan jalan raya.

Sumber: Railly News

Namun begitu, jumlah pemindahan organ tahun ini telah pun melebihi jumlah tahun lalu, dan ini merupakan berita baik untuk para pesakit dalam senarai menunggu pemindahan organ.

Dari Januari hingga April tahun ini, 69 pemindahan organ telah dijalankan, di mana 59 darinya melibatkan buah pinggang dan 10 lagi pemindahan hati.

Kebanyakan penderma masih hidup, dengan 41 orang mendermakan buah pinggang dan seorang mendermakan sebahagian hati. Baki 12 penderma pula adalah yang sudah meninggal dunia.

Walau bagaimanapun, setakat April 2022, masih terdapat lebih 10,455 pesakit dalam senarai menunggu pemindahan organ di Malaysia. Ini membuktikan betapa mustahaknya untuk lebih ramai rakyat Malaysia berikrar mendermakan organ.


Dua Jenis Penderma Organ: Yang Masih Hidup & Yang Telah Meninggal Dunia.

Seperti yang dinyatakan di atas, terdapat dua jenis penderma organ iaitu:

  • Yang masih hidup
  • Yang telah meninggal dunia

Di Malaysia, orang dewasa yang sihat boleh mendermakan salah satu buah pinggang atau satu lobus hati mereka kepada suami/isteri, atau saudara peringkat satu atau dua.

Saudara peringkat satu adalah ibu bapa, anak-anak atau adik beradik sebenar. Saudara peringkat dua adalah datuk/nenek, cucu, ibu/bapa saudara, anak saudara, sepupu dan adik beradik tiri.

Dalam sesetengah kes, penderma boleh mendermakan kepada saudara yang lebih jauh atau seseorang yang bukan ahli keluarga; namun, ini tertakluk kepada penilaian dan kelulusan oleh jawatankuasa bebas yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan.

Kanak-kanak, orang dewasa yang tidak sihat dari segi mental dan/atau fizikal, dan banduan, tidak dibenarkan menderma semasa masih hidup.

Pengecualian hanya diberikan sekiranya seseorang banduan ingin mendermakan organ kepada saudara dekat yang menghadapi situasi mengancam nyawa akibat kegagalan fungsi organ.

Penderma yang sudah meninggal dunia adalah mereka yang telah meninggal dunia dan kebenaran untuk menderma didapati daripada waris yang berdekatan untuk mendermakan organ selepas meninggal dunia.

Penderma seperti ini biasanya telah mengalami mati otak, namun bahagian tubuh lain masih berfungsi, atau bertahan melalui kaedah buatan untuk membolehkan organ mereka diambil bagi tujuan transplantasi.

Penderma ini boleh menderma kepada beberapa orang penerima kerana mereka berpotensi dapat mendermakan banyak organ. Contohnya seperti jantung, paru-paru, hati, pankreas, usus, buah pinggang dan lain-lain.

Kebanyakan penderma yang sudah meninggal dunia di Malaysia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Oleh itu, kebolehan menderma organ untuk mereka juga bergantung kepada keadaan tubuh mereka semasa diisytiharkan mati otak.

Hanya organ yang masih utuh dan berfungsi dengan baik akan dipindahkan kepada seseorang penerima.


50 – 60% Penderma Telah Berikrar

Sumber: Malaysia Gazette

Kira-kira 50-60% penderma yang telah berikrar berada dalam lingkungan umur 18 hingga 40 tahun. Ini mungkin disebabkan oleh peningkatan kesedaran dan penerimaan terhadap pendermaan organ dalam kalangan peringkat umur ini.

Salah satu mitos yang paling banyak diperkatakan adalah prosedur tersebut akan merosakkan jasad penderma yang telah meninggal dunia. Selain itu, ada juga mitos yang mengatakan pengambilan organ dari penderma yang mati otak akan melambatkan proses pengebumian.

Namun begitu, pasukan perubatan yang menjalankan pembedahan pengeluaran organ dari penderma yang mati otak sentiasa melakukannya dengan penuh cermat supaya jasad penderma tidak rosak.

Prosedur ini juga dijalankan dengan cepat supaya keluarga penderma boleh menuntut dan menyediakan jasad orang yang tersayang untuk dikebumikan dalam tempoh masa yang sewajarnya.

Sebagai sebuah negara pelbagai budaya dan agama, kita perlu memahami bahawa pendermaan dan pemindahan organ diterima dan dibolehkan dalam semua agama yang diamalkan di negara ini.

Menurut agama Islam, agama yang paling ramai penganutnya di Malaysia, hukum pendermaan dan pemindahan organ adalah “harus” (dibolehkan), menurut Fatwa Kebangsaan pada tahun 1970.

Impak yang dibawa oleh penderma organ dalam kehidupan seseorang pesakit tiada tolok bandingan kerana ia biasanya membantu menyelamatkan nyawa pesakit dan memberi kualiti hidup yang jauh lebih baik kepada mereka.

Ia juga memberi impak yang positif terhadap keluarga dan rakan-rakan penerima kerana mereka dapat meluangkan masa dengan orang yang tersayang untuk jangka masa yang lebih lama.

Begitu juga dengan keluarga penderma organ yang sudah meninggal dunia, mereka akan berasa lebih tenang apabila mengetahui orang yang mereka sayangi dapat menyelamatkan nyawa seseorang, dan ini merupakan amal kebajikan terakhir mereka di dunia ini.


Penderma Organ Diberi Manfaat Oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walaupun penderma organ dilarang sama sekali menerima ganjaran atau pampasan untuk pendermaan organ – sama ada dalam bentuk wang tunai atau penggalak lain seperti rumah, kereta, saham atau kenaikan pangkat/kerjaya dan lain-lain.

Mereka tetap akan diberikan manfaat tertentu oleh Kementerian Kesihatan. ini termasuklah rawatan kelas pertama di hospital kerajaan serta rawatan susulan percuma berkaitan pendermaan organ tersebut.

Prosedur pendermaan juga sudah tentunya percuma untuk penderma organ. Kakitangan awam juga dibenarkan mengambil cuti tidak direkod sehingga 42 hari semasa tempoh pemulihan.

Sebagai sebuah masyarakat, adalah penting untuk kita menormalkan pendermaan organ. Keputusan untuk menjadi penderma organ mungkin menjadi salah satu tindakan yang paling bermakna dalam hidup anda.

Anda tidak perlu mengeluarkan sebarang belanja untuk mendaftarkan diri menjadi penderma organ selepas meninggal dunia. Oleh itu, berikrarlah untuk mendermakan organ anda.

Anda juga perlu memberitahu ahli keluarga tentang hasrat anda yang ingin mendermakan organ selepas meninggal dunia kerana pasukan perubatan juga memerlukan kebenaran mereka untuk mengambil organ anda kelak.


Dr Hasdy Haron adalah Pengurus Kanan Klinikal Pendermaan Organ
Pusat Sumber Transplan Nasional di Hospital Kuala Lumpur. Semua pendapat yang tertulis adalah miliknya dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pihak TRP.

 Untuk maklumat lanjut, anda boleh KLIK DI SINI.


Jika anda ingin berkongsi pendapat bersama kami, boleh hantarkan e-mel ke editorial@therakyatpost.com dengan tajuk “OPINION” atau “PENDAPAT”: atau melalui media sosial kami TRPBM: FacebookTwitter dan Instagram.


Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd