Now Reading
Teater ‘Kenapa Kau Masuk Neraka’ Cerita Tentang Pilihan Manusia [Review]

Teater ‘Kenapa Kau Masuk Neraka’ Cerita Tentang Pilihan Manusia [Review]

Isu yang diketengahkan melalui teater “Kenapa Kau Masuk Neraka” kali ini adalah isu kemanusiaan dan kesihatan mental.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pernah tak korang terfikir segala pilihan yang dibuat sekarang akan memberi kesan bukan sahaja pada waktu ini, tetapi juga pada masa akan datang malah setelah kematian?

Mengisahkan tentang tiga individu yang menyelusuri semula kisah hidup mereka sewaktu dihakimi di satu tempat antara kehidupan dan kematian, teater “Kenapa Kau Masuk Neraka” telah berlangsung dari 16 hingga 20 Ogos 2023 di Bleenkbox Studio, Petaling Jaya Commercial Centre.

Apabila ditanyakan kepada penonton lain yang hadir, beberapa individu berkata tajuk “Kenapa Kau Masuk Neraka” membuatkan mereka berminat untuk menghadiri pementasan tersebut.

Teater bermula dengan tiga watak yang sedang berada di satu tempat dan berhadapan dengan satu watak bukan manusia digelar Abbaniy. Ketiga-tiga watak itu kemudian mengingati kembali kisah hidup mereka sebelum akhir hayat.

Watak-watak di dalam pementasan ini dibelenggu dengan pelbagai masalah yang dianggap tabu dan tidak dibincangkan oleh masyarakat walaupun ia sering terjadi di sekeliling kita.

Di samping itu, watak Abbaniy bertindak sebagai penjaga di tempat itu. Gelaran tersebut dipercayai diambil sempena nama malaikat Zabaniyah iaitu penjaga neraka menurut Islam. Berbeza dengan malaikat Malik yang ditugaskan untuk menjaga pintu neraka, Zabaniyah menyeksa mereka yang dimasukkan ke dalam neraka.

Dipentaskan di ruang Blackbox, penonton berasa rapat dan intim dengan pelakon. Persekitaran ini membuatkan penonton dapat lebih mendalami apa yang dirasakan oleh watak-watak yang dibawa.

Melalui konsep minimalis, pentas hanya dihias dengan satu kotak hitam. Lokasi di dalam jalan cerita ditunjukkan melalui penggunaan kesan bunyi dan pencahayaan yang bertepatan.

Pengakhiran cerita juga menimbulkan reaksi yang pelbagai daripada para penonton. Namun rata-rata penonton menerima mesej tentang pilihan dan peluang kedua yang ingin disampaikan oleh penulis dalam karyanya.

Di akhir pementasan, satu sesi diskusi telah diadakan antara kumpulan produksi dan penonton. Dari situ, pengarah menjelaskan bahawa pementasan itu tidak berkaitan dengan mana-mana agama. Sebaliknya, ‘neraka’ merupakan simbolik kepada kehidupan selepas kematian bagi sesetengah individu.


3 Pelakon Mainkan Beberapa Watak Dalam Satu Masa

Teater “Kenapa Kau Masuk Neraka” menampilkan barisan pelakon berbakat iaitu Azwan Ahmadi, Shasha Fairus dan Aidil Rosli sebagai watak manusia serta Atiqah Jani yang memainkan watak Abbaniy. Keempat-empat mereka pernah mengungguli anugerah pentas-pentas teater seperti Festival Teater Malaysia dan Anugerah Teater Malaysia.

Selain daripada teknik lakonan yang baik, ketiga-tiga pelakon turut perlu memainkan beberapa watak sepanjang pementasan itu. Perubahan dari satu watak ke watak yang lain dilakukan bukan sahaja melalui penggunaan barangan props, tetapi juga perubahan raut muka, gerak badan dan suara.

Perubahan watak yang jelas menunjukkan pengarah telah berjaya dalam memilih dan mengasah para pelakon yang berbakat.

Terdapat juga babak ketika mana pelakon menggunakan teknik memecahkan dinding keempat apabila berinteraksi bersama para penonton. Malah, rata-rata penonton memberikan kerjasama dalam interaksi tersebut.


LaraSeni Ingin Bawa Isu Kemanusiaan & Kesihatan Mental Ke Hadapan

Teater ini telah dipentaskan oleh Bleenkbox Studio dengan usahasama LaraSeni, iaitu gabungan tiga organisasi Kat Showtime, Ara Jiwa dan Rundi & Associates.

Terdiri daripada tiga latar belakang pengasas yang berbeza iaitu pengamal seni, advokat hak-hak manusia, dan pengamal kaunseling, LaraSeni berdedikasi untuk menggunakan teater sebagai platform bertujuan mempromosikan kesedaran dan perubahan.

Isu yang diketengahkan melalui teater “Kenapa Kau Masuk Neraka” kali ini adalah isu kemanusiaan dan kesihatan mental. Terdapat babak di mana watak-watak mengalami tekanan dan akhirnya membuat keputusan mengambil nyawa sendiri setelah gagal mendapatkan bantuan.

Melalui “Kenapa Kau Masuk Neraka”, kami berharap dapat mencabar persepsi, memecahkan stereotaip, dan akhirnya menyumbang kepada masyarakat yang lebih berbelas kasihan dan memahami kesihatan mental.

Penulis dan pengarah, Harith Amirrul.

Memandangkan produksi ini menjurus ke arah kemanusiaan dan kesihatan mental, ia telah mendapat nasihat daripada Atiqah Jani selaku seorang pakar kesihatan mental bagi memastikan gambaran itu dihormati dan tepat.

Sebagai profesional kesihatan mental, saya teruja untuk menjadi sebahagian daripada projek yang menggunakan seni untuk mewujudkan kesedaran dan empati di dalam perjuangan kesedaran dan pendidikan kesihatan mental.

Kaunselor Berdaftar, Atiqah Jani.

Selain daripada mewujudkan kesedaran tentang kesihatan mental, kumpulan itu juga berharap supaya usaha mereka dapat memberi galakan kepada individu yang terkesan untuk mendapatkan bantuan.

Dengan menceritakan kisah-kisah ini di atas pentas, kami boleh menyumbang untuk mengurangkan stigma dan menggalakkan individu untuk mendapatkan bantuan yang mereka perlukan.

Pengurus Pentas, Firdaus Rundi.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd