Now Reading
Kenapa Ramai Rakyat Malaysia “FOMO” Nak Join Hyrox?

Kenapa Ramai Rakyat Malaysia “FOMO” Nak Join Hyrox?

Setiap acara Hyrox dicipta supaya mudah viral di media sosial membolehkan ramai melihatnya.

In Brief
  • Hyrox menggabungkan larian 8 km dengan 8 stesen latihan kekuatan, menarik rakyat Malaysia kerana formatnya yang mencabar dan jelas.
  • Sukan ini bukan untuk atlet sahaja, sesiapa boleh sertai, termasuk pemula melalui kategori berpasangan atau relay.
  • Lebih 1,000 rakyat Malaysia telah bertanding di Jakarta, dengan penyertaan wanita turut semakin meningkat dalam komuniti Hyrox.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Cuba bayangkan anda perlu melakukan tugasan ini iaitu lari satu kilometer. Tolak sled berat dan sambung lari lagi.

Kemudian anda perlu kayuh, mengangkat berat, lunge, dan ulang semula sehingga cukup 8 kilometer (km) larian bersama stesennya.

Itulah Hyrox, aktiviti kecergasan yang semakin trendy menyebabkan semakin ramai orang Malaysia ingin menjadi salah satu pesertanya walaupun bukan pengemar sukan.

Larian Sejauh 8 KM Diselangi 8 Stesen, Diadakan Dalam Ruang Tertutup

Acara Hyrox. (Foto: InsideHook)

Menurut Free Malaysia Today, berbeza dengan perlumbaan biasa seperti Marathon. Hyrox diadakan dalam ruang tertutup dan mengekalkan format sama di mana-mana ia dianjurkan.

Setiap peserta perlu menghasilkan larian sejauh 8 km, dan diikuti dengan stesen latihan tertentu.

Antaranya seperti menolak dan menarik sled, mengayuh, mengangkat berat, lunge serta membaling bola ke dinding.

Tujuannya untuk melihat sejauh mana kecergasan kardiovaskular, kekuatan serta disiplin mental untuk kekal bergerak walaupun kepenatan.

Hyrox Semakin Popular Kerana Menggabungkan Larian Dengan Latihan Kekuatan & Bukan Untuk Atlet Sahaja

Memetik semula laporan Free Malaysia Today, atlet profesional dan jurulatih prestasi, Aymarn Annuar berkata, format Hyrox telah menarik minat rakyat Malaysia kerana ia memberikan tujuan jelas kepada rutin senaman yang sering dilakukan.

“Hyrox semakin popular kerana ia menggabungkan larian dengan latihan kekuatan.”

“Ia satu cabaran baharu, dan rakyat Malaysia memang suka mencuba cabaran,” tambahnya.

Namun Aymarn menegaskan sukan itu bukan untuk atlet sahaja kerana semakin banyak gim kini menawarkan kelas berstruktur untuk ahli yang mahu menyertai Hyrox.

Pendekatan itu memberikan matlamat baharu kepada mereka yang sebelum ini bersenam sekadar untuk menjadi lebih cergas.

“Pergi ke gim memang sudah menjadi sebahagian daripada rutin ramai orang, tetapi Hyrox membolehkan mereka berusaha untuk bertanding selepas menjalani latihan berstruktur,” tambahnya.

Lebih 1,000 Rakyat Malaysia Sertai Perlumbaan Di Jakarta, Penyertaan Wanita Turut Meningkat

Ujian yang dilakukan di Hyrox. (Foto: Celebrity Fitness)

Penyertaan rakyat Malaysia ke pertandingan Hyrox pun semakin meningkat.

Menurut Aymarn, lebih 1,000 rakyat Malaysia dipercayai telah bertanding pada satu pertandingan Hyrox di Jakarta baru-baru ini. Manakala, ada segelintir bertanding di Singapura.

Dalam masa sama, penyertaan wanita dalam komuniti Hyrox juga semakin meningkat.

Peserta boleh memilih untuk bertanding secara solo, berpasangan bersama seorang rakan, atau sebagai sebahagian daripada pasukan relay.

Bagi mereka yang baru pertama kali mencuba, Aymarn menasihati untuk menyertai kategori berpasangan atau relay kerana beban latihan dapat dikongsi dan acara itu terasa kurang menakutkan.

Daya Tarikan Hyrox Adalah Sesiapa Sahaja Boleh Menyertainya

Atlet profesional Hyrox, Saddam Pittli pula mula bertanding pada Jun 2024 selepas diperkenalkan oleh seorang rakan.

Sejak itu, individu berusia 35 tahun itu telah menyertai kira-kira 30 perlumbaan di beberapa buah negara.

Baginya, sebahagian besar daya tarikan sukan ini datang daripada keupayaannya menerima peserta dengan tahap pengalaman yang berbeza-beza.

“Ramai yang rasa mereka belum cukup cergas. Tetapi kalau tunggu sampai cergas dulu, mungkin kita takkan mula langsung,” tambahnya.

Malah, kebanyakan rakannya sendiri dikatakan bermula tanpa minat mahupun ingin menjalani latihan yang serius.

“Selepas mencuba sekali, mereka teruskan, kekal aktif dan tetapkan matlamat masing-masing.”

Juara Dunia Tiga Kali Sifatkan Peserta Amatur Turut Dilayan Seperti Atlet Profesional

Populariti Hyrox banyak dikaitkan dengan dua perkara, iaitu sifatnya yang terbuka kepada semua dan sering viral dalam media sosial.

Acara itu direka supaya mudah viral, antaranya dengan memberikan peserta lencana untuk dilekatkan pada beg berbanding pingat biasa, serta menggalakkan orang ramai menyertai gim yang menawarkan kelas latihan Hyrox.

Juara dunia tiga kali, Lauren Weeks memberitahu BBC Sport bahawa perlumbaan itu mencabar dan takkan pernah mudah, tetapi pada masa sama terbuka kepada sesiapa sahaja.

Menurutnya, ada rasa bangga apabila seseorang yang tiada latar belakang sukan boleh berlatih selama beberapa bulan sehingga mampu menghabiskan perlumbaan Hyrox.

Beliau turut menyifatkan pengendalian acara itu sebagai layanan setaraf profesional kepada setiap peserta, termasuk kehadiran terowong masuk serta DJ yang memainkan muzik rancak walaupun di acara amatur.

Senaman Berasaskan Pergerakan Harian, Namun Persediaan Teliti Tetap Diperlukan

Walaupun senaman yang terlibat kelihatan memenatkan, kebanyakannya berasaskan pergerakan yang sudah dilakukan orang ramai dalam kehidupan seharian, seperti menolak, mengangkat dan membawa barang berat.

Kebiasaan itulah membuatkan Hyrox terasa lebih mudah didekati berbanding sukan pertandingan yang lebih teknikal.

Sebaliknya, untuk menghabiskan satu perlumbaan, persediaan yang teliti tetap diperlukan.

Hyrox Diasaskan Pada Tahun 2017, Kejohanan Dunia Diadakan Setiap Tahun

Adakah anda FOMO nak join Hyrox? (Foto: Rox Lyfe)

Untuk info tambahan, Hyrox diasaskan pada tahun 2017 dan sejak awal lagi dijalankan dalam ruang tertutup.

Setiap peserta menempuh 8 pusingan, dengan setiap satunya merangkumi larian sejauh satu kilometer diikuti satu senaman kecergasan.

Senaman yang perlu dilalui peserta adalah seperti berikut:

  • 1 km pada mesin ski berdiri
  • Menolak sled sejauh 50 meter
  • Menarik sled sejauh 50 meter
  • Lompatan burpee sejauh 80 meter
  • Mengayuh sejauh 1 kilometer
  • Mengangkat kettlebell sejauh 200 meter
  • Lunge sambil membawa beg pasir sejauh 100 meter
  • Membaling dan menangkap bola ke dinding sebanyak 100 kali

Selain itu, kejohanan dunia diadakan setiap tahun menerusi kategori individu dan berpasangan. Manakala kejohanan dunia 2024 di Perancis telah memperkenalkan acara relay mengikut negara.

Tambahan pula, sukan ini berkait rapat dengan CrossFit, cuma senamannya lebih ringkas dan lebih menekankan aspek ketahanan berbanding kekuatan.

Baca Artikel Berkaitan: Suka Berlari? Ini 5 Kecederaan Yang Sering Berlaku & Cara Untuk Mengelaknya | TRP

Baca Artikel Berkaitan: Cara Kempiskan Perut Buncit Untuk Lelaki, Mudah & Berkesan! | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd