Now Reading
Kanak-kanak Autisme Hilang: Zayn Rayyan Ditemui Maut Di Kawasan Anak Sungai

Kanak-kanak Autisme Hilang: Zayn Rayyan Ditemui Maut Di Kawasan Anak Sungai

Zayn Rayyan ditemui di anak sungai yang berlokasi 100 meter dari kediamannya sebelum disahkan meninggal dunia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (6 Disember) sekitar jam 10 pm, kanak-kanak autisme Zayn Rayyan yang hilang sekitar kawasan kediamannya di Apartment Idaman Damansara Damai, ditemui terbaring secara mengiring di anak sungai sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, sungai itu berjarak kira-kira 100 meter dari kawasan rumah budak lelaki terbabit.

Penemuan Zayn Rayyan adalah sejurus Op Tutup rumah ke rumah yang digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bermula 9 malam dengan bantuan 60 orang penduduk apartment.

Lokasi kejadian. Sumber: Malaysia Tribune

Polis Kini Sedang Siasat Kawasan Lokasi Mayat Ditemui

Misi pencarian turut dibantu oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) yang membabitkan kawasan belukar serta longkang berhampiran sekitar 300 meter radius.

Buat masa ini, pihak polis sudah menutup laluan belukar dari kawasan kediaman menuju ke lokasi mayat ditemui.

“Saya tidak dapat mengulas lanjut kerana kita baru menemui mayat mangsa dan kini dalam peringkat menyiasat lokasi sekitar kawasan mayat ditemui,” jelas Mohd Fakhrudin memetik Sinar Harian.

Sumber: Facebook Balai Polis Daerah Petaling Jaya

Bapa Zayn Rayyan Pengsan Beberapa Kali

Insiden berkenaan menjadi lebih hiba apabila ahli keluarga dilihat sukar untuk menerima berita mendukacitakan itu apabila bapa Zayn Rayyan dikatakan pengsan beberapa kali.

Menurut penduduk apartment Faisol Najib Abdul Naim, dia tidak menyangka akan menjumpai kanak-kanak istimewa tersebut dalam keadaan tidak bernyawa dan hanya mengikut gerak hati untuk mencari di kawasan anak sungai walaupun kawasan tersebut sudah digeledah oleh Unit Anjing Pengesan (K9).

 “Saya tergerak hati untuk mencari di kawasan hujung anak sungai. Apabila saya suluh lampu, nampak sekujur tubuh terbaring dalam keadaan mengiring,” katanya.

Sebelum menemui kanak-kanak enam tahun berkenaan, orang ramai telah menunaikan solat hajat yang dianjurkan persatuan penduduk semalam.

“Mungkin Allah makbulkan doa semua jemaah dan menggerakkan hati saya untuk mencari di kawasan terbabit,” tambahnya.

Terdahulu, Zayn Rayyan telah dilaporkan hilang selepas bermain di taman permainan sejurus pulang dari sekolah.

Kehilangannya disedari apabila kanak-kanak lelaki itu tidak menyahut panggilan si ibu ketika sedang menuju pulang ke rumah.

Susulan itu, ibunya iaitu Ismanira Abdul Manaf menerusi satu hantaran di laman Facebook merayu agar orang ramai bersama-sama mencari dan membantu menjejak Zayn Rayyan.

Baca Artikel Berkaitan: Budak Lelaki Autisme Dilaporkan Hilang, Polis Guna Anjing K9 Dalam Misi Pencarian


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd