Now Reading
Kanak-kanak Melecur Hampir 95%, Proton Wira Dilapor Meletup & Terbakar Di Alor Setar, Kedah

Kanak-kanak Melecur Hampir 95%, Proton Wira Dilapor Meletup & Terbakar Di Alor Setar, Kedah

Sebuah kereta Proton Wira dilaporkan terbakar di Alor Setar, Kedah sehingga mencederakan tiga orang mangsa.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Satu kejadian menyayat hati telah berlaku di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22 di Alor Setar hari ini (13 Jun) yang menyebabkan sebuah kereta Proton Wira telah meletup dan terbakar.

Berikutan kejadian itu, pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak berusia lima tahun didapati melecur, lapor Berita Harian.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Abdul Rahim Che Omar, tiga orang mangsa berikut berusia di antara lima hingga 54 tahun.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan berkenaan kebakaran tersebut pada jam 12.31 tengah hari.

Abdul Rahim berkata sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian. Pasukan operasi menemui kereta tersebut terbakar pada bahagian dalam.

Difahamkan, pemandu kereta itu melecur 80% dan isterinya melecur 30% manakala anak mereka melecur hampir 95%.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Kedah, Penguasa Abdul Rahim Che Omar

Orang Awam Bantu Padam Kebakaran Kereta Sebelum Pihak Bomba Tiba

Menurut Abdul Rahim, kebakaran tersebut mulanya dibantu padam oleh orang awam dan pemilik kedai berdekatan menggunakan alat pemadam api. Pihak bomba yang tiba kemudian memastikan supaya api telah dipadamkan sepenuhnya.

Ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Abdul Rahim berkata kereta tersebut telah musnah kira-kira 60% dan punca kebakaran masih dalam siasatan.


Tahap Kecederaan & Peratus Melecur Akibat Kebakaran

Luka akibat bahan api boleh dikategorikan kepada luka terbakar dan luka melecur. Terdapat empat tahap kecederaan akibat kebakaran.

Tahap Pertama atau superficial adalah kecederaan yang hanya terjadi pada lapisan epidermis atau lapisan luar kulit. Kecederaan tersebut tidak melibatkan lapisan kulit lain.

Kecederaan Tahap Kedua (partial thickness) menyebabkan penempusan lapisan kulit luar dan mencederakan lapisan dermis iaitu lapisan bawah kulit.

Tahap Ketiga melibatkan kecederaan pada kesemua lapisan kulit serta saraf sehingga menyebabkan bahagian berkenaan terasa kebas.

Tahap Keempat (full thickness) adalah kecederaan yang paling teruk dan menyebabkan melecur kepada semua lapisan kulit serta kecederaan kepada lapisan otot atau tulang. Saraf yang terlibat dengan kecederaan ini akan rosak sehingga menyebabkan mangsa hilang deria sakit di kawasan berkaitan.

Di samping itu, kecederaan melecur diklasifikasikan berdasarkan kedalaman luka dan keluasan bahagian kulit yang tercedera.

Peratus luka melecur dikira berdasarkan ukuran sebesar tapak tangan mangsa bersamaan 1% melecur. Peratusan permukaan kulit yang melecur lebihi tinggi menyebabkan keadaan lebih teruk.


Rawat Kecederaan Segera Guna Konsep 3B & 3C

Jika individu mengalami kecederaan akibat kebakaran atau bahan panas, rawatan segera boleh dilakukan menggunakan konsep 3B & 3C.

  • Burn stop – hentikan pembakaran. Alihkan objek panas segera daripada mangsa. Buka pakaian yang terbakar. Namun begitu, jangan paksa jika sukar dibuka.
  • Breathing maintain – kekalkan pernafasan mangsa. Pastikan saluran pernafasan mangsa terbuka, tiada sekatan dan tiada sebarang objek yang boleh menghalang pernafasan.

  • Body examine – periksa tubuh badan yang terlibat dan teliti tahap kebakaran.

  • Cool – sejukkan bahagian tubuh badan yang terbakar. Alirkan air paip sejuk sekurang-kurangnya selama 10 minit.

  • Cover – tutup bahagian yang terbakar. Gunakan kain atau plastik bersih.

  • Carry – mangsa yang mengalami kecederaan teruk dibawa ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd