Now Reading
Pengasas & Pengerusi Sunway Group Terima Darjah Kebesaran KBE Dari Raja Charles

Pengasas & Pengerusi Sunway Group Terima Darjah Kebesaran KBE Dari Raja Charles

Menurut Suruhanjaya Tinggi British, darjah kesatria yang membawa gelaran awalan KBE itu adalah begitu berprestij dan jarang dianugerahkan kepada rakyat dari negara bukan Komanwel.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah telah disenarai sebagai penerima darjah kebesaran Komander Kesatria Darjah Yang Paling Cemerlang Empayar British (Knight Commander of the Most Excellent Order of the British Empire) atau KBE oleh Raja United Kingdom, Raja Charles III.

Beliau diberi penghormatan itu atas khidmat sumbangannya dalam bidang pendidikan tinggi, kesihatan selain sikap kedermawanan yang dimilikinya.

Suruhanjaya Tinggi British dalam satu kenyataan berkata, darjah kesatria yang membawa gelaran awalan KBE itu adalah begitu berprestij dan jarang dianugerahkan kepada rakyat dari negara bukan Komanwel.

Penganugerahan ini sekaligus menjadikan Cheah sebagai rakyat Malaysia pertama yang pernah menerima kebesaran dari Raja Charles dan kedua di negara kita sejak belakangan ini.

“Darjah kebesaran ini juga satu pengiktirafan ke atas peranan penting yang dimainkan Cheah dalam menjalin hubungan peringkat tinggi dengan beberapa institusi UK hingga menyumbang kepada hubungan dua hala antara UK dan Malaysia,” kata Suruhanjaya Tinggi British.

Selain statusnya sebagai usahawan dan dermawan terkemuka di Malaysia, Cheah juga cukup dikenali sebagai pengasas dan pemegang amanah Yayasan Jeffrey Cheah yang memiliki dan mentadbir semua entiti dalam Kumpulan Pendidikan Sunway di bawah struktur bukan untuk keuntungan (not-for-pofit structure).

Setakat hari ini, yayasan tersebut sudah mengagihkan lebih RM670 juta biasiswa sebagai sokongan pendidikan kepada pelajar yang layak dan memerlukan.

Selain itu ia juga telah menaja kerusi dan jawatan profesor di beberapa universiti terkemuka dunia antaranya Universiti Cambridge dan Universiti Oxford di UK bagi memudahkan pemindahan pengetahuan dan membawa pakar bertaraf dunia ke Malaysia.

Bagi bidang perniagaan dan kedermawanan pula, usaha berterusan Cheah untuk belajar daripada yang “terbaik dan bekerja dengan yang terbaik” membawa kepada usahasama peringkat tinggi antara Sunway, Yayasan Jeffrey Cheah dan institusi terkenal di UK seperti:

  • Universiti Cambridge
  • Universiti of Oxford
  • Universiti Lancaster
  • Royal College of Physicians
  • Chevening Awards – program biasiswa premius oleh Kerajaan UK
  • Association of Chartered Certified Accountants (ACCA)
  • Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW)

Sumbangan Cheah pada bidang kesihatan

Dalam bidang kesihatan pula, usahawasa bersama Universiti Cambridge menyaksikan Pusat Perubatan Sunway di Sunway City Kuala Lumpur dilantik sebagai Rakan Tapak Serantau Pusat Cambridge University Clinical Research Centre serta penamaan Jeffrey Cheah Biomedical Centre di Kampus Bioperubatan Universiti Cambridge, kluster bioteknologi terbesar di luar Amerika Syarikat (AS).

“Selain memainkan peranan penting dalam tindak balas UK terhadap COVID-19, Pusat Bioperubatan Jeffrey Cheah menempatkan lebih 300 saintis yang menjalankan penyelidikan canggih untuk menangani cabaran kesihatan awam terkini dan baru muncul,” menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi British lagi.

Sumbangan dalam Pendidikan

Dalam sektor pendidikan pula, hubungan dua hala antara Universiti Sunway dan Universiti Lancaster sejak 2006 telah menjadi salah satu kerjasama pendidikan tinggi transnasional paling berjaya di peringkat dunia, sehingga memenangi anugerah “UK-Malaysia Education Institutional Partnership” pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) 2022.

“Terkini, Cheah mengetuai Kumpulan Sunway menerusi Sunway Innovation Lab menjalin kerjasama dengan firma berpangkalan di Cambridge, Deeptech Labs, justeru membolehkan mereka mempercepatkan pertumbuhan teknologi karbon sifar dan membuka jalan untuk syarikat pemula UK di rantau Asia Pasifik,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu Cheah meluahkan rasa terharu dengan penganugerahan itu dan menganggap penghormatan diterima beliau setakat bersifat peribadi, tetapi turut mengiktiraf usaha semua pihak yang bergabung dengan Kumpulan Sunway dan Yayasan Jeffrey Cheah dalam memberi impak positif kepada masyarakat dan Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, H.E Ailsa Terry, turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Cheah dan menyifatkan beliau sebagai usahawan luar biasa yang telah membangun dan membawa Kumpulan Sunway menjadi konglomerat yang berjaya dengan pelaburan di UK.

Difahamkan Terry akan menyampaikan darjah kebesaran itu kepada Cheah bagi pihak Raja Charles pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd