Cameron Highlands Terpilih Antara 51 Lokasi Tercantik Di Dunia
Selain Cameron Highlands, terdapat beberapa lagi destinasi pelancongan di Asia yang turut terpilih antaranya di Filipina, Vietnam dan Jepun.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum pasti mengetahui, Tanah Tinggi Cameron atau Cameron Highlands merupakan salah satu destinasi percutian yang sering menjadi pilihan pelancong tempatan dan juga luar negara.
Ini kerana pusat peranginan itu bukan sahaja terkenal dengan persekitaran yang sejuk malah ia turut menawarkan pemandangan yang menakjubkan.
Namun siapa sangka, keindahan alam semulajadi Cameron Highlands yang terletak di Pahang ini turut mendapat pengiktirafan dari luar negara apabila disenaraikan sebagai salah satu dari 51 destinasi tercantik di dunia oleh Conde Nast Traveler (CN Traveler).
Menurut CN Traveler, agak sukar untuk memilih satu-satunya lokasi cantik di Malaysia jika dilihat dari kepelbagaian diversiti di negara ini. Namun jika perlu membuat pilihan, Cameron Highlands adalah pemenangnya.
“Terletak di negeri Pahang, kawasan seluas 275 batu persegi ini adalah rumah kepada ladang teh terbesar di negara ini. Selain itu ia bukit-bukit hijau boleh dilihat dari kejauhan.
“Anda juga boleh menerokai taman rama-rama dan ladang strawberi,” kata CN Traveler.
Selain Cameron Highlands, terdapat beberapa lagi destinasi pelancongan di Asia yang turut tersenarai antaranya Ha Long Bay (Vietnam), Palawan (Filipina), Gunung Fuji serta Arashiyama Bamboo Grove (Jepun) dan Danxia Landform Geological Park (China.)
Pemilihan Cameron Highlands di dalam senarai tersebut menjadikan tanah tinggi ini sebaris dengan beberapa lagi tempat pelancongan terkemuka dunia seperti Amazon (Amerika Selatan), Cappadocia (Turkiye), Greenland (Denmark), The Great Barrier Reef (Australia) dan banyak lagi.
Sebagai info selain destinasi pelancongan, Cameron Highlands yang terletak pada ketinggian sekitar 1,500 m di Banjaran Titiwangsa merupakan sebuah daerah yang menjadi kawasan penempatan buat lebih 30,000 orang penduduk.
Tiga pekan utama yang terletak di sini adalah Ringlet, Brinchang dan Tanah Rata. Selain itu turut terdapat beberapa lagi penempatan seperti Lembah Bertam, Kuala Raja, Kuala Terla dan lain-lain.
Cameron Highlands mula diterokai oleh Sir William Cameron sekitar tahun 1885 di mana pada ketika itu dia sedang melakukan pemetaan persempadanan Pahang-Perak.Â
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.