Now Reading
UM Mohon Maaf, Kesal Kenyataan Kontroversi Yang Dikeluarkan Profesor Pro-Israel

UM Mohon Maaf, Kesal Kenyataan Kontroversi Yang Dikeluarkan Profesor Pro-Israel

Pihak UM juga menegaskan akan terus mendokong pendirian Kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Universiti Malaya (UM) hari ini, 25 April memohon maaf dan menzahirkan rasa kesal dengan kenyataan berbaur pro-zionis yang dikeluarkan oleh ahli akademik dari Amerika Syarikat, Dr Bruce Gilley semasa hadir sebagai penceramah jemputan ke program mereka.

Sehubungan itu pihak universiti telah mengambil tindakan serta-merta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah jemputan warga asing tersebut.

UM dalam satu kenyataan berkata, laporan lengkap berhubung isu tersebut sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat.

“UM turut memandang serius perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak. Demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial.”

Kecam kenyataan Gilley berhubung isu keselamatan pengembara

Dalam pada itu, pihak UM turut mengecam kenyataan terbaharu yang dikeluarkan profesor berkenaan mengenai aspek keselamatannya ketika mengembara ke Malaysia.

Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

Pusat Komunikasi Korporat UM

Kenyataan tersebut dikeluarkan Gilley menerusi satu ciapan di laman X.

UM dokong pendirian kerajaan tentang Israel

Pihak UM juga menegaskan akan terus mendokong pendirian Kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah.

Terdahulu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengarahkan agar kesemua program dan aktiviti yang dijadual dihadiri oleh Gilley dibatalkan dengan segera.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir juga telah meminta UM agar menyiasat perkara itu dan mengemukakan laporan segera.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd