Now Reading
PRU15: Ahli Politik, Jangan Pandang Rendah Kuasa Rakyat [Pendapat]

PRU15: Ahli Politik, Jangan Pandang Rendah Kuasa Rakyat [Pendapat]

Jika tema pada PRU14 adalah “Jatuhkan Datuk Seri Najib Abdul Razak”, biarlah setiap banner dan bendera parti politik yang ditenggelami air menjadi peringatan kepada tema pada hari PRU15 nanti.

Hamzah Nazari

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Oleh:
Hamzah Nazari, Ketua Pengarang The Rakyat Post (TRP).


Seperti yang dijangkakan, rakyat Malaysia ketika ini bakal berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semasa musim banjir.

Bukan Sesuatu Yang Baharu

Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana telah terbukti perubahan angin monsun mengakibatkan musim banjir semakin meruncing setiap hujung tahun.

Tidak mungkin Ahli Politik kita tidak cakna dan peka dengan perkara ini. Adakah mereka tidak merujuk Jabatan Kajicuaca atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)?

Atau barangkali mereka tidak kisah, tidak peduli atau tidak pernah meletakkan rakyat Malaysia sebagai prioriti?

Walhal mereka tahu banjir berlaku pada waktu yang hampir sama pada tahun lalu.

Banjir Tahun 2021 Antara Yang “Terburuk Di Abad Ini”

Semua sekali lima puluh empat rakyat Malaysia terkorban, beratus-ratus rumah tenggelam dan ribuan penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) tahun lepas. Di Selangor, tiga belas mangsa terkorban dalam hanya satu hujung minggu sahaja.

Walaupun begitu, hampir semua ahli Kabinet yang terdiri daripada ahli politik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada masa itu ‘hilang’ dan hanya kembali bekerja pada hari Isnin berikutnya.

Di saat ribuan rakyat Malaysia bergadai nyawa mengharungi bencana banjir, mereka berehat, bersantai, dan hanya memunculkan diri selepas beberapa hari. Itu pun hanya untuk sesi fotografi di atas bot.

Gambar itu semua kini menjadi bukti mereka tidak jahil isu banjir setiap hujung tahun di Malaysia.

“Keutamaan”

Kini, lebih mengejutkan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan kes di mahkamah, tetap sibuk mendesak ahli partinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri pada waktu itu supaya mengadakan PRU15.

Meskipun Ismail Sabri pada mulanya enggan, beliau akhirnya akur selepas mendakwa wujudnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan selepas 12 menteri PN di dalam Kabinet menghantar sepucuk surat kepada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menolak PRU diadakan pada masa terdekat.

Ini seolah-olah satu petanda wujudnya perbezaan pendapat yang ketara di antara para pemimpin di dalam kerajaan.

Berterusan Guna Naratif Lapuk.

Seperti biasa, mereka berbekal naratif lapuk seperti DAP akan mengharamkan Azan di masjid seperti di Pulau Pinang yang jelas suatu penipuan. Begitu juga naratif lapuk seperti Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghalalkan LGBTQ di Malaysia yang terang-terang juga suatu penipuan.

BN, yang sendiri kelam-kabut hingga sanggup mempercepatkan PRU dan menggugurkan beberapa wakil rakyat ‘heavyweight’ sebagai calon walhal sudah berpuluh tahun berkhidmat di kawasan mereka kini mula menghidangkan naratif stabiliti demi meraih undi anda.

Sementara itu, PN dengan naratif kononnya mereka berjaya melawan ancaman COVID-19 walaupun berpuluh ribu rakyat negara kita terkorban sedangkan menteri mereka pada waktu itu melanggar SOP yang mereka sendiri tetapkan turut meminta undi anda.

Di bawah kerajaan gabungan BN dan PN ini, kami sebagai rakyat terpaksa merayu agar dapat mengeluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kami sendiri sementara segelintir menteri dari kabinet terbesar dalam sejarah Malaysia ‘hilang’ dan ada yang bercuti di luar negara.

Dua pihak ini secara terang-terangan tidak mempedulikan kebajikan rakyat dan mereka tidak menghormati proses demokrasi.

Langkah Sheraton pada tahun 2019 menjadi bukti mereka tidak mengendahkan kemahuan rakyat yang dizahirkan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jika tema pada PRU14 adalah “Jatuhkan Datuk Seri Najib Abdul Razak”, biarlah setiap banner dan bendera parti politik yang ditenggelami air menjadi peringatan kepada tema pada hari PRU15 nanti.

“Jangan Pandang Rendah Rakyat.”


Hamzah ialah Ketua Pengarang TRP, tetapi semua pendapat yang tertulis adalah milik penulis asal dan tidak semestinya menggambarkan pendirian pihak TRP.


Jika anda ingin berkongsi pendapat bersama kami, boleh hantarkan e-mel ke editorial@therakyatpost.com dengan tajuk “OPINION” atau “PENDAPAT”: atau melalui media sosial kami TRPBM: FacebookTwitter dan Instagram.

© 2021 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd