Now Reading
Musim Boikot Kembali: Dari Kaca Mata Anak Malaysia [Pendapat]

Musim Boikot Kembali: Dari Kaca Mata Anak Malaysia [Pendapat]

“Pada saat ketika krisis berlaku, penting bagi kita untuk merangkul dan membina strategi yang lebih membina, yang mengutamakan kebajikan dan keperluan mereka yang dilanda kesusahan.”

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Oleh:
Chris Emmanuel.


Palestin. Gaza. Israel. Amarah. Kecewa. Putus asa.

Semua perasaan ini bercampur baur, emosi jadi celaru. Lahir sebuah keghairahan untuk bertindak – keghairahan yang merebak bak api menyala di serata Semenanjung Malaysia.

Tak lama lagi, keghairahan ini akan merentas Laut China Selatan, tiba di Bumi Kenyalang, di Kuching, bandar di mana rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang hidup aman harmoni.

Sambil menghirup secangkir kopi Cold Brew di tengah pusat membeli-belah Viva City, Kuching – suatu kemewahan yang telah menjadi kebiasaan buat diri ini – saya merenung kembali pilihan gaya hidup selama 30 tahun hidup di dunia ini.

Baru minggu lalu, saya berada tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Di sana, seperti biasa nikmat dunia yang saya cari adalah Nitro Cold Brew di kedai kopi kegemaran. Banyak yang sama – rasanya, penampilannya, perkhidmatan dari baristanya. Tapi seperkara yang amat berbeza: saya tak perlu beratur panjang.

Lengang suasananya.

Didorong rasa ingin tahu, saya bersembang dengan pekerja kedai kopi itu. Mereka terangkan mengenai kempen dan panggilan untuk memboikot. Nada mereka tenang, jawapan mereka selamat, walau ada sedikit retorik korporat.


Siapa Paling Terkesan Akibat Boikot?

Jelas, perniagaan nampaknya terjejas. Tetapi persoalannya: siapakah yang paling terkesan akibat daripada boikot yang dilakukan?

Saya layari laman Twitter (atau kini X) dan sekali pandang saya dapati panggilan untuk boikot ini lahir daripada naratif yang terlalu simplistik dan reduktif. Naratif yang sekiranya kita ambil pada dasarnya bermakna kita perlu memboikot terlalu banyak jenis keperluan harian.

Kredit: @trance/Unsplash

Formulanya?

“Syarikat ini syarikat USA, dan USA sokong Israel, maka kita harus boikot.”

Kebiasaannya formula ini disokong dengan poster, teori konspirasi atau penyelidikan separuh masak.


Apakah Keberkesanannya & Siapakah Yang Akan Menanggung Beban Boikot Terburu-buru Ini?

Jawapan ringkas dan komprehensif adalah sama: syarikat, pekerja dan ekonomi Malaysia kita sendiri.

Ya, kerajaan tak boleh mengecam panggilan boikot ini – mereka terikat dengan dinamik politik yang rumit. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita, anak Malaysia dari Sarawak, untuk bersuara dan berkongsi sudut pandang berbeza kepada perbincangan ini.

Matlamat kita bukanlah untuk mengenepikan atau memperlekehkan niat dan tujuan ia dilakukan, tetapi sebaliknya untuk menyuntik sedikit rasionaliti ke dalam perbincangan yang setakat ini terlalu berteraskan emosi.

Pertama, jika boikot yang dilakukan ini lebih memudaratkan rakyat kita sendiri dan hanya meninggalkan kesan yang sangat minimum kepada Israel, adakah ia berbaloi?

Terbukti, sejak berdekad lamanya, makin diboikot, makin kuat dan teguh Israel berdiri.

Kenapa kita masih berkeras melakukan perkara yang terbukti tidak berkesan, sebaliknya memakan diri? Ibaratnya menepuk air ke dulang, terpercik ke muka sendiri.

Seperkara lagi yang menimbulkan perasaan kurang senang bagi saya adalah penggunaan secara semberono frasa “Rezeki itu luas”. Ya betul, Tuhan itu Maha Kaya, dan rezeki itu sememangnya luas.

Tetapi frasa ini telah digunakan sebagai penghalal cara kepada kerosakan yang terjadi – kehilangan pekerjaan, kehilangan sumber pencarian.

Amat menyedihkan melihat ada individu yang kehidupan mereka terjejas akibat boikot ini semata-mata untuk melakukan perkara yang tidak memberikan impak langsung kepada sasarannya. Dan bila ini berlaku, apa kata mereka yang sedikit pun tak terjejas di balik komputer dan papan kekunci mereka? Rezeki itu luas.


Jika Boikot Bukan Solusi, Jadi Apa Penyelesaiannya…?

Sejujurnya, ada banyak cara dan jalan lebih konstruktif yang boleh rakyat Malaysia pilih untuk membantu Gaza.

Berikut adalah beberapa cadangan yang lebih positif:

Seru kepada rakan-rakan Cina anda untuk terus berdiri teguh di belakang sokongan sedia ada negara China kepada Gaza. Kenapa?

Kerana sekiranya negara China melihat adanya manfaat untuk mereka melebarkan inisiatif Belt and Road ke Palestin, mereka memiliki pengaruh besar untuk menjadikan aspirasi itu sebuah kenyataan.

Selain itu, kita juga boleh terus memberikan tekanan diplomasi kepada Kedutaan Mesir di KL, mendesak mereka untuk membuka sempadan Rafah tanpa had bagi membolehkan rakyat Palestin mendapat akses kepada bantuan kemanusiaan.

Benar, Mesir menghadapi tekanan hebat daripada Israel untuk terus mengetatkan kawalan sempadan, namun krisis kemanusiaan yang kini berlaku, dan kebajikan mereka yang terkesan sepatutnya diberikan keutamaan.

Akhir sekali, pertimbangkan sumbangan amal dan derma. Alihkan tenaga daripada panggilan untuk boikot kepada sumbangan, yang jauh lebih berfaedah dan memberikan impak terus kepada mengurangkan penderitaan rakyat Gaza.

Ada banyak NGO yang memerlukan sokongan, dan mengubah panggilan boikot kepada panggilan untuk menderma boleh menjadi pemangkin kepada bantuan yang lebih nyata dan berkesan.

Pada saat ketika krisis berlaku, penting bagi kita untuk merangkul dan membina strategi yang lebih membina, yang mengutamakan kebajikan dan keperluan mereka yang dilanda kesusahan.

Jangan hanya berpaksikan emosi, akibatnya kita cuma menyumbang kepada kemelut ekonomi.


Chris Emmanuel (bukan nama sebenar) adalah seorang pembaca TRPbm yang tidak ingin dikenali. Semua pendapat yang tertulis adalah milik penulis asal dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pihak TRPbm.


Jika anda ingin berkongsi pendapat bersama kami, boleh hantarkan e-mel ke editorial@therakyatpost.com dengan tajuk “OPINION” atau “PENDAPAT”: atau melalui media sosial kami TRPBM: FacebookTwitter dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd