Now Reading
Mattel Perkenal Blister Edisi Khas Hot Wheels Proton Saga, Bakal Dilancar Pada 2024

Mattel Perkenal Blister Edisi Khas Hot Wheels Proton Saga, Bakal Dilancar Pada 2024

Ia sekaligus menjadikan Harn kanak-kanak pertama di dunia yang berjaya mengabdikan karya seni lukisan tangannya pada pembungkusan die-cast Hot Wheels.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sekitar penghujung tahun 2022 yang lalu, Mattel Inc iaitu pengeluar kereta mainan Hot Wheels telah mengumumkan kerjasama dengan syarikat automotif tempatan Proton bagi mengeluarkan model die-cast skala 1:64 kereta nasional pertama negara, Proton Saga.

Presiden dan Ketua Pegawai Komersial Mattel Inc Steve Totzke berkata, kerjasama tersebut adalah bersempena dengan ulang tahun ke-40 syarikat itu di Malaysia.

Pengumuman tersebut nyata mengujakan rata-rata rakyat Malaysia khususnya peminat Hot Wheels yang sudah tidak sabar untuk memiliki model die-cast edisi khas itu.

Terbaharu semalam (29 Julai) Mattel Inc di acara Art Of Speed 2023 (AOS2023) di MAEPS Serdang mengumumkan model tersebut akan dilancarkan pada 2024.

Mattel Inc turut memperkenalkan kepada media dan pengunjung reka bentuk pembungkusan Hot Wheels Proton Saga Edisi Khas itu.

Foto: TRPbm/ Hairi Ezreen

Apa yang menariknya, reka bentuk pembungkusan itu dihasilkan oleh seorang kanak-kanak berusia 9 tahun dari Pulau Pinang, Saw Jane Harn yang memenangi Pertandingan Rekaan Hot Wheels x Proton Kids yang diadakan awal tahun ini.

Ia sekaligus menjadikan Harn kanak-kanak pertama di dunia yang berjaya mengabdikan karya seni lukisan tangannya pada pembungkusan die-cast Hot Wheels.

“Selama lebih 50 tahun, Hot Wheels dikenali kerana menyemarak dan memupuk semangat sukakan cabaran dalam diri setiap kanak-kanak bagi membantu mereka mencapai potensi sebenar mereka,” kata Pengurus Besar, Mattel Asia Selatan, Murat Ariksoy.

Pasukan kami berhasrat untuk membawa pengalaman baharu dan mendebarkan untuk membangunkan kemahiran dan keyakinan kanak-kanak untuk mengharungi dunia dengan menggabungkan persaingan, eksperimen dan kreativiti. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Proton untuk mereka bentuk pertandingan ini yang memperkasakan generasi akan datang untuk berani katakan, ‘Cabaran Diterima!’

Pengurus Besar, Mattel Asia Selatan, Murat Ariksoy.

Reka bentuk pembungkusan atau blister tersebut tampil dengan kombinasi warna Jalur Gemilang iaitu merah, putih, biru dan kuning selain paparan lukisan seperti Burung Kenyalang, Bunga Raya dan monumen seperti KLCC.

Menurut Ketua Pereka Proton, Azlan Othman yang juga salah seorang hakim bagi Pertandingan Rekaan Hot Wheels x Proton Kids, elemen-elemen Malaysia yang dipilih Jane Harn untuk reka bentuknya adalah contoh utama yang menunjukkan negara kita yang indah.

Proton Saga Merah

Kami juga berpeluang untuk menyaksikan sendiri contoh die-cast model tersebut yang dipamerkan di AOS 2023.

Produk ini tampil dengan exterior berwarna merah, sama seperti protoip yang ditunjukkan pada tahun lepas.

Namun kali ini, ia dilihat telah menerima lebih banyak perincian baharu antaranya rim dual-tones iaitu hitam dan putih, cermin sisi dan juga pelekat jalur hitam serta tulisan SAGA di bahagian tepi model die-cast itu.

Setakat ini Mattel mengesahkan, model khas kereta nasional pertama ini hanya akan hadir dengan warna merah.

Pasti ramai yang tidak sabar nak lihat hasil sebenar die-cast ni bukan? Mesti lebih menarik jika ada banyak lagi model Proton yang akan dihasilkan oleh Hot Wheels kelak.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd