Rugi RM67 Juta Sejak 2023, Berjaya Food Keluar Daripada Perniagaan Paris Baguette
Berjaya Good melepaskan kesemua 50 peratus saham kepentingannya dalam Berjaya Paris Baguette Sdn Bhd dengan bayaran nominal RM1 secara tunai.
- Berjaya Food telah melupuskan pegangan 50 peratus dalam BPB pada harga nominal RM1 selepas kerugian bersih RM67.09 juta.
- Pelupusan ini membolehkan Berjaya Food menumpukan sumber dan pengurusan kepada perniagaan teras serta peluang pertumbuhan lain.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Berjaya Food Bhd keluar daripada perniagaan Paris Baguette yang mengalami kerugian di Malaysia.
Tindakan ini dilakukan selepas melupuskan keseluruhan pegangan 50 peratus miliknya dalam Berjaya Paris Baguette Sdn Bhd (BPB) kepada rakan usaha samanya, Paris Baguette Singapore Pte Ltd, pada harga nominal RM1 secara tunai.
Berdasarkan Bursa Malaysia hari ini (2 Julai), syarikat itu berkata perjanjian jual beli saham dimeterai pada 29 Jun lalu, manakala urus niaga telah diselesaikan pada 30 Jun.
Urus Niaga Melibatkan Penjualan 20 Juta Saham Berjaya Food Dalam BPB

Transaksi itu melibatkan penjualan 20 juta saham dimiliki oleh Berjaya Food dalam BPB yang merupakan syarikat mengendalikan rangkaian kedai roti dan runcit Paris Baguette di Malaysia.
Selain itu, Berjaya Food turut melangsaikan liabiliti BPB berjumlah RM3.91 juta termasuk obligasi sewa beli kepada Prime Credit Leasing Bhd, anak syarikat Berjaya Corp Bhd, serta beberapa obligasi pembayaran lain.
Telah Melabur Sebanyak RM20 Juta Sejak Julai 2022
Menurut Berjaya Food, harga pelupusan RM1 itu mencerminkan kedudukan liabiliti bersih BPB.
Menurut laporan Berita Harian, harga pelupusan RM1 itu menggambarkan kedudukan BPB yang berada dalam liabiliti bersih.
Ia juga bertanggungjawab untuk melunaskan segala liabiliti tertunggak sebelum urus niaga dimuktamadkan.
Selain itu, Berjaya Food telah melabur sebanyak RM20 Juta ke dalamnya sejak Julai 2022. Malangnya, kesemua pelaburan tersebut telah mengalami susut nilai sepenuhnya.
BPB Rugi Sejak Mula Operasi Pada Januari 2023

BPB mula beroperasi pada Januari 2023 tidak pernah lepas daripada mengalami kerugian sepanjang tempoh operasinya.
Setakat 31 Disember 2025, syarikat itu mencatatkan kerugian bersih belum diaudit sebanyak RM67.09 juta, di samping liabiliti bersih berjumlah RM33.41 juta dan susulan pelupusan itu, BPB tidak lagi tergolong sebagai syarikat usaha sama Berjaya Food.
Sebaliknya, Paris Baguette Singapore yang sebelum ini menguasai baki 50 peratus saham, bertindak sebagai pemegang francais jenama itu, kini memegang pemilikan penuh syarikat berkenaan.
Paris Baguette Singapore Dimiliki Syarikat Dari Korea Selatan
Untuk pengetahuan umum, Paris Baguette Singapore merupakan anak syarikat yang dimiliki oleh sebuah syarikat dari Korea Selatan bernama Sangmiddang Holding Co Ltd terlibat dalam aktiviti pengendalian restoran serta penghasilan roti, kek dan pelbagai produk lain.
Berjaya Food Sasar Semula Fokus Baharu Kepada Perniagaan Teras

Keputusan untuk melepaskan perniagaan Paris Baguette itu selari dengan hasrat syarikat untuk keluar sepenuhnya daripada segmen tersebut di Malaysia dan dapat mengelakkan syarikat daripada terus terdedah kepada kerugian ditanggung BPB.
“Pelupusan ini akan membolehkan Berjaya Food mengagihkan sumber dan tumpuan pengurusan dengan lebih berkesan kepada perniagaan teras serta peluang pertumbuhan lain,” katanya.
Berjaya Food turut menegaskan bahawa urus niaga ini tidak dijangka meninggalkan kesan mendalam terhadap pendapatan, aset bersih mahupun perbezaan nisbah hutang syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Selain itu, ia tidak akan menjejaskan modal saham terbitan atau kepentingan pemegang saham utama syarikat.
Sebelum Ini, Berjaya Food Pernah Rugi Sebanyak RM14.32 Juta

Menurut Berita Harian, Berjaya Food telah mengalami kerugian berikutan kos dan perbelanjaan mengatasi keuntungan bagi tempoh suku pertama tahun ini dengan pemegang francais Starbucks telah mencatat rugi bersih sebanyak RM14.32 juta.
Jumlah tersebut menjadikannya suku ke-10 berturut-turut syarikat ini terperangkap dalam bulatan kerugian.
Usaha mengawal kos serta menutup beberapa cawangan kedai berjaya menurunkan jumlah kerugian kepada RM37.19 juta yang dicatat pada suku ketiga tahun kewangan 2025.
Dari segi keuntungan pula, Berjaya Food telah mencatat peningkatan 4.9 peratus tahun ke tahun kepada RM119.14 juta, sebahagian besarnya disumbangkan oleh operasinya di luar negara.
Berjaya Food turut kekal yakin dengan masa hadapannya, sambil menyatakan langkah terbaharunya mula membuahkan hasil.
“Kami menjangkakan prestasi operasi dan kewangan akan terus kukuh, disokong oleh inisiatif pemasaran dan promosi yang berterusan, usaha rasionalisasi kedai yang sedang dijalankan, serta pendigitalan berterusan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan sama ada dalam talian mahupun di kedai,” katanya.
Buat masa ini, Berjaya Food giat memperluas operasi di luar negara sambil mengukuhkan jenama lain dalam portfolionya seperti Krispy Kreme Doughnuts, dalam usaha membendung kerugian.
Di Malaysia, Berjaya Food telah menutup beberapa cawangan Starbucks dan Kenny Rogers Roasters yang mencatat prestasi lemah.
“Inisiatif yang dilaksanakan ini telah menunjukkan peningkatan dalam prestasi dan dijangka terus memberikan sumbangan positif pada suku akan datang, disokong oleh penambahbaikan lanjut dalam kecekapan operasi,” tambah Berjaya Food.
Baca Artikel Berkaitan: Karipap Tersenarai Sebagai 5 Pastri Paling Sedap Di Dunia | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Lapisan Pâtisserie Perkenal Sajian Terbaharu Bersama Hidangan Matcha | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.