Now Reading
Hanya Terima 3 Kad Meski Catat 59 Kekasaran, Rekod Pengadilan Argentina Jadi Tumpuan

Hanya Terima 3 Kad Meski Catat 59 Kekasaran, Rekod Pengadilan Argentina Jadi Tumpuan

Pasukan Argentina paling jarang menerima kad meskipun kerap melakukan kekasaran, manakala England menjadi kambing hitam.

In Brief
  • Argentina menerima hanya tiga kad walaupun mencatatkan 59 kekasaran dalam lima perlawanan pertama Piala Dunia 2026.
  • Mesir failkan aduan rasmi kepada FIFA, mendakwa pengadil François Letexier membuat keputusan yang menyebelahi Argentina.
  • AFA dilaporkan disiasat FBI atas dakwaan pengubahan wang haram berjumlah ratusan juta dolar di Amerika Syarikat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Mutu pengadilan sering menjadi bahan perbualan hangat dalam setiap edisi Piala Dunia.

Kali ini, skuad Argentina pula didakwa menerima ‘layanan mesra’ daripada pengadil berbanding pasukan lain sepanjang kejohanan ini berlangsung

Menurut laporan dari Berita Harian, pasukan La Albiceleste dilihat menikmati kelebihan dari segi keputusan pengadil.

Mesir Failkan Aduan Rasmi Selepas Tewas Kepada Argentina

Messi ketika perlawanan menentang Mesir. (Foto: Mashable)

Isu ini mula hangat diperkatakan susulan aduan rasmi Persatuan Bola Sepak Mesir kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Mesir menggesa agar pengadil yang mengendalikan kekalahan 2-3 mereka pada pusingan 16 terakhir dipecat, sambil mendakwa wujud keputusan yang menyebelahi pihak lawan.

Dalam perlawanan itu, gol penyerang Mesir, Mostafa Zico dibatalkan berikutan kekasaran yang meragukan dan tidak lama selepas itu, bintang Liverpool, Mohamed Salah pula dinafikan sepakan penalti.

Nasib pasukan Mesir terus malang apabila Enzo Fernandez meledak jaringan kemenangan untuk Argentina pada saat akhir.

Argentina Hanya Dilayangkan Satu Kad Bagi Setiap 19.6 Kekasaran

Pemain Mesir dan Pengadil. (Foto: Al Jazeera)

Selain itu, terdapat satu statistik yang dikongsikan telah menarik perhatian ramai melihat satu corak unik, iaitu sepanjang kejohanan Piala Dunia 2026, pasukan Argentina secara purata hanya menerima satu kad bagi setiap 19.6 kekasaran dilakukan.

Malah, walaupun mencatatkan sebanyak 59 kekasaran dalam lima perlawanan pertama, skuad itu hanya dilayangkan tiga kad kesemuanya.

Satu-satunya pasukan yang mencatatkan nisbah lebih tinggi daripada Argentina ialah Norway, iaitu satu kad bagi setiap 24 kekasaran, dengan hanya dua kad setakat ini.

England Catat Rekod Paling Buruk Dengan Satu Kad Bagi Setiap 6.75 Kekasaran

Di sebalik ‘nasib baik’ Argentina, skuad England kendalian Thomas Tuchel pula seolah-olah mengalami nasib malang.

Pasukan Three Lions telah mencatat rekod paling buruk apabila menerima satu kad bagi setiap 6.75 kekasaran daripada pengadil.

Buat masa ini, mereka sudah mengumpul tujuh kad, termasuk satu kad merah yang dilayangkan kepada pemain Jarell Quansah.

Perkara ini pasti akan memberi tekanan menjelang aksi suku akhir diantara England dan Norway.

Dalam masa sama, Tuchel sudah tentu berharap anak buahnya mampu mengawal disiplin bagi mengelakkan hukuman yang boleh menjejaskan peluang mereka daripada pengadil.

Pengurus Mesir Lakukan Isyarat ‘X’ Kepada Pengadil

Pengurus Mesir menunjukkan isyarat ‘X’. (Foto: Chosun)

Sebenarnya, kontroversi itu tidak terhenti pada data statistik sahaja.

Ini kerana, selepas Argentina menjaringkan gol terakhir mereka, tumpuan peminat mula tertumpu kepada satu isyarat yang dilakukan oleh pengurus pasukan Mesir, Hossam Hassan.

Ketika itu, Hassan dilihat melakukan isyarat ‘X’ menggunakan kedua-dua tangannya ke arah pengadil perlawanan, François Letexier dari Perancis.

Isyarat itu sebenarnya mempunyai maksud rasmi dalam perlawanan bola sepak FIFA yang diperkenalkan pada tahun 2024 di Piala Dunia Bawah-20 Wanita dan boleh digunakan oleh pemain, pengadil serta kakitangan untuk melaporkan sebarang tingkah laku perkauman atau diskriminasi.

Isyarat ‘X’ Mencetuskan Protokol Anti-Diskriminasi Tiga Langkah

Apabila isyarat ‘X’ dilakukan di padang, perlawanan bakal dihentikan menerusi keputusan pengadil.

Di bawah undang-undang FIFA, isyarat itu menjadi tanda jelas agar pegawai memulakan protokol anti-diskriminasi tiga langkah berikut:

  • Langkah Pertama: Pengadil menghentikan permainan dan mengeluarkan amaran menerusi pengumuman di stadium bahawa tingkah laku diskriminasi perlu ditamatkan.
  • Langkah Kedua: Jika salah laku itu berterusan, pemain boleh dibawa keluar padang dan perlawanan digantung.
  • Langkah Ketiga: Sekiranya keadaan masih tidak dapat dipulihkan, pengadil berkuasa membatalkan perlawanan itu sepenuhnya.

Menurut FIFA, isyarat itu tidak menggantikan proses sedia ada, sebaliknya bertindak sebagai peraturan yang jelas kelihatan.

Ia diperkenalkan susulan tekanan berterusan agar badan pentadbir sukan itu memberi respons lebih pantas terhadap insiden perkauman dalam perlawanan antarabangsa.

Tambahan pula, Persatuan Bola Sepak Mesir turut meminta FIFA menjalankan siasatan terhadap Letexier serta pasukan pengadilnya.

Menurut Cairo Sports, Mesir sebenarnya sudah membantah pelantikan Letexier secara rasmi sebelum perlawanan itu bermula.

AFA Dilaporkan Disiasat FBI Atas Dakwaan Pengubahan Wang Haram

Pasukan bola Argentina. (Foto: AFA Seleccion)

Untuk pengetahuan am, kontroversi membabitkan pasukan Argentina turut merebak ke luar padang.

Menurut Times Of India, Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dilaporkan sedang disiasat Federal Bureau of Investigation (FBI) kerana pengubahan wang haram di Amerika Syarikat.

Menurut akhbar Argentina, La Nacion seperti dipetik Fox Sports Mexico, penyiasat sedang meneliti bagaimana AFA yang diterajui Claudio Tapia menggerakkan ratusan juta dolar menerusi sistem kewangan AS.

Siasatan itu turut menyiasat sama ada terdapat sebarang urus niaga melanggar undang-undang negara itu.

Ini kerana sebuah syarikat di Florida, TourProdEnter LLC dipercayai menguruskan kewangan AFA di luar Argentina dimiliki oleh Javier Faroni dan isterinya, Erica Gillette telah dilaporkan menggerakkan jumlah wang besar menerusi beberapa bank di AS.

Antara bank terlibat ialah Citibank, Synovus, Bank of America, JP Morgan serta PNC Bank.

Ia turut mendakwa TourProdEnter LLC menguruskan sekurang-kurangnya AS$260 juta hasil AFA, manakala AS$57 juta lagi diagihkan kepada pelbagai syarikat dan penerima dengan penjelasan yang tidak jelas.

Laporan ini memberi tekanan kepada Tapia kerana sebelum Piala Dunia, beliau sudah berdepan kritikan berikutan siasatan rasuah, perubahan liga tempatan serta penjadualan perlawanan.

Malah, beliau turut terlibat dalam pertikaian dengan Presiden Argentina, Javier Milei berhubung isu pemilikan kelab bola sepak, sebelum didakwa kesalahan mengelak cukai awal tahun ini.

Bagaimanapun, baik pihak FBI mahupun AFA masih belum mengesahkan laporan siasatan tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Pengurus Mesir Lakukan Isyarat ‘X’ Dalam Perlawanan Piala Dunia Menentang Argentina, Ini Maksudnya | TRP

Baca Artikel Berkaitan: Bukan Sekadar Hiasan Semata-Mata, Lencana Di Jersi Pemain Piala Dunia 2026 Ada Maksudnya | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd