Now Reading
Taman Kucing Di Cyberjaya Jadi Tumpuan, Orang Ramai Boleh Lawat & Adopt Kucing Jalanan Yang Diselamatkan

Taman Kucing Di Cyberjaya Jadi Tumpuan, Orang Ramai Boleh Lawat & Adopt Kucing Jalanan Yang Diselamatkan

Individu yang berminat untuk mengambil kucing perlu membawa carrier sendiri dan menyediakan wang sejumlah RM150 bagi menanggung kos rawatan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kucing jalanan atau kucing liar banyak didapati berkeliaran di merata tempat seperti di kawasan perumahan, lorong-lorong kedai, dan di luar gerai makan. Terdapat beberapa pihak persendirian atau badan bukan kerajaan yang sering memberi makan kepada kucing-kucing jalanan ini.

Malah, kucing-kucing yang sakit dibawa ke veterinar dan turut dimandulkan di bawah program ‘Trap, Neuter, Release’ (TNR). Tidak kurang juga individu yang mengambil kucing terbiar atau menjaganya (foster) sebelum diberikan kepada individu yang berminat.

Prihatin dengan isu tersebut, Majlis Perbandaran Sepang (MPS) telah mewujudkan Taman Kucing di Taman Tasik Cyberjaya yang bertujuan untuk menyelamatkan kucing jalanan dan memberi peluang kepada mereka supaya diambil (adopt) oleh orang ramai.

Taman Kucing Cyberjaya telah dirasmikan oleh Permaisuri Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada 18 Mac tahun ini.

Sumber: Taman Kucing Cyberjaya Sepang/ Facebook

Ia turut menerima lawatan daripada Organisasi Luar Negara Majlis Nonsan-Si Korea Selatan pada 10 Mei.

Kucing-kucing yang berada di sini boleh diambil oleh mana-mana individu yang berminat.


Adopt Kucing Di Taman Kucing Cyberjaya

Pengguna TikTok @saraazharrr telah melawat Taman Kucing Cyberjaya dan membuat perkongsian di akaunnya.

Di dalam video tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata kapasiti maksimum Taman Kucing tersebut adalah sekitar 200 ekor kucing dalam satu masa.

Dia berharap supaya penubuhan Taman Kucing itu dapat mewujudkan kesedaran terhadap kucing jalanan supaya orang ramai menyelamatkan mereka berbanding mengeluarkan wang untuk membeli haiwan.

Kita menggalakkan orang ramai supaya mengambil (adopt) kucing berbanding membeli.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Katanya lagi, beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di negeri Selangor seperti di Klang, Ampang Jaya dan Selayang, turut dalam proses untuk membina Taman Kucing.


Kucing Yang Diselamatkan Dirawat Sehingga Sihat

Menurut Arifah, pembantu Taman Kucing Cyberjaya, kucing yang diselamatkan dari jalanan akan disaring dari segi kesihatannya untuk melihat sama ada ia menghidapi kurap, demam, selesema dan lain-lain masalah.

Kucing turut diberikan suntikan vaksin dan dibersihkan (grooming). Seterusnya, ia akan diletakkan di ruang kuarantin selama satu minggu sebelum veterinar melakukan ujian untuk menilai semula kesihatan kucing.

Taman Kucing Cyberjaya mempunyai empat bilik yang membahagikan kucing-kucing berdasarkan tahap kesihatan. Kucing yang selesai dikuarantin akan ditempatkan bersama kucing-kucing lain yang lebih sihat.

Arifah berkata rawatan kucing di Taman Kucing tersebut diletakkan di bawah pengendalian satu klinik panel yang dilantik. Pihak veterinar akan memeriksa kucing-kucing dua kali dalam satu minggu iaitu pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Taman Kucing itu turut mempunyai satu Unit Rawatan Rapi yang menyimpankan bekalan-bekalan ubat bagi kucing-kucing di sana. Pemeriksaan kesihatan ke atas kucing-kucing turut dilakukan oleh veterinar di unit berkenaan.

Selain itu, dia berkata pengunjung yang ingin mengambil (adopt) kucing akan diberi pilihan kucing yang benar-benar sihat dan telah sembuh dari sebarang masalah kesihatan.

Data individu yang mengambil kucing tersebut akan diambil oleh pihak Taman Kucing sebelum serahan kucing dilakukan.


Sistem e-Cats Tempatkan Data Kucing Yang Diselamatkan

Di samping itu, Arifah berkata satu sistem yang digelar e-Cats akan diwujudkan di Sepang. Melalui sistem tersebut, data setiap kucing yang diselamatkan seperti nama, tarikh masuk dan tarikh keluar akan dicatat secara digital.

Laporan yang disediakan itu akan turut diberikan kepada individu yang mengambil kucing berkenaan. Perkara ini dapat membantu pemilik untuk merujuk sejarah kesihatan kucing yang diambil.

Arifah berkata kucing-kucing yang berada di Taman Kucing sentiasa ditempatkan di dalam sangkar. Namun mereka akan dilepaskan sebentar untuk berkeliaran di kawasan tersebut selama 30 minit pada setiap hari Ahad.

https://www.tiktok.com/@saraazharrr/video/7257076899921317122

Orang awam yang ingin melawat Taman Kucing Cyberjaya boleh berbuat demikian pada hari Ahad jam 9am-11am atau 4pm-6pm.

Bagi mereka yang ingin mengambil kucing angkat pula perlu membawa bekas atau carrier kucing sendiri. Mereka akan dikenakan cas RM150 yang bertujuan utuk menampung kos rawatan seperti suntikan vaksin dan pemandulan. Kucing yang belum dirawat boleh diambil secara percuma.

Orang ramai turut boleh memberikan sumbangan dalam bentuk makanan atau pasir kucing.

Untuk maklumat lanjut layari akaun media sosial Taman Kucing Cyberjaya di Facebook.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd