Now Reading
55% Rakyat Malaysia Tinggalkan Troli Pembelian Kerana Pilihan Pembayaran Tidak Fleksibel

55% Rakyat Malaysia Tinggalkan Troli Pembelian Kerana Pilihan Pembayaran Tidak Fleksibel

Pengguna Malaysia lebih menghargai kemudahan teknologi seperti tempat jualan mudah alih dan kiosk pembayaran sendiri.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Pengguna Malaysia adalah antara pembeli paling arif di dunia yang mempunyai jangkaan tinggi terhadap pengalaman membeli-belah diperibadikan daripada peruncit kegemaran mereka, menurut Laporan Runcit Adyen Malaysia 2023.

Antaranya termasuk mempunyai pelbagai pilihan cara pembayaran, di mana 55% pembeli mengatakan bahawa mereka akan meninggalkan pembelian yang dilakukan jika kaedah pembayaran pilihan mereka tidak tersedia.

Ganjaran kesetiaan juga merupakan titik penting bagi pengguna, dengan 68% daripada pembeli merasakan bahawa program kesetiaan sedia ada ditawarkan oleh peruncit adalah hambar dan 83% mengharapkan program ganjaran lebih baik bagi mengekalkan kesetiaan berterusan.

Peruncit Malaysia kini mula terbeban dengan jangkaan ini dengan hampir separuh (49%) mendapati sukar untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan di tengah-tengah landskap perniagaan semasa.

Majoriti (53%) peruncit juga mengatakan mereka bergelut untuk menyediakan perkhidmatan yang diperibadikan kerana sukar untuk mengkategorikan pelanggan mengikut keperluan dan pilihan mereka.

Untuk menghasilkan laporan itu, Adyen menugaskan Opinium LLP untuk meninjau 36,000 pengguna dan Censuswide bagi meninjau 12,000 perniagaan di seluruh dunia, termasuk 1,000 pengguna dan 505 perniagaan di Malaysia.


Tabiat Pengguna Berkembang Dengan Pembayaran Pelbagai Saluran

Dua pertiga (66%) pengguna mengatakan mereka lebih setia kepada peruncit yang menawarkan fleksibiliti untuk memulakan pembelian dalam kedai dan menyelesaikannya dalam talian. Selain itu, 70% memilih peruncit yang membenarkan pembelian dalam talian dengan kemudahan pemulangan di dalam kedai.

Pengguna Malaysia juga menghargai kemudahan teknologi seperti tempat jualan mudah alih dan kiosk pembayaran sendiri, dengan 44% mengatakan teknologi ini menjadikan pengalaman membeli-belah mereka lebih menyeronokkan. Antara teknologi ini, aplikasi mudah alih digemari oleh 56% pengguna, diikuti oleh membeli-belah pelbagai saluran (40%) dan kiosk pembayaran sendiri (39%).

Keinginan fleksibiliti ini juga turut dicerminkan dalam cara rakyat Malaysia memilih untuk membayar. Walaupun wang tunai kekal sebagai raja bagi pembelian dalam kedai (79%), diikuti dengan kad debit atau kredit (66%), rakyat Malaysia juga menunjukkan kecenderungan semakin meningkat terhadap kaedah pembayaran alternatif seperti e-dompet (32%) dan kod QR (24%).

Bagi pembelian dalam talian, kaedah pembayaran utama pelanggan ialah kad debit atau kredit (62%), e-dompet (47%) dan kod QR (20%).

Dengan menggabungkan data merentas semua saluran di satu tempat, perdagangan bersepadu menawarkan peluang kepada peruncit bagi mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai pelanggan seterusnya memberikan pengalaman membeli-belah lebih diperibadikan.

Walaupun hanya 1 dalam 10 (12%) peniaga Malaysia telah melabur dalam perdagangan bersepadu setakat ini, kadar penerimaan semasa gagal memberikan gambaran sebenar mengenai niat keinginan masa hadapan peniaga.

Pada tahun lalu, 35% sudah mula melabur dalam perdagangan bersepadu dengan tambahan 46% mempertimbangkan untuk berbuat demikian.

Tambahan pula, hampir separuh daripada peniaga yang ditinjau (49%) merancang untuk melabur dalam menghubungkan sistem bahagian belakang dengan saluran yang menghadap pelanggan diikuti peningkatan mengejutkan sebanyak 88% daripada 2022.

Industri peruncitan Malaysia telah berjaya membuktikan bahawa ia mampu menyesuaikan diri dengan corak pengguna yang berkembang. Perkara itu bukanlah satu kejayaan kecil memandangkan pembeli Malaysia mempunyai jangkaan yang tinggi bagi pengalaman membeli-belah yang lancar dan pelbagai saluran. Memandangkan keterbukaan peruncit tempatan untuk menerima teknologi sebagai pemacu pertumbuhan, kami optimis bahawa lebih banyak perniagaan di Malaysia akan memanfaatkan hasil laporan ini bagi memenuhi permintaan untuk perkhidmatan lebih diperibadikan.

Soon Yean Lee, Pengurus Negara Malaysia di Adyen.

Peruncit Ramal Peluang Pertumbuhan Menjanjikan

Di sebalik kebimbangan berterusan terhadap inflasi dan peningkatan kos sara hidup, perniagaan Malaysia optimis tentang pertumbuhan itu. Sembilan daripada 10 peruncit menjangkakan ada pertumbuhan hasil pada tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya dengan 40% menjangkakan sekurang-kurangnya peningkatan dua kali ganda dalam hasil perniagaan.

Bagi mencapai pasaran di peringkat global, peruncit Malaysia berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara. Pasaran jiran yang diminati adalah seperti Singapura (50%), Indonesia (47%) dan Thailand (41%).

Selain itu, peruncit turut menunjukkan minat terhadap pasaran matang dan baru muncul di rantau Asia-Pasifik, termasuk Australia (29%), Jepun (27%) dan China (25%).

Ketika melabur dalam saluran digital, peruncit mengiktiraf nilai jenama kedai fizikal, dengan 81% percaya bahawa kedai-kedai akan berkembang untuk lebih menarik pengguna.

Penemuan ini juga sepadan dengan sentimen pengguna — 56% pengguna Malaysia lebih cenderung untuk membeli-belah secara fizikal sekiranya peruncit memberikan pengalaman menarik di dalam kedai.


Pencegahan Penipuan Sebagai Keperluan Perniagaan

Insiden jenayah siber mendominasi tajuk berita tempatan sepanjang tahun lalu, pengguna Malaysia amat berhati-hati terhadap penipuan dalam talian — 84% percaya bahawa risiko penipuan menjadikan membeli-belah dalam talian kurang menarik.

Selain itu, hampir 3 dalam 10 (29%) pengguna Malaysia telah menjadi mangsa penipuan dalam talian pada tahun 2022, dengan purata kehilangan RM673 (kira-kira USD144).

Walaupun sebahagian besar peruncit Malaysia (69%) yakin bahawa sistem pencegahan penipuan mereka berkesan, 36% masih mengalami kerugian akibat penipuan atau caj balik sekitar tahun lalu.

Selain itu, 30% dilaporkan mengalami serangan siber dan kebocoran data.

Untuk tujuan ini, peruncit Malaysia terus menjadikan pencegahan penipuan sebagai keutamaan perniagaan. Setakat ini, hampir 6 dalam 10 (58%) perniagaan sudah menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mencegah transaksi penipuan dan lebih separuh (55%) peruncit merancang mengembangkan pasukan penipuan serta risiko mereka pada tahun 2023.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd