Now Reading
Jiran, Guru & Ahli Keluarga Boleh Didakwa Jika Gagal Lapor Kes Jenayah Seksual Kanak-Kanak

Jiran, Guru & Ahli Keluarga Boleh Didakwa Jika Gagal Lapor Kes Jenayah Seksual Kanak-Kanak

Menurut Azalina, beliau mahu komuniti dilibatkan sepenuhnya bagi melancarkan prosiding kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum mengetahui kes jenayah seksual lazimnya melibatkan perbuatan keji antaranya seperti rogol, cabul, sumbang mahram, luar tabii dan pornografi.

Kebiasaannya, wanita sering menjadi mangsa jenayah seksual. Namun, sejak akhir-akhir ini, kanak-kanak juga tidak terkecuali dari menjadi mangsa.

Malah, kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak dilihat semakin meningkat hingga menimbulkan kerisauan terutama dalam kalangan ibu bapa.

Komuniti Setempat Seperti Jiran, Guru & Ahli Keluarga Boleh Didakwa

Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, komuniti setempat seperti guru, jiran dan ahli keluarga yang menjadi saksi kes jenayah seksual kanak-kanak boleh didakwa di mahkamah sekiranya menyembunyikan atau tidak melaporkan kes berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya mendapati tidak ramai saksi terutama yang mempunyai hubungan yang rapat dengan mangsa tampil membuat laporan berhubung kes itu.

Beliau mahu komuniti dilibatkan sepenuhnya bagi melancarkan prosiding kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.

“Kes jenayah seksual kanak-kanak bukan hanya membabitkan mangsa (kanak-kanak) dan suspek sahaja tetapi jiran, cikgu sekolah dan ahli keluarga boleh dilibatkan jika mereka gagal buat laporan.

“Ini (tindakan) yang saya nak buat secara agresif. Sebab jika jiran tahu, cikgu tahu dan ahli keluarga tahu tetapi diam dan tidak mahu terlibat, maka kes dihadapi mangsa akan bertambah sulit.

“Kita kena kejar mereka kerana peruntukan itu sudah ada dalam undang-undang. Inilah cara kita nak bagi perlindungan secara menyeluruh kepada mangsa,” kata beliau yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Belum Ada Lagi Yang Didakwa Di Bawah Akta 792

Walau bagaimanapun, menurut Azalina, belum ada lagi individu yang didakwa berkaitan kes jenayah ini walaupun ia telah termaktub dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Tambah beliau, satu perbincangan berhubung penguatkuasaan sepenuhnya akta akan diadakan pada hari ini (24 Oktober) bersama-sama pihak mahkamah dan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman.

Peruntukan ini akan dilaksanakan dengan lebih ketat dan sekaligus memberi pembelaan kepada mangsa yang terlibat.

“Mengikut Akta 792, kes jenayah seksual kanak-kanak ini sepatutnya diselesaikan dalam masa setahun tetapi realitinya ia memakan masa yang begitu lama,” katanya.

Beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Dr. Farah Nini Dusuki berhubung perkara yang sama serta memastikan peruntukan tersebut diguna pakai dan dikuatkuasakan sepenuhnya.

Pada masa yang sama, Azalina turut memuji perkhidmatan pendamping kanak-kanak bagi kes jenayah seksual kerana kumpulan ini dilihat dapat membantu mengurangkan ketakutan dalam diri mangsa.

“Saya mahu khidmat ini diperluaskan ke kawasan luar bandar dan inisiatif itu juga akan dimasukkan dalam pelaksanaan Belanjawan 2024,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd