Malaysia Buka Hotel Transit Lapangan Terbang Mewah Pertama Di KLIA2
CapsuleTransit MAX menawarkan kemudahan setaraf hotel 5 bintang dengan 46 katil premium, ruang istirahat, spa dan kemudahan gymnasium yang lengkap.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook merasmikan pembukaan sebuah hotel butik premium dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) iaitu CapsuleTransit MAX.
CapsuleTransit MAX iaitu singkatan kepada Malaysia’s Authentic eXperience menawarkan kemudahan setaraf hotel 5-bintang dengan 46 katil premium, ruang istirahat, spa dan kemudahan gymnasium yang lengkap.
Loke dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa pelancaran ini amat berketepatan dengan usaha Malaysia dalam menyambut ketibaan pelancong dan pengembara perniagaan yang menitikberatkan kualiti perkhidmatan, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada CapsuleTransit sempena ulang tahun ke- 10 mereka.

“Saya menghargai usaha CapsuleTransit selaku sektor swasta dalam menyokong kerajaan bagi meningkatkan mutu kemudahan di lapangan terbang kita,” jelas Loke.
Turut hadir semasa majlis pelancaran tersebut adalah Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Hani Ezra Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif WCT Malls, Selena Chua, dan tetamu jemputan.
CapsuleTransit MAX Gabungkan Elemen Mewah, Moden & Warisan Budaya
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CapsuleTransit, Ryan Loo berkata CapsuleTransit MAX menggabungkan elemen kemewahan, warisan budaya dan sentuhan moden untuk memberikan pengalaman penginapan unik dan tidak dapat dilupakan.
“Ruang dan suasana di MAX direka dengan teliti oleh Blu Water Studio, firma reka bentuk terkenal yang memenangi anugerah antarabangsa, untuk menggambarkan bakat dan kreativiti Malaysia. Dengan kerjasama artis digital terkemuka, Abdul Shakir, kami telah menyuntik pesona Malaysia dalam setiap sudut MAX.
“Di samping itu, kami juga berkolaborasi dengan beberapa jenama tempatan yang terkenal seperti Acaya, APOM, Ana Tomy, Pestle and Mortar Clothing (PMC), serta Typical Us untuk menampilkan hasil kraf tempatan yang autentik, menjadikan pengalaman menginap di hotel ini benar-benar istimewa,” tambahnya.
Sebagai hotel kapsul premium yang pertama di KLIA2, Loo menjelaskan bahawa CapsuleTransit MAX bukan sekadar tempat untuk berehat kerana ia juga direka untuk meningkatkan keselesaan dan kemudahan semasa transit.

Ruang Istirahat Pertama Hidangkan Menu Berasaskan Tumbuhan
Ruang istirahat di CapsuleTransit MAX merupakan ruang rehat pertama di lapangan terbang yang menyediakan hidangan berasaskan tumbuhan, kudapan ringan tanpa had serta minuman tanpa alkohol.
CapsuleTransit MAX turut menawarkan bilik serba lengkap dengan katil yang selesa, kemudahan moden, dan privasi untuk memastikan tetamu dapat berehat dengan selesa.
Bilik eksekutifnya turut dilengkapi dengan satu ciri yang jarang ditemui di hotel lapangan terbang iaitu tab mandi.

Business Club pula menyediakan kemudahan bilik mesyuarat, bilik persidangan, dan ruang acara.
CapsuleTransit MAX turut mempunyai sudut khas bagi barangan merchandise eksklusif yang menampilkan koleksi produk terpilih yang mempamerkan hasil seni dan jenama terbaik Malaysia.
Ia secara tidak langsung memberikan peluang unik kepada pengembara dan pelancong untuk membawa pulang sebahagian daripada warisan seni Malaysia.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.