Now Reading
Khas Buat Wanita, Ini Info Tentang Skim Suri Rumah PERKESO

Khas Buat Wanita, Ini Info Tentang Skim Suri Rumah PERKESO

Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah oleh PERKESO berfungsi untuk melindungi para wanita yang berstatus suri rumah dari segi bencana domestik dan keilatan (uzur).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bila berbicara tentang isu kewangan, pasti ada di antara anda di luar sana yang sedang bergelut untuk melangsungkan kehidupan dalam keadaan ekonomi tidak menentu pada masa kini.

Malah, bebanan tersebut turut dirasai oleh para balu kerana terpaksa membesarkan anak-anak seorang diri selepas pemergian pasangan.

Untuk makluman, terdapat pelbagai agensi yang berfungsi untuk membantu golongan wanita. Salah satunya ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).


Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Jaga Kebajikan Wanita

Umum sedia maklum PERKESO merupakan sebuah agensi kerajaan Malaysia yang ditubuhkan bagi menjaga kebajikan para pekerja dalam negara.

Walaupun banyak jenis skim yang ditubuhkan oleh perbadanan tersebut, namun ramai juga di kalangan masyarakat khususnya para wanita yang kurang mengetahui tentang Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR PERKESO).

Skim tersebut telah berkuat kuasa pada 1 Disember 2022 lalu bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada para wanita berstatus suri rumah tidak kiralah separuh masa atau sepenuh masa.

Skim ini melindungi kumpulan tersebut sekiranya mereka terlibat dalam bencana domestik dan keilatan (uzur) semasa menguruskan rumah tangga.

SKSSR terbuka kepada suri rumah di bawah Akta 838 iaitu isteri, janda atau balu, ibu tunggal atau wanita bujang.

Sumber: Freepik

Berapakah Caruman Skim Tersebut?

Buat mereka yang mendaftar SKSSR, jumlah caruman perlu dibayar adalah sebanyak RM120 bagi tempoh 12 bulan berturut-turut secara ‘in advance’. Caruman itu boleh dilakukan oleh suami, suri rumah, ahli keluarga atau mana-mana pihak ketiga.

Untuk info, prinsip ‘once in, always in’ akan terpakai buat golongan suami yang memilih untuk membuat caruman bagi pasangannya.

Sumber: Freepik

Apakah Syarat Kelayakan SKSSR?

Kepada mereka yang berminat, di sini kami kongsikan syarat kelayakan bagi mendaftarkan diri untuk skim berkenaan.

  • Warganegara Malaysia atau pemastautin tetap.
  • Suri rumah yang belum mencecah umur 55 tahun.
  • Suri rumah yang melakukan aktiviti berkaitan pengurusan rumah tangga.
  • Membayar caruman bagi tempoh 12 bulan secara terlebih dahulu (advance payment).

Manfaat & Faedah Ditawarkan SKSSR

Skim yang diwujudkan ini menawarkan pelbagai manfaat dan faedah kepada para pengguna seperti:

  • Faedah rawatan perubatan.
  • Faedah hilang upaya kekal.
  • Elaun keuzuran.
  • Elaun layanan sentiasa.
  • Kemudahan pemulihan jasmani/dialisis.
  • Faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000.
  • Pencen penakat sebanyak RM300 sebulan.

Langkah-langkah Mendaftar SKSSR

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mendaftar SKSSR PERKESO.

  1. Layari portal PERKESO [DI SINI].
  2. Klik daftar pengguna dan isi segala maklumat diminta.
  3. Selepas klik hantar, anda perlu memilih jenis pengguna dan menyertakan info peribadi.
  4. Kemudian, mesej ‘Pendaftaran Berjaya’ akan dihantar kepada e-mel pengguna.
  5. Klik link yang disertakan di e-mel untuk log masuk portal SKSSR.
  6. Klik pautan jenis ID dan masukkan kata laluan.
  7. Sejurus berjaya log masuk, anda harus menyertakan butiran maklumat yang diminta termasuklah nama, kad pengenalan, jenis ID, warganegara, alamat dan banyak lagi.
  8. Setelah semuanya selesai, jangan lupa untuk klik ‘Simpan Profil’ di bahagian bawah skrin.
  9. Sekiranya berkaitan, klik ‘Daftar Maklumat Suami’ dan kemaskini maklumat pasangan anda.

Untuk maklumat lanjut tentang langkah mendaftar caruman pengguna, sila layari portal PERKESO.

Buat mereka yang berkelayakan, jangan lepaskan peluang ini. Mana tahu, ia dapat membantu pada masa akan datang. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd