Now Reading
PAS Dikecam Bandingkan Perjuangan Palestine Dengan Bangsa Melayu Atas Tujuan Politik

PAS Dikecam Bandingkan Perjuangan Palestine Dengan Bangsa Melayu Atas Tujuan Politik

BDS Malaysia menyatakan bahawa sebarang usaha untuk menyamakan penderitaan rakyat Palestin dengan orang Melayu di Malaysia untuk tujuan politik adalah mengecewakan dan perlu dihentikan dengan serta-merta.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Percubaan PAS untuk membuat perbandingan antara perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin dengan pemilikan tanah oleh orang Melayu di Pulau Pinang telah mendapat kritikan hebat dari pelbagai pihak.

Akaun Twitter parti tersebut baru-baru ini memuat naik rangkaian pesanan yang menyatakan “Pulau Pinang perlu belajar dari sejarah Palestin.”

Ciapan menerusi laman Twitter tersebut tidak dikaitkan dengan pemimpin parti tertentu, tetapi terpalit dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pilihan Raya Negeri PAS Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang menyatakan bahawa jika mengikut sejarah, Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Kumpulan sokongan Palestin, BDS (Boycott, Divestments, Sanctions) Malaysia, menerusi satu kenyataan menyatakan bahawa sebarang usaha menyamakan penderitaan rakyat Palestin dengan orang Melayu di Malaysia untuk tujuan politik adalah mengecewakan dan perlu dihentikan dengan serta-merta.

BDS Malaysia mengambil perhatian kenyataan yang menyamakan keadaan di Pulau Pinang dengan keadaan di Palestin di mana kemerosotan pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang disamakan dengan kemerosotan pemilikan tanah orang Palestin di bumi mereka.

BDS Malaysia.

BDS menegaskan kenyataan tersebut bukan sahaja salah dari segi fakta sejarah, bahkan sangat berbahaya kerana ia meremehkan kezaliman yang telah berlaku kepada penduduk Palestin selama lebih dari tujuh dekad dan masih berterusan sehingga ke hari ini.

Perlu disedari bahawa kes Palestin adalah berbentuk ‘settler-colonialism’ di mana orang asing telah datang dari Eropah untuk menjajah bumi Palestin dan pada masa yang sama membunuh rakyat Palestin termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua, menghancurkan rumah dan kampung halaman mereka, merampas tanah mereka serta menghalau mereka keluar untuk menjadi pelarian serta tidak dibenarkan pulang sehingga hari ini.

BDS Malaysia.

Mengulas lanjut, BDS berkata orang ramai perlu menyedari bahawa kejadian pembunuhan warga Palestin yang tidak berdosa, pemusnahan rumah-rumah mereka, pemenjaraan ribuan rakyat Palestin, serta rampasan tanah secara paksa masih berterusan.

Sebarang usaha untuk menyamakan kesengsaraan warga Palestin dengan keadaan orang Melayu di Malaysia untuk tujuan politik adalah amat dikesali dan perlu dihentikan.

BDS Malaysia.

Ciapan PAS menerusi Twitter menyatakan bahawa tidak mustahil perkara yang sama yang berlaku kepada rakyat Palestin boleh berlaku di Malaysia, dengan mendakwa bahawa perkara tersebut sudah berlaku sebenarnya.

Secara perlahan, kawasan majoriti Muslim telah tergadai oleh pembangunan. Sedikit demi sedikit, tanah telah dibeli dan diambil alih oleh pemaju. Pada tahun 2008, sebuah penyelidikan oleh USM mendapati bahawa pemilikan tanah Melayu di Pulau Pinang hanya sebanyak 20.41%.

PAS.

Kenyataan tersebut juga mendakwa kerajaan Pulau Pinang sedang melakukan “pengambilalihan sistematik” dalam pemilikan tanah dan mendominasi kawasan yang pada asalnya adalah majoriti Melayu-Muslim.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd