Now Reading
Hadkan Penggunaan Racun Serangga! Boleh Beri Kesan Pada Perkembangan Saraf Kanak-Kanak

Hadkan Penggunaan Racun Serangga! Boleh Beri Kesan Pada Perkembangan Saraf Kanak-Kanak

Kebiasannya, racun serangga mengandungi bahan kimia piretroid sebagai bahan utama.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Cuaca panas beserta hujan yang sedang dialami di negara ini merupakan keadaan yang kondusif untuk nyamuk membiak. Oleh itu, pasti orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyembur atau memasang ubat nyamuk.

Namun begitu, kita sepatutnya cakna tentang kandungan kimia di dalam ubat nyamuk dan kesannya terhadap orang ramai, terutamanya kanak-kanak.

Baru-baru ini, seorang pakar kawalan serangga, Naim, telah berkongsi ringkas di akaun X (@naimpestcontrol) bahawa ubat penyembur serangga (aerosol) boleh mewujudkan risiko masalah perkembangan saraf dalam kanak-kanak.

Katanya, racun serangga mengandungi bahan kimia piretroid, iaitu racun buatan sama seperti yang dihasilkan oleh bunga kekwa.


Piretroid Boleh Memasuki Tubuh Badan Menerusi Pemakanan & Kulit

Berdasarkan kajian di Amerika Syarikat, terdapat sekurang-kurangnya tujuh jenis piretroid yang ditemui pada habuk, makanan, permukaan dan sampel udara dalam rumah.

Malah, majoriti kanak-kanak yang terlibat dalam kajian ini didapati telah terdedah kepada sekurang-kurangnya satu jenis piretroid.

Di samping itu, kajian mendapati pengambilan makanan merupakan laluan pendedahan utama terhadap piretroid bagi kanak-kanak.

Akan tetapi, di kediaman yang sering menggunakan racun serangga, lebih banyak bahan kimia ini memasuki tubuh badan kanak-kanak melalui sentuhan atau kulit.

Pastikan makanan ditutup dahulu sebelum menyembur racun serangga. (Sumber gambar: Pexels)

Piretroid Dalam Jumlah Sedikit Tidak Berbahaya

Menurut Hello Doktor, piretroid di dalam racun serangga sebenarnya dalam kuantiti selamat dan hanya memberi sedikit atau tiada kesan terhadap manusia.

Ini kerana bahan kimia itu yang masuk ke dalam badan akan dikeluarkan semula semasa membuang air kecil atau air besar. Malah, ia tidak kekal lama di dalam tubuh badan dan dikumuhkan dengan cepat.

Namun begitu, pendedahan kepada bahan kimia ini secara berlebihan akan menyebabkan seseorang berasa pening kepala, rasa mual, muntah-muntah serta cirit-birit.

Naim berkata piretroid juga boleh ditemukan di dalam ubat nyamuk lingkaran dan ubat kutu kucing.

Kucing yang telah dimandikan dengan ubat kutu akan mempunyai sisa piretroid pada badannya, namun tiada masalah jika terdedah dalam kuantiti yang sedikit. (Sumber gambar: Unsplash)

Kesan Pendedahan Piretroid Terhadap Kanak-Kanak

Satu kajian yang dijalankan ke atas anak tikus mendapati pendedahan dos rendah terhadap piretroid deltamethrin (DPE) memberi kesan terhadap perkembangan saraf.

Pendedahan tersebut menyebabkan anak tikus kurang berbunyi, sering melakukan perkara yang berulang-ulang serta menjejaskan Fear Conditioning dan Operant Conditioning.

Selain itu, kajian lain mendapati bahawa pendedahan rendah terhadap DPE mungkin mempunyai kesan buruk terhadap perkembangan neurokognitif kanak-kanak menjelang usia enam tahun.

Ini dikenal pasti menerusi hubung kait negatif antara konsentrasi bahan kimia itu dengan markah pemahaman lisan dan memori kerja kanak-kanak.

Kajian sama juga mendapati, perkembangan saraf anak-anak tidak terjejas jika ibu terdedah kepada piretroid sewaktu mengandung.


Penggunaan Sabun Mandi Tertentu Buat Nyamuk Tertarik

Selain itu, Naim turut berkongsi bahawa nyamuk akan lebih tertarik terhadap individu yang menggunakan sabun tertentu. Oleh itu, anda boleh cuba menukar sabun mandi untuk elak daripada digigit nyamuk.

Katanya, nyamuk akan tertarik pada bahan yang terdapat di dalam sesetengah sabun. Kajian yang dilakukan terhadap empat sabun terkenal di AS mendapati nyamuk cenderung untuk hinggap pada individu yang menggunakan dua sabun.

Sebaliknya, penggunaan sabun yang menggunakan minyak kelapa sebagai bahan asas terbukti dapat mengurangkan gigitan nyamuk.

Sumber gambar: Pexels

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd