Now Reading
“Ada Plan Nak Mengandung Tak?” – Ramai Wanita Tak Puas Hati Sering Alami Diskriminasi Ketika Mohon Kerja.

“Ada Plan Nak Mengandung Tak?” – Ramai Wanita Tak Puas Hati Sering Alami Diskriminasi Ketika Mohon Kerja.

Apabila memohon pekerjaan atau ketika sesi temu duga, wanita sering ditanya berkenaan status perkahwinan serta rancangan keluarganya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Sebuah tinjauan oleh Women’s Aid Organisation pada tahun 2010 mendapati lebih separuh wanita di Malaysia mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk diskriminasi jantina di tempat kerja.

47% wanita ditanya tentang status perkahwinan ketika temu duga pekerjaan. Malah, setiap satu daripada lima orang wanita dipersoalkan tentang kebolehan mereka melakukan suatu tugasan sebagai seorang wanita.

Seorang pengguna Twitter, @FAliaHMS menceritakan pengalamannya mencari kerja. Menurutnya, sebagai seorang isteri dan ibu kepada tiga orang anak, pengalaman mencari kerja baru-baru ini adalah paling teruk pernah dialaminya.

Menurut Alia, selepas dia memohon kerja, tempat kerja berkenaan menghubunginya dan bertanya tentang status perkahwinannya. Apabila mendapat tahu Alia sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak, kesemua syarikat tersebut tidak menghubunginya semula dan majoriti menghantar e-mel untuk menolak permohonannya.

Menjenguk ke ruangan balas, ramai wanita lain turut berhadapan nasib yang sama. Pengguna Twitter lain iaitu @ainjazlan berkata dia tidak dapat mencari pekerjaan sejak tahun lepas walaupun memberitahu bakal majikan bahawa dia tidak bercadang untuk menambah bilangan anak dan sedang menggunakan kaedah perancang keluarga.

@najmiazlan, seorang pengguna Twitter berkata apabila memaklumkan bahawa dia mempunyai seorang anak, bakal majikan berkata akan menghubunginya semula. Namun dia tidak menerima sebarang panggilan susulan.

Pengguna Twitter @lisa_lisahusin berkata dia pernah mengalami keadaan di mana penemu duga bertanya butiran mengenai anaknya. Walaupun Lisa menerima tawaran pekerjaan tersebut, dia tidak menolaknya kerana merasakan perkara tersebut sebagai suatu ‘red flag’ atau amaran.

Di samping itu, pengguna Twitter @lshnni berkata setiap kali dia menghadiri temu duga apabila memohon pekerjaan, pasti bakal majikan bertanya tentang status perkahwinan. Menurutnya, terdapat majikan yang berkata wanita belum berkahwin boleh melakukan kerja lebih masa.


Wanita Berkahwin Alami Masalah Seksisme & Bias Gender Dalam Pasaran Kerja

Sehubungan dengan itu, pengguna Twitter @xatyrosdi memuat naik satu bebenang Twitter berkenaan masalah seksisme dan bias gender yang dialami ibu dan wanita berkahwin dalam pasaran pekerja.

Pertama adalah berkenaan stereotaip dan pra-anggapan, yang mana kebanyakan orang percaya wanita berkahwin, terutamanya yang mempunyai anak, mengutamakan keluarga berbanding pekerjaan. Keadaan ini menyebabkan majikan bersikap berat sebelah terhadap wanita yang memohon kerja.

Kedua, kajian menunjukkan para ibu mengalami kekurangan berbanding ayah atau wanita tanpa anak. Perkara ini digelar sebagai penalti keibuan atau motherhood penalty.

Menurut Izzati, tanggapan berkenaan komitmen dan kebolehsediaan para ibu menyebabkan mereka menerima kurang peluang, gaji lebih rendah dan kemajuan profesional yang terhad.

Ketiga adalah sikap dwistandard (double standard) masyarakat antara lelaki dan wanita. Lelaki selalunya dilihat sebagai pencari nafkah, manakala wanita sering menghadapi tuntutan yang tidak adil. Disebabkan itu, wanita menerima kurang peluang dan mengalami lebih penelitian dalam pekerjaan.

Keempat adalah bias yang dialami para wanita ketika temu duga dan pengambilan pekerja. Wanita bekerja dan ibu sering ditanya tentang status hubungan, rancangan masa depan untuk keluarga atau penjagaan keluarga seperti siapa yang akan menjaga anak yang jatuh sakit.

Lelaki kebiasaannya tidak berhadapan dengan persoalan sebegini dan perkara ini sudah tentu akan memberi impak kepada penilaian yang adil.

Kelima, wanita terutamanya ibu akan mempunyai jurang kerjaya dan pengalaman kerana tidak bekerja untuk menjaga anak. Keadaan ini menyebabkan bakal majikan berasa sangsi atau skeptik terhadap kecekapan dan kemahiran wanita.

Izzati berkata bias yang timbul terhadap wanita perlu dikurangkan melalui desakan di atas sebuah pasaran pekerjaan yang inklusif bagi wanita berkahwin, para ibu dan sesiapa sahaja.


Pendapatan Wanita Menurun Apabila Mempunyai Anak

Data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa wanita secara umumnya mempunyai purata dan penengah gaji dan upah bulanan lebih rendah berbanding lelaki. 

Salah satu daripada akibat penalti keibuaan adalah pendapatan yang berkurangan. Analisa oleh National Women’s Law Center Amerika Syarikat mendapati ibu bekerja hanya dibayar 71 sen (RM3.28) bagi setiap $1 (RM4.63) yang dibayar kepada bapa, menjadikan kerugian terkumpul sebanyak $18,000 (RM83,268) bagi tempoh masa setahun.

Kajian oleh National Bureau of Economic Research di Denmark mendapati pendapatan kasar wanita menurun hampir 30% selepas kelahiran anak pertama. Perkara ini mewujudkan jurang gaji antara ibu dan bapa sekitar 20% dalam jangka masa panjang.

BACA JUGA: Benarkah Pendapatan Wanita Akan Menurun Setelah Mempunyai Anak?

Sebagai seorang wanita, penting untuk kita menegakkan hak wanita ke atas peluang pekerjaan yang sama seperti lelaki. Seringkali, majikan hanya bertanya tentang status perkahwinan atau keluarga kepada wanita.

Sikap diskriminasi terhadap wanita seolah-olah menunjukkan lelaki tidak perlu bertanggungjawab dalam perkahwinan atau terhadap keluarganya. Hal ini mungkin disebabkan oleh sifat patriarki yang masih menebal dalam masyarakat di Malaysia.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd