Now Reading
Hospital Gleneagles & Sunway Medical Centre Diiktiraf Ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024

Hospital Gleneagles & Sunway Medical Centre Diiktiraf Ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024

Menerusi ranking Newsweek 2024, Hospital Gleneagles dan Sunway Medical Centre masing-masing berada di kedudukan 223 serta 233.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tidak dinafikan, Malaysia menawarkan banyak hospital dengan perkhidmatan terbaik buat para pesakit seluruh negara.

Seperti sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengiktiraf Malaysia dari segi sistem penjagaan kesihatan berkualiti dan tenaga kerja yang terlatih.

Malaysia juga pernah berada pada kedudukan nombor satu dalam kategori penjagaan kesihatan terbaik dunia dalam Indeks Persaraan Global Tahunan Kehidupan Antarabangsa 2019.

Baca Artikel Berkaitan: This Is Why The Malaysian Healthcare System Is The Best In The World


Hospital Gleneagles & Sunway Medical Centre Catat Ranking Cemerlang

Perkhidmatan hospital di Malaysia secara berterusan mengharumkan nama negara apabila dua hospital swasta tercatat dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024.

Menerusi portal Newsweek, dua hospital tersenarai itu adalah Hospital Gleneagles yang berada di kedudukan 223 dan Sunway Medical Centre (SMC) pada kedudukan 233 daripada 250 secara keseluruhannya.

Difahamkan senarai tersebut termasuk data dari 2,400 hospital di 30 negara.

Sumber: Instagram (@gleneagleskl/@sunwaymedical)

Buat pertama kalinya, Chile dan Malaysia telah ditambah ke dalam ranking yang turut merangkumi Amerika Syarikat (AS), sebahagian besar Eropah Barat dan Scandinavia, 10 negara Asia, Australia serta negara lain di benua AS.

Menurut ranking tersebut, 250 hospital tercatat telah diberikan skor berdasarkan tinjauan atas talian ke atas lebih 85,000 pakar perubatan dan data awam daripada pesakit selepas dimasukkan ke hospital.

Antara soalan yang tertera dalam survey adalah tahap kepuasan pesakit terhadap perkhidmatan disediakan oleh pihak hospital.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Pexels

Ranking Berdasarkan Survey Komprehensif

Sunway Medical Centre dalam satu kenyataan berkata ranking 2024 itu juga dilakukan berdasarkan tinjauan global komprehensif yang dijalankan dalam kalangan doktor, pengamal penjagaan kesihatan profesional dan metrik kualiti hospital.

Mengulas lanjut, Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway Datuk Lau Beng Long berkata, mereka amat berbesar hati kerana telah diiktiraf sebagai antara hospital terbaik dunia.

Kami amat berbesar hati kerana SMC, walaupun boleh dianggap hospital yang masih hijau, telah diiktiraf sebagai antara hospital terbaik dunia. Ini adalah cara terbaik untuk meraikan ulang tahun ke-25 kami pada tahun ini, seiring dengan sasaran bagi meningkatkan lagi standard penjagaan menerusi rawatan inovatif berpusatkan pesakit, pendigitalan dan menyediakan perkhidmatan klinikal yang komprehensif.

Lau Beng Long.

HKL Di Kedudukan Ke-4 Ranking Hospital Terbaik Malaysia

Malaysia bukan sahaja meraih prestasi cemerlang menerusi hospital swasta, malah hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) juga berjaya berada di kedudukan lima teratas bagi ranking Hospital Terbaik di Malaysia Newsweek 2024.

Hospital Kuala Lumpur (HKL) menduduki tempat ke-4 dengan skor sebanyak 87.06% diikuti Pantai Hospital Kuala Lumpur dengan 86.99%.

Sumber: Malay Mail

Skor tersebut mempertimbangkan aspek kebersihan, nisbah pesakit dan doktor serta tinjauan statistik sama ada hospital menggunakan Ukuran Hasil Dilaporkan Pesakit (PROM).

Untuk info, PROM adalah kajian soal selidik yang perlu dilengkapkan oleh pesakit untuk menilai pengalaman dan keputusan mereka.

Sumber: Newsweek 2024

Kalau anda nak tahu, HKL telah mula beroperasi sejak 154 tahun lalu iaitu pada tahun 1870 sebagai hospital daerah.

HKL juga mempunyai 53 buah jabatan dan unit-unit lain termasuk Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Farmaseutikal, Latihan dan Penyelidikan, 28 buah jabatan klinik dan 12 klinik perkhidmatan sokongan.

Tambahan pula, HKL ialah sebuah hospital terbesar di bawah KKM dan dianggap salah satu yang terbesar di rantau Asia Tenggara (ASEAN).

Baca Artikel Berkaitan: IJN Duduki Tangga Ke-30 Sebagai Hospital Pakar Terbaik Di APAC

Baca Artikel Berkaitan: 7 Reasons Why Penang Is The Ideal Location For Medical Tourism


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd