Now Reading
“Ia Tidak Patuh Syariah”- Ahli Parlimen PAS Persoal Uniform Jururawat Ketat, Nampak Bentuk Badan

“Ia Tidak Patuh Syariah”- Ahli Parlimen PAS Persoal Uniform Jururawat Ketat, Nampak Bentuk Badan

Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor berkata kebanyakan jururawat memakai uniform yang ketat dan menampakkan bentuk badan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Ketika pembentangan Kertas Putih Kesihatan di sesi parlimen hari ini (15 Jun), Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor membangkitkan isu etika pakaian jururawat wanita di fasiliti-fasiliti penjagaan kesihataan.

Saya ingin membangkitkan pemakaian (uniform) jururawat wanita iaitu kebanyakan berpakaian ketat dan menampakkan bentuk badan, di mana ia tidak patuh syariah.

Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.

Menurutnya, kebanyakan jururawat mengenakan uniform yang ketat dan menampakkan bentuk tubuh badan.

Beliau bertanya jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneruskan praktik ‘orang barat’ berkaitan kod pemakaian jururawat, lapor Astro Awani.

Saya ingin bertanya, adakah kita masih berterusan mahu mengikut acuan barat dalam etika pemakaian ini? Apakah ia tidak boleh diubah dan diberi kelongaran?

Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.

Ahli Parlimen dari PAS itu meminta KKM supaya mengambil contoh etika pakaian kakitangan wanita di beberapa hospital lain.

Menurutnya, Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Kuantan memberi pilihan pakaian lebih sesuai kepada kakitangan wanita.

Selain daripada isu etika pakaian jururawat, Wan Razali turut membangkitkan isu lain dalam bidang kesihatan seperti berkenaan pendigitalan sistem kesihatan, autonomi pusat perkhidmatan kesihatan, dan biasiswa pelajar perubatan.


Membezakan Jururawat KKM Berdasarkan Uniform

Rata-rata orang ramai tahu bahawa uniform jururawat kerajaan berwarna putih. Namun, perasan tak terdapat sedikit perbezaan pada uniform jururawat mengikut tugasan mereka?

Jika anda pernah memasuki hospital kerajaan, pasti anda perasan jururawat wanita memakai uniform berwarna putih dan mempunyai jalur biru di topi atau tudung. Juga digelar sebagai staff nurse (SN), mereka adalah jururawat terlatih.

Staff nurse ditempatkan di jabatan kecemasan, wad dan klinik di hospital kerajaan serta Klinik Kesihatan. Antara tugas mereka adalah memberi ‘nursing care’ seperti menyuap ubat, mencuci bahan kumuhan dan memandikan pesakit, menulis laporan serta menjalankan pelan perawatan doktor pakar.

Bagi jururawat lelaki pula, mereka mengenakan kemeja berwarna putih juga dengan jalur biru di bahu.

Terdapat juga jururawat dengan jalur ungu iaitu Jururawat Masyarakat (JM). Mempunyai jalur berwarna ungu di topi atau tudung, mereka juga digelar Bidan Profesional. JM bertanggungjawab dalam menyambut kelahiran bayi, memberi perkhidmatan kesihatan kepada ibu, bayi dan kanak-kanak, serta perkhidmatan lawatan ke rumah wanita yang baru bersalin.

Klinik pergigian juga mempunyai jururawatnya yang tersendiri iaitu Jururawat Pergigian atau Juruterapi Pergigian. Mereka fokus dalam kesihatan dan penjagaan gigi. Kalau anda ingat, merekalah yang datang ke sekolah untuk ajar kita cara memberus gigi.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd