Now Reading
“Saya Rasa Macam Nak Mati” – Wartawan Bangladesh Dikurung & Diseksa Beberapa Individu

“Saya Rasa Macam Nak Mati” – Wartawan Bangladesh Dikurung & Diseksa Beberapa Individu

Wartawan terbabit percaya kejadian yang menimpa dirinya itu mempunyai kaitan dengan artikel berkenaan jenayah ekploitasi warga asing yang pernah dikeluarkan olehnya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang wartawan antarabangsa menceritakan kembali detik hitam yang dilalui olehnya selepas dia dikurung dan diseksa selama tiga hari oleh beberapa individu dalam sebuah rumah.

“Badan saya ditumbuk serta diterajang selain tangan saya ditoreh,” katanya.

Wartawan berasal daripada Bangladesh yang dikenali sebagai Ahmad itu telah dilarikan oleh beberapa individu pada 7 November lalu.

Ahmad berasa saat kematian sangat dekat semasa dikurung dan diseksa

Menurut Ahmad, dia berasa saat kematian sangat dekat dengan dirinya semasa menempuhi detik menakutkan terbabit.

“Macam-macam mereka buat kepada saya, mereka tumbuk, tendang saya beberapa kali pada bahagian badan selain tangan saya dilukakan dengan pisau.

“Saya rasa macam nak mati ketika itu, namun saya kuatkan semangat saya dan berusaha untuk cari pelbagai helah untuk melepaskan diri,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beberapa individu datang ke rumahnya dan mengaku sebagai anggota polis

Menurutnya lagi, semasa awal kejadian dia didatangi beberapa individu yang mengaku sebagai anggota polis di rumahnya di Putrajaya sekitar 7 November lalu.

“Mereka mendakwa perlu menahan saya berkaitan satu kejadian yang ada melibatkan mangsa, saya percayakan mereka kerana mereka mengaku sebagai anggota polis.

“Hati saya mula mengesyaki sesuatu apabila pada awalnya saya didakwa akan dibawa ke sebuah pejabat, namun sebaliknya berlaku apabila saya diserahkan kepada beberapa individu lain, masa tu saya sedar diri saya dalam bahaya,” katanya.

Dibawa dan dikurung dalam sebuah rumah

Kata Ahmad, dia kemudiannya dibawa dan dikurung di dalam sebuah rumah oleh individu terbabit.

“Ketika itu saya menempuh detik hitam apabila diperlakukan sedemikian, saya tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya hanya merayu agar dilepaskan.

“Saya dipaksa memberikan wang berjumlah RM1.9 juta, namun saya tiada wang sebanyak itu, saya kemudian hanya mampu beri kepada mereka sebanyak RM50,000 sahaja, itu pun selepas mereka pukul dan ugut saya dengan menunjukkan video kejam yang memaparkan individu disembelih,” katanya lagi.

Ahmad cuba melarikan diri semasa dibawa ke klinik untuk menerima rawatan

Jelas Ahmad lagi, dia cuba melarikan diri selepas dibawa ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan pada hari kedua ditahan.

“Lepas saya dirawat, saya terus lari keluar dari klinik berkenaan dan menjerit meminta pertolongan, bagaimanapun tiada sesiapa yang bantu.

“Salah seorang suspek kemudian kejar saya dan berjaya tangkap saya ketika itu sebelum dibawa pulang ke tempat saya dikurung,” katanya.

Dakwa kejadian terbabit ada kaitan dengan artikel jenayah ekploitasi warga asing

Ahmad percaya kejadian yang menimpa dirinya itu mempunyai kaitan dengan artikel berkenaan jenayah ekploitasi warga asing yang pernah dikeluarkan olehnya.

“Saya cuba bermain psikologi dengan salah seorang suspek dan mempersoalkan tindakannya itu yang sanggup bersekongkol dengan warga asing hanya demi wang.

“Saya ceritakan segalanya berkaitan laporan yang saya buat sebelum ini dan suspek akhirnya bersetuju melepaskan saya setelah mendengar penjelasan saya itu,” ujarnya.

Dia turut memanjatkan rasa sukur kerana masih selamat dan menghargai usaha pihak polis yang pantas dalam menangani kes terbabit.

“Saya difahamkan beberapa individu terlibat telah ditahan, saya ucap terima kasih kepada pihak polis.

“Sebagai seorang wartawan, apa yang saya alami ini satu pengalaman cukup bermakna, dan apa pun, saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bernafas,” ujarnya.

Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP)

Terdahulu pada Isnin (13 November), Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan berhubung tiga anggota polis didakwa terlibat dalam kes pemerasan dan melarikan mangsa akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) minggu ini.

Jelasnya, ketiga-tiga anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya itu dibebaskan dengan jaminan selepas reman tamat semalam (14 November).

“Setakat ini kita mengambil keterangan seramai lapan individu bagi membantu siasatan.

“Tangkapan membabitkan enam orang iaitu tiga anggota dan tiga orang awam. Kesemua suspek orang awam terbabit direman sehingga lusa,” katanya dipetik Harian Metro.

Ketiga-tiga anggota polis terlibat dalam proses ditahan kerja

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ketiga-tiga anggota berkenaan ketika ini dalam proses ditahan kerja.

“Proses itu akan dilaksanakan selepas siasatan ke atas mereka selesai,” kata Allaudeen.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd