Now Reading
Sejarah Bunga Raya & Macam Mana Boleh Dipilih Jadi Bunga Kebangsaan Malaysia

Sejarah Bunga Raya & Macam Mana Boleh Dipilih Jadi Bunga Kebangsaan Malaysia

Bunga raya telah diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan negara oleh Tunku Abdul Rahman pada Julai 1960.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Tentu semua tahu bahawa bunga raya atau Hibiscus rosa-sinensis merupakan bunga kebangsaan Malaysia sejak negara masih Persekutuan Tanah Melayu lagi. Namun, tahukah anda bahawa bunga raya bukanlah bunga yang hidup secara asli di Tanah Melayu ketika itu?

Seorang aktivis alam sekitar, Aidil, menerusi ciapan di Twitter menjelaskan Bunga Raya sebenarnya dibawa masuk ke Tanah Melayu dari Vanuatu iaitu sebuah pulau yang terletak di Laut Pasifik Selatan pada abad ke-12.


Pemilihan Bunga Raya Sebagai Bunga Kebangsaan

Bunga raya telah diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan negara oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 28 Julai 1960 ketika di sebuah pameran Malayan Agro-Horticultural Association (MAHA). Akan tetapi, bunga raya bukanlah satu-satunya bunga yang tercalon dalam pemilihan sebagai bunga kebangsaan.

Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga iaitu bunga raya, bunga kenanga, bunga melur, bunga cempaka, bunga teratai, bunga mawar dan bunga tanjung sebagai calon bagi bunga kebangsaan.

Rentetan daripada itu, Jabatan Penerangan menjalankan sebuah tinjaun untuk mendapatkan maklum balas dari masyarakat umum mengenai bunga yang paling digemari. Hasilnya, rata-rata penduduk Pantai Timur memilih bunga mawar, manakala penduduk Pantai Barat memilih bunga melur.

Namun begitu, kerajaan memutuskan untuk memilih bunga raya berwarna merah sebagai bunga kebangsaan. Selain daripada warna dan bentuknya yang menarik, bunga raya lebih terkenal dan mudah didapati di seluruh negara. Ia dikenali dengan nama yang sama di seluruh negara. Malah, ketika itu bunga raya merah bukanlah bunga kebangsaan bagi mana-mana negara lain.

Pelbagai warna bunga raya

Selain daripada bunga raya di Malaysia, Korea Selatan menetapkan bunga raya jenis hibiscus syracus sebagai bunga kebangsaannya dan Hawaii menetapkan bunga raya kuning sebagai bunganya.


Perlambangan Pada Bunga Raya

Bunga raya diberikan perlambangan berdasarkan warnanya dan bilangan kelopaknya. Warna merah melambangkan keberanian dalam menempuh segala cabaran. Ia juga menunjukkan keteguhan politik dan ekonomi negara. Lima kelopak yang terdapat pada bunga raya pula melambangkan lima pecahan prinsip rukun negara.

Bunga raya juga dikenali sebagai Bunga Perpaduan. Perkataan ‘raya’ di dalam bunga raya menggambarkan keraian perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.


Penggunaan Motif & Nama Bunga Raya

Motif dan gambar bunga raya banyak digunakan pada bahan cetakan seperti yang terdapat paga duit kertas dan syiling, logo, lencana, bendera serta setem. Bunga raya juga merupakan asas kepada rekaan rumit yang terdapat pada baju muskat Yang di-Pertuan Agong ketika upacara pertabalan Sultan Azlan Shah (Sultan Perak) pada tahun 1989.

Muskat diraja dengan motif bunga raya

Singgahsana Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut dihiasi dengan ukiran motif bunga raya di bahagian kaki dan kelek-kelek (tempat letak tangan).

Selain itu, kereta api diesel pertama Keretapi tanah Melayu dan kapal pertama syarikat pelayaran kebangsaan Malaysia diberi nama Bunga Raya pada tahun 1957 dan 1970.

Pada 6 Julai 2007, bunga raya telah didaftarkan sebagai objek warisan negara di bawah kategori Objek Warisan Ketara seperti yang termaktub di dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.


Kongsi cerita viral dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd