DBKL Nasihat Pengguna Jalan Raya Elak Bayar Tempat Letak Kereta Ke ‘Ulat Parking’
Mengutip bayaran tempat letak kereta di mana-mana kawasan awam salah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Ulat parking mempunyai tiada kuasa undang-undang untuk mengutip bayaran dan boleh didenda sehingga RM2,000 atau dipenjara.
- Jangan bayar ulat parking. Kumpul bukti seperti lokasi dan gambaran fizikal, kemudian laporkan kepada polis.
- Ugutan atau ancaman daripada ulat parking adalah kesalahan jenayah yang boleh dilaporkan kepada polis dengan segera.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pengalaman memandu di Malaysia tidak lengkap kalau tidak pernah berhadapan dengan ulat parking haram yang meminta bayaran di kawasan tempat letak kereta awam.
Kebanyakannya akan bayar sahaja tanpa mengetahui hak mereka dan ada juga bayar kerana takut serta khuatir kereta akan rosak atau dicalarkan jika tidak setuju.
Memetik laporan dari New Straits Times (NST), pihak berkuasa telah berulang kali menegaskan bahawa tindakan ulat parking tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang untuk mengutip bayaran tempat letak kereta di mana-mana kawasan awam.
Ulat Parking Salah Di Sisi Undang-Undang

Menurut laporan dari NST, di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang berdiri di tepi jalan atau di tempat letak kereta bagi tujuan meminta wang adalah satu kesalahan.
Tambahan pula, peguam jenayah Rajsurian Pillai berkata, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Jika anda berdepan dengan ulat parking, anda perlu hubungi polis atau majlis tempatan untuk membanteras operasi haram ini.
DBKL Giat Banteras Isu Ulat Parking

Menerusi laporan dari NST, pada 16 Mei lalu, tiga lelaki telah ditangkap semasa operasi penguatkuasaan di Jalan Yew, Jalan Pasar Baharu dan Pudu.
Ketiga-tiga individu ini telah disabitkan kesalahan didenda antara RM1,200 hingga RM2,500 dan dipenjarakan antara dua hingga tiga bulan.
Jangan Takut Untuk Menegur Perbuatan Yang Salah Ini
Menariknya baru-baru ini tular sebuah klip di X yang dimuat naik oleh pengguna (@kamaghul) telah mendapat lebih 323,000 tontonan menunjukkan seorang pemandu berani berdepan dengan ulat parking yang cuba mengutip bayaran daripadanya.
Kita perlukan ramai lagi macam brader ni. Berani sound yang kutip parking ni. Atleast ada video bukti if apa apa jadi dekat kereta kita 👏🏻 pic.twitter.com/5EKmXDXTPZ
— kamaghul deghaman (@kamaghul) June 6, 2026
Melihat ruangan komen, ramai pengguna turut berkongsi mengalami pengalaman serupa dan mengakui mereka bayar kerana takut kereta akan dirosakkan apabila mereka beredar dari situ.
Pengguna (@erufanali) berkata, “Kadang-kala saya tegur mereka tapi saya takut bila balik nanti ada orang yang pecah masuk kereta, jadi bagi je lah.”
Selain itu, Rajsurian mengingatkan bahawa ugutan dan ancaman daripada ulat parking juga adalah kesalahan jenayah yang boleh dilaporkan kepada polis.
Jika mereka ugut nak rosak kereta anda, itu kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan. Hukumannya penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ugutan secara lisan atau tindakan menakutkan anda pula adalah kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Hukumannya penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jika mereka menyerang atau mencederakan anda secara fizikal, itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Hukumannya penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Lakukan 3 Perkara Ini Bila Berhadapan Dengan Ulat Parking

Pihak berkuasa serta pakar undang-undang mengesyorkan tiga langkah mudah bila berhadapan dengan ulat parking iaitu:
- Jangan lakukan sebarang pembayaran kerana setiap kali kita bayar ibarat kita beri mereka kuasa untuk terus melakukan perkara sama kepada orang lain.
- Kumpul segala maklumat dan bukti seperti lokasi, masa, gambaran fizikal individu berkenaan untuk melakukan laporan polis.
- Hubungi polis atau majlis banda raya seperti DBKL dengan segera supaya tindakan boleh diambil membanteras operasi haram ini.
Baca Artikel Berkaitan: “Dah Letak Kon Pun Parking” – Tuan Rumah Stres Jiran Letak Kereta Depan Pagar | TRP
Baca Artikel Berkaitan: “Susah Parking Terhad” – Lelaki Beri Amaran Kes Curi Bateri Di LRT Glenmarie Raih Perhatian
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.