Now Reading
Mata Selalu Muncul Ketumbit? Ini Saranan Oleh Pakar Yang Boleh Anda Praktik

Mata Selalu Muncul Ketumbit? Ini Saranan Oleh Pakar Yang Boleh Anda Praktik

Kalau anda nak tahu, ketumbit atau dalam istilah perubatannya dipanggil sebagai Stye adalah satu benjolan yang terbentuk di kawasan kelopak mata.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pasti ramai di kalangan masyarakat yang sudah terbiasa mengalami ketumbit di kawasan mata. Kadangkala perkara itu berlaku secara tiba-tiba tidak kira masa.

Namun begitu, golongan dewasa sering berkata bahawa masalah berkenaan terjadi selepas seseorang individu itu ‘mengintai’ orang lain ketika sedang mandi dalam tandas.

Tetapi janganlah pula anda percaya dengan kenyataan tersebut kerana ianya tidak benar dan merupakan satu mitos yang direka oleh orang-orang zaman dahulu.


Apa Itu Ketumbit?

Baru-baru ini, seorang doktor kesihatan dikenali sebagai Dr Qarafi Tee menerusi satu perkongsian di laman TikTok (@qarafitee), telah menjelaskan punca berlakunya bengkak pada bahagian mata yang sering dipanggil sebagai ketumbit.

Dari istilah perubatan, masalah ketumbit tersebut dikenali sebagai Blepharitis, Chalazion atau Stye. Buat mereka yang tidak mengenali masalah itu, ketumbit merupakan timbulan benjolan di kawasan kelopak mata.

Meskipun ketumbit tidak berbahaya, namun ia akan menimbulkan keselesaan serta mengganggu kehidupan seharian.

Untuk pengetahuan semua ketumbit terbahagi kepada dua jenis iaitu:

  • Hordeolum interna (meibom).
  • Hordeolum eksterna (zeis dan moll).

Hordeolum interna biasanya akan muncul pada kelopak mata atas manakala hordeolum eksterna di bahagian pangkal bulu mata.

Sumber: Summit Healthcare

Punca Berlakunya Ketumbit

Menurut penjelasan doktor tersebut, masalah ketumbit mata berpunca daripada kelenjar minyak yang terkumpul dalam kelopak atau bulu mata.

Minyak tersebut kemudiannya akan mengakibatkan kewujudan bakteria Staphylococcus aureus dan menyebabkan mata anda mula membengkak.

Buat mereka yang tertanya-tanya dari mana datangnya minyak tersebut, ia terjadi disebabkan perbuatan tanpa sengaja dilakukan oleh manusia seperti menyentuh dan menggosok mata menggunakan jari, tangan atau alat solek.

Maka bagi mengelakkan masalah ketumbit daripada berlaku, anda haruslah memastikan tangan anda sentiasa bersih sebelum menyentuh permukaan mata.

Malah, ia juga berkemungkinan terbentuk apabila mata anda sedang mengalami kegatalan akibat alahan.


Adakah Ketumbit Mempunyai Kaitan Dengan Stres?

Menurut sumber Hello Doktor, sehingga ke hari ini masih tiada kajian saintifik yang membuktikan bahawa stres merupakan antara punca lain kepada masalah ketumbit.

Namun begitu, segelintir ahli oftalmologi iaitu pakar mata berkata bahawa stres dan kualiti tidur yang tidak terjaga boleh meningkatkan risiko kepada berlakunya benjolan di mata.

Hal ini kerana, stres boleh memudaratkan sistem imunisasi seseorang dan menjadikannya lemah sehingga menyebabkan pelbagai jenis jangkitan.

Sebuah kajian pada tahun 2017 mendedahkan bahawa hormon stres seperti norepinephrine boleh bertukar kepada asid dihydroxymandelic (DHMA) yang mengakibatkan bakteria lebih mudah menjangkiti tubuh badan.

Sumber: Pexels/Freepik

Cara Mengatasi Masalah Ketumbit

Buat mereka yang mengalami masalah tersebut pada ketika ini, ada beberapa kaedah anda boleh cuba di rumah. Dr Qarafi berkata, langkah pertama adalah dengan meletakkan mampatan suam di bahagian mata terkesan. Jika mahu menggunakan tuala basah pun boleh.

Tindakan tersebut adalah penting untuk melonggarkan lubang atau kelenjar minyak yang tersumbat pada permukaan kelopak mata. Sejurus itu, anda memerlukan syampu khas buat bayi dan mencairkan kandungan tersebut bersama air dengan nisbah lebih kurang 1:1.

Kemudian, sapukan sahaja larutan tersebut ke bahagian mata dan Insya-Allah ia akan menunjukkan keberkesanannya. Anda digalakkan untuk mengulangi rutin yang sama sebanyak tiga kali dalam masa sehari.

Sumber: TikTok (@qarafitee)

Cara Tuam Kain Basah Yang Betul Pada Ketumbit

Kepada mereka yang tidak mempunyai pengalaman, anda mungkin tidak tahu tentang cara menuamkan kain basah dengan betul. Oleh itu, di sini kami kongsikan kaedah yang disarankan oleh MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

  • Menggunakan sehelai sapu tangan bersaiz kecil.
  • Rendam sapu tangan dalam air suam dan perahkannya sehingga ia tidak menitis.
  • Meletakkannya atas kelopak mata dengan mata bertutup.
  • Membiarkannya selama 10 minit.
  • Mengulangi rutin yang sama sehingga ianya pulih.
Sumber: Freepik

Baca Artikel Berkaitan: Macam Mana Manusia Boleh Ada Mata Warna Biru? Ini Fakta Yang Ramai Tak Tahu

Jika cara-cara disenaraikan di atas tidak membantu dan ketumbit masih lagi kelihatan selepas dua ke tiga hari, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan ubat titik mata.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd