Cepat Muntah & Loya Bila Naik EV? Ini Mungkin Sebabnya
Perkara pertama dirasai ketika menaiki EV ialah pengalamannya yang jauh lebih lancar berbanding kereta enjin yang penuh dengan bunyi serta getaran.
- EV's smooth, quiet ride removes familiar cues like engine noise and vibration, confusing the brain and causing passengers to feel nauseous.
- Regenerative braking causes slow, gradual deceleration over longer periods, which studies confirm increases motion sickness among EV passengers.
- Motion sickness can be reduced by sitting upfront, focusing on a fixed point, getting fresh air, or drinking ginger tea.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Salah satu kelebihan kereta elektrik (EV) berbanding Internal Combustion Engine (ICE) adalah pemanduannya lebih senyap yang sering dipuji ramai.
Namun, segelintir pengguna mendakwa bahawa EV membuatkan mereka terasa lebih mudah pening serta loya ketika menaikinya.
Persoalan itu telah tular di Threads apabila ditanya oleh seorang pengguna kepada pemilik EV di negara dan terdapat kajian yang menjelaskan perkara ini.
Keselesaan EV Menjadi Salah Satu Punca Kenapa Ramai Mudah Rasa Loya

Perkara pertama dirasai ketika menaiki EV ialah pengalamannya yang jauh lebih lancar berbanding kereta enjin yang penuh dengan bunyi serta getaran.
Ironinya, kelebihan itu adalah salah satu punca yang menyebabkan ramai penumpang rasa loya ketika berada di dalam sebuah EV.
Menurut The Guardian, ketika memandu, seseorang sudah tahu bagaimana tindak balas kereta ketika dia menekan minyak, brek atau mengambil selekoh, tetapi penumpang hanya mampu meneka.
Percanggahan ini yang dirasai oleh tubuh badan menjadi punca utama mabuk kereta.
Dalam masa sama, EV pula telah berjaya mengurangkan hampir semua isyarat bunyi serta pergerakan yang sinonim dengan sebuah kereta.
Tiada lagi bunyi enjin untuk menandakan kita sedang bergerak, malah pada kebanyakan model EV. Pemandu tidak perlu menekan brek untuk memperlahankan kereta kerana ia berlaku secara automatik dan perlahan-lahan.
Ekoran itu, kekurangan petanda untuk penumpang jadikan panduan secara semula jadi akan menimbulkan masalah seperti loya yang dijelaskan oleh William Emond, pelajar PhD di Université de Technologie de Belfort-Montbéliard, Perancis,
Otak Memerlukan Masa Untuk Menyesuaikan Diri Dengan Pengalaman Menaiki EV
Menurut Emond, otak manusia sudah terbiasa membaca pergerakan kereta berdasarkan beberapa isyarat tertentu.
“Jika kita biasa menaiki kereta bukan elektrik, kita sudah terbiasa memahami pergerakan kereta berdasarkan isyarat seperti kelajuan enjin, getaran enjin dan tork,” jelasnya.
“Namun, menaiki EV buat kali pertama merupakan satu persekitaran yang baharu untuk otak, dan ia memerlukan penyesuaian.”
Edmond menyimpulkan bahawa otak sukar untuk menjangka daya pergerakan sebuah EV dengan tepat, berbanding kereta biasa.
2 Kajian Mendapati Ketiadaan Bunyi & Getaran Enjin Membuatkan Ramai Rasa Loya
Malah, satu kajian pada 2024 oleh Universiti Wisconsin-Madison menunjukkan wujudnya hubungan kuat di antara tahap mabuk kereta dengan getaran tempat duduk.
Selain itu, kajian pada tahun 2020 oleh Ouren X. Kuiper telah mendapati bahawa tiada bunyi enjin dalam EV mungkin menjadi faktor utama yang meningkatkan rasa loya tersebut.
Teknologi Brek Regeneratif Turut Menyumbang Kepada Masalah Ini

Satu lagi punca yang dikenal pasti ialah teknologi brek regeneratif yang digunakan dalam EV.
Menerusi teknologi ini, motor menukarkan tenaga kinetik EV sedang perlahan menjadi tenaga elektrik yang kemudian disimpan dalam bateri.
Proses itu menyebabkan EV akan memperlahankan pergerakannya secara beransur-ansur dan perlahan dalam tempoh yang lebih panjang, bukannya secara mengejut.
Tambahan pula, nyahpecutan secara perlahan sebegini sering dikaitkan dengan tahan mabuk kereta lebih tinggi.
Malah, satu kajian oleh Weiyin Xie mendapati ini menjadi salah satu punca utama loya sering berlaku kepada penumpang dalam EV.
“Kami mengesahkan bahawa sistem brek regeneratif yang lebih tinggi boleh menyebabkan mabuk kereta.”
Selain itu, mabuk kereta dipercayai berpunca apabila berlakunya konflik antara otak dengan mata, telinga dan badan menghantar isyarat yang tidak sepadan.
Keupayaan Penumpang Menjangka Pergerakan Menjadi Kunci Kepada Masalah Ini
Bukan itu sahaja, kemampuan menjangka pergerakan sebuah kereta dilihat menjadi faktor berlakunya mabuk kereta atau tidak.
Inilah sebabnya pemandu jarang mengalaminya kerana mereka tahu apa yang bakal berlaku.
Dalam kereta biasa, bunyi enjin dan pertukaran gear memberi isyarat kepada otak bahawa kita akan bergerak atau memecut. Untuk EV yang bergerak secara senyap dan boleh memecut serta-merta akan menyebabkan otak terkejut serta keliru.
“Apabila kita meneroka persekitaran pergerakan baharu, otak perlu membiasakan diri kerana tiada pengalaman lampau dalam konteks sedemikian,” kata Emond.
“Inilah kenapa hampir semua orang mabuk dalam persekitaran tanpa graviti.”
Disebabkan itu, ramai orang mula mencadangkan penyelesaian yang boleh digunakan seperti skrin interaktif, cahaya suasana atau isyarat getaran bagi membantu otak penumpang menjangka perubahan pergerakan bagi mengurangkan rasa loya.
Mabuk Pergerakan Boleh Dikurangkan Dengan Beberapa Cara Mudah

Mabuk kereta atau motion sickness digambarkan oleh NHS sebagai rasa pening, loya atau muntah ketika menaiki kereta, bot, kapal terbang mahupun kereta api.
Antara gejalanya termasuklah pening, rasa loya, muntah, sakit kepala, terasa sejuk dan menjadi pucat, serta berpeluh.
Namun begitu, keadaan ini sebenarnya boleh dikurangkan dengan beberapa cara mudah.
Antaranya, cuba duduk di bahagian hadapan atau tengah kenderaan, pandang lurus ke satu titik yang tidak bergerak, dan hirup udara segar jika boleh.
Selain itu, anda juga boleh minum teh halia, serta mengelak daripada membaca, menonton filem atau menggunakan telefon.
Baca Artikel Berkaitan: Proton e.MAS Jadi Jenama xEV Terpantas Di Malaysia, Catat Lebih 20,000 Jualan Dalam 7 Bulan | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Sifatkan Performance EV Sama Seperti Supercar, Lelaki Kongsi Sebab Pilih Tesla Dari GTR | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.