Now Reading
[Pendapat] Akmal Nasir Tiada ‘Modal’ Serang Suhaili, Ahli PPBM Membakut Mula Bersuara

[Pendapat] Akmal Nasir Tiada ‘Modal’ Serang Suhaili, Ahli PPBM Membakut Mula Bersuara

Contributor

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Oleh:
Awang Hazim Bin Awang Basir,
Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Membakut)


Pada akhir bulan Mei 2021, kecoh apabila pelantikan individu yang sama sebagai anggota lembaga pengarah anak-anak syarikat dan subsidiari sebuah agensi kerajaan iaitu MARA.

Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, ianya lebih mencetuskan tanda tanya dalam kalangan kakitangan dan pengurusannya apabila dua daripada individu berkenaan kelihatan rapat dengan menteri yang bertanggungjawab ke atas agensi tersebut.

Dua individu yang dimaksudkan itu ialah ahli politik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Suhaili Abdul Rahman dan seorang usahawan yang diketahui rapat dengan orang politik iaitu Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin.

Kredit: The Malaysian Reserve

Umum sedia maklum bahawa Majlis Amanah Rakyat atau MARA merupakan salah sebuah agensi terbesar milik kerajaan dengan rizab sehingga melebihi RM2 bilion.

Walau bagaimanapun, ianya belum diambil kira aset-aset Mara yang bernilai lebih daripada itu.

Awang Hazim, Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Membakut) bidas dakwaan Akmal Nasir, Ahli Parlimen Johor Bharu

Awang Hazim turut mempersoalkan beberapa perkara termasuk; Adakah menjadi satu kesalahan kepada Datuk Suhaili Abdul Rahman yang dilantik sebagai pengarah di beberapa anak syarikat MARA Corp?

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dikatakan cuba berlagak hero dengan membangkitkan isu pelantikan berkenaan ‘seolah-olah menekap mata dan telinga’ enggan mendapatkan maklumat sebenar.

Tegasnya lagi, “Perlantikan Suhaili menyandang lima jawatan dalam MARA adalah atas kapasiti beliau sebagai Pengarah Eksekutif MARA Corp dan sebagai ahli pengurusan syarikat-syarikat MARA Corp. Menjadi kelaziman untuk mana-mana pengarah eksekutif sebuah syarikat induk dilantik sebagai salah seorang pengarah dalam anak syarikatnya seperti mana berlaku di syarikat lain. Ia bukan suatu perkara luar biasa serta pelanggaran integriti.”

Awang Hazim turut mengatakan bahawa sekalipun Suhaili merupakan orang politik selaku Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kewibawaannya itu diyakini dapat memberikan nilai tambah kepada pengurusan subsidiari tersebut. Ini apabila pelantikan yang dibuat bukan sahaja atas dasar ekonomi, malah turut mengambil kira faktor sosial apabila sebahagian besar aktiviti komersial syarikat berkait rapat dengan polisi kerajaan seperti pendidikan.

“Mengamati satu persatu dakwaan Akmal Nasrullah atau lebih dikenali sebagai Akmal Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru itu, sebenarnya tiada satu pun hujah berasas apabila beliau mempergunakan isu ‘salah guna kuasa dan membangkitkan soal pulangan atau elaun’ diterima oleh Suhaili.
Mengenai dakwaan salah guna kuasa, adakah Akmal Nasir maklum bahawa anak syarikat MARA tidak disenaraikan di Bursa Malaysia?

“Mengikut The Malaysian Code on Corporate Governance (MCCG) iaitu berkenaan kod etika komposisi pelantikan ahli-ahli pengarah syarikat, ia tidak terpakai sama sekali dalam kalangan anak syarikat agensi tersebut,” katanya.

Berkenaan isu kod tidak terpakai pula, Awang menjelaskan bahawa meskipun kod tidak terpakai, itu tidak bermakna anak syarikat MARA dan MARA Corp tidak telus.

Ia memandangkan mereka sentiasa menjadikan MCCG sebagai sumber rujukan utama dalam usaha meningkatkan ketelusan syarikat, di samping merujuk dengan menggunapakai amalan The Green Book Structuring A High Performance Board diterbitkan Khazanah. Malah, Lembaga Pengarah MARA Corp. telah bersetuju bahawa semua pengarah bebas boleh dilantik sebagai pengarah bukan bebas dalam mana-mana anak syarikat dengan syarat mereka adalah golongan profesional, mempunyai kepakaran serta pengalaman industri.

Awang Hazim, Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Membakut).

Dia mengulas lanjut mengenai perlantikan tersebut di mana berbekalkan elemen itu, Suhaili telah dilantik dengan tujuan supaya dapat membantu anak syarikat dan sebagai semak dan seimbang dalam pengurusan organisasinya. Ia juga selaras pelan rasionalisasi bagi meningkatkan daya saing dan mengekalkan daya tahan khususnya dalam mendepani cabaran semasa impak daripada pandemik Covid-19.

Malahan, tambahnya lagi, isu elaun diterima Suhaili turut dibangkitkan oleh Akmal Nasir dengan Ketua AMK itu hanya membangkitkan dakwaan tanpa mengemukakan bukti. Ia sekadar tuduhan semata-mata.

Datuk Suhaili Abdul Rahman

Untuk pengetahuan umum, Suhaili selaku ahli pengurusan MARA Corp tidak menerima elaun bulanan seperti mana yang diterima oleh ahli lembaga pengarah yang lain – seperti mana disyaratkan oleh Kementerian Kewangan dalam perkara itu. Jika soal integriti yang menjadi ‘bola tanggung’ Akmal Nasir, beliau sewajarnya menerima hakikat pelantikan Suhaili dipersetujui oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Majlis MARA. Dan paling penting lagi, Suhaili melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekali gus menjadikan isu integriti dan ketelusan bukan persoalan dalam pelantikannya mengisi jawatan berkenaan.

Awang Hazim, Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Membakut).

Katanya lagi, tindak tanduk segelintir individu seperti Akmal Nasir yang suka membuat andaian, malah cuba berlagak hero bersandarkan sumber tidak sahih bukan sahaja memberi gambaran negatif terhadap institusi Bumiputera, tetapi lebih teruk lagi menjejaskan imej MARA.

MARA tidak pernah berkompromi dalam isu integriti. Malah terus menjunjung amanah dan integriti dalam menggerakkan pembangunan sosioekonomi Bumiputera.


Awang Hazim Bin Awang Basir adalah Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Membakut). Semua pendapat yang tertulis adalah miliknya dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pihak TRP.


Jika anda ingin berkongsi pendapat bersama kami, boleh hantarkan e-mel ke editorial@therakyatpost.com dengan tajuk “OPINION” atau “PENDAPAT”: atau melalui media sosial kami TRPBM: FacebookTwitter dan Instagram.

View Comments (0)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

18 − ten =

© 2021 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd