Netflix Bakal Menunjukkan Video Pendek Selepas Tandatangani Perjanjian Dengan Syarikat Media Utama AS
Langkah agresif ini dilakukan selepas YouTube & Tik Tok berjaya mengatasi Netflix dari segi purata masa menonton harian.
- Netflix telah menandatangani perjanjian dengan syarikat media utama AS untuk menyiarkan video pendek bermula 3 Ogos.
- Langkah ini merupakan respons Netflix terhadap persaingan sengit daripada TikTok dan YouTube yang semakin mengambil alih masa tontonan pengguna.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Syarikat penstriman gergasi, Netflix semakin agresif dalam cubaannya untuk menceburi dunia video pendek yang dikuasai oleh TikTok dan YouTube.
Menurut laporan Variety, Netflix telah menandatangani beberapa perjanjian dengan syarikat media di Amerika Syarikat.
Menerusi perjanjian itu, mereka akan menghasilkan video pendek yang disiarkan terus di platform Netflix.
Netflix Mula Siarkan Kandungan Video Pendek Mulai 3 Ogos

Antara syarikat yang menyertai perjanjian itu ialah Variety dan beberapa jenama lain di bawah unit PMX milik Penske Media seperti BuzzFeed Studios, Condé Nast, Hearst Magazines, People Inc. serta Tastemade.
Bermula 3 Ogos ini, Netflix akan menyiarkan kandungan video pendek daripada beberapa syarikat ini.
Selain itu, tawaran ini hanya disediakan untuk pelanggan di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Australia serta New Zealand.
Langkah ini dilihat untuk memberi penonton lebih banyak cara untuk meneroka topik seperti pengembaraan, resipi masakan, fesyen, kisah selebriti, penjagaan rumah serta isu yang sedang tular.
Selain itu, jenama PMX lain turut terlibat seperti Billboard, Eater, Indiewire, Rolling Stone dan The Hollywood Reporter.
Kerjasama Ini Bertujuan Untuk Meningkatkan Kesetiaan Peminat

Menurut Naib Presiden Siri Animasi serta TV Kanak-Kanak dan Keluarga Netflix, John Derderian, penonton hari ini mahukan lebih daripada sekadar menonton sesebuah rancangan.
“Pelanggan kami bukan sekadar mahu menonton sesebuah rancangan atau filem lalu menutupnya, sebaliknya mereka mahu terus meneroka kisah dan personaliti yang digemari selepas kredit akhir.”
“Perkongsian ini membantu kami membina minat mendalam serta mencipta lebih banyak cara untuk mereka membawa kisah itu sepanjang hari,” katanya.
Dalam masa sama, perjanjian ini muncul ketika Netflix giat menawarkan hiburan alternatif seperti permainan video, podcast dan acara.
Antara Jenama Dan Program Yang Bakal Disiarkan
Sebagai info, berikut merupakan antara jenama syarikat media yang menyertai perjanjian ini:
- BuzzFeed Studios: A*Pop, BuzzFeed Celeb, Cocoa Butter, Pero Like dan Tasty
- Condé Nast: Allure, Architectural Digest (AD), Bon Appétit, Condé Nast Traveler, Epicurious, Glamour, House & Garden, Self, Teen Vogue, Vanity Fair, Vogue, Wired dan World of Interiors
- Hearst Magazines: Cosmopolitan, Elle, Harper’s Bazaar, Seventeen, Women’s Health, Town & Country, Delish dan Good Housekeeping
- People Inc.: Entertainment Weekly, Food & Wine, InStyle, People dan Travel + Leisure
- Tastemade
Manakala antara program yang termasuk dalam perjanjian itu ialah:
- 30 Questions (BuzzFeed Celeb)
- Lie Detector (Vanity Fair)
- Walking Tour (AD)
- Where is the Lie (Elle)
- Burning Questions (Harper’s Bazaar)
- 24 Hrs With (Billboard)
- My Life in Pictures (People)
- Travel Unfiltered (Travel + Leisure)
- Struggle Meals (Tastemade)
- Know Their Lies? (Variety)
Langkah Agresif Netflix Susulan Persaingan Sengit Dari TikTok Dan YouTube

Menurut laporan The Straits Times, perjanjian ini terhasil apabila Netflix berdepan dengan persaingan sengit daripada platform-platform lain yang telah mengubah cara penonton menikmati video.
Menurut firma penyelidikan Digital i, YouTube berjaya mengatasi Netflix dari segi purata masa menonton harian pada 2025.
Tahun sebelum itu, majoriti golongan dewasa di Amerika Syarikat banyak menghabiskan masa lebih banyak di aplikasi Tik Tok berbanding Netflix.
Sebagai respons, Netflix membentuk semula produknya dengan memperkenalkan gaya video menegak seperti Tik Tok dan meluaskan operasinya ke permainan video, podcast serta acara.
Malah, data dalaman yang dilaporkan Bloomberg turut menunjukkan penonton semakin cenderung meninggalkan sesebuah rancangan popular sebelum musim keduanya.
Semakin Ramai Penonton Netflix Meninggalkan Sebuah Rancangan Selepas Musim Pertama

Menurut Bloomberg, beberapa rancangan popular di Netflix dilaporkan kehilangan lebih separuh penontonnya selepas musim pertama.
Keadaan itu turut dikaitkan dengan penurunan saham Netflix sebanyak 17 peratus tahun ini dan 40 peratus dalam tempoh setahun, yang mencatat paras terendah hampir dua tahun pada penghujung Jun.
Sebagai contoh, One Piece merupakan antara rancangan paling banyak ditonton pada 2023 kehilangan lebih 30 peratus penontonnya menjelang musim kedua.
Musim kedua Beef pula menyaksikan kejatuhan melebihi 70 peratus, manakala The Night Agent kehilangan 50 peratus penonton bagi musim kedua dan 35 peratus lagi menjelang musim ketiga.
Malah, musim terbaharu Avatar: The Last Airbender yang merupakan siri paling banyak ditonton pada 2024 turut merosot lebih 60 peratus pada minggu pertama.
Kesemua angka itu dikira dalam tempoh empat minggu pertama sesebuah rancangan ditayangkan, dan diperoleh terus daripada data Netflix.
Selalunya, rancangan Netflix mencatat penonton tertinggi pada musim pertama sebelum menyusut, berbeza dengan rancangan televisyen konvensional yang menerima jumlah tertinggi ketika di pertengahan siri melalui sebaran dari mulut ke mulut.
Berikutan itu, syarikat berkenaan dilaporkan sedang menganalisis datanya bagi mengenal pasti punca keadaan tersebut.
Tambahan pula, Netflix turut menamatkan siri The Night Agent selepas musim akan datang, namun mengekalkan dua siri komedi iaitu Running Point dan The Four Seasons, walaupun kedua-duanya kehilangan lebih 50 peratus penonton berbanding musim pertama.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Sesame Street’ Bakal Ditayangkan Di Netflix, Ketahui Sejarah Rancangan Kanak-Kanak Ini | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Netflix Turunkan Harga Langganan Basic Plan Kepada RM28 Sebulan | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.