Now Reading
Ini Slang Pelbagai Bahasa Yang Rakyat Malaysia Mesti Guna Tiap Kali Ke Kedai Makan

Ini Slang Pelbagai Bahasa Yang Rakyat Malaysia Mesti Guna Tiap Kali Ke Kedai Makan

Yang menariknya, slang apabila ke kedai makan ini diambil dari pelbagai bahasa dan dialek.

In Brief
  • Rakyat Malaysia menggunakan pelbagai slang unik di kedai makan, mencerminkan kepelbagaian budaya dan bahasa dalam kalangan masyarakat.
  • Banyak slang popular seperti 'tapau', 'kaw' dan 'cincai' berasal daripada dialek Cina seperti Kantonis dan Hokkien.
  • Slang ini sebati dalam kehidupan harian rakyat Malaysia, menggambarkan semangat perpaduan kaum yang unik dan membanggakan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Malaysia sememangnya negara yang kaya dengan pelbagai kaum dengan bahasa tersendiri, sekali gus membentuk budaya pertuturan rakyat secara keseluruhannya.

Dengan interaksi yang sering berlaku antara rakyat berbeza kaum, bahasa harian yang digunakan di negara ini juga mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Tidak kira bahasa ibunda yang dituturkan, seorang anak Malaysia sejati pasti turut selesa bertutur dalam bahasa ibunda kaum lain dalam kalangan rakyat negara ini.

10 Slang Yang Digunakan Di Kedai Makan Hampir Setiap Hari Oleh Rakyat Malaysia

Salah satunya adalah apabila ke kedai makan, selalunya di mamak atau gerai tepi jalan.

Mesti kita akan mendengar gabungan pelbagai bahasa yang sekali gus mengingatkan kita kepada keharmonian dan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat berbilang kaum.

#1. Boss

Sifat rakyat Malaysia yang sering menghormati antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang jelas kelihatan setiap hari.

Apabila di kedai makan, setiap pelanggan yang datang pasti memanggil pelayan dengan gelaran yang menunjukkan rasa hormat.

Sama ada ‘Boss’, ‘Anne’ atau ‘Abang’, semua gelaran ini digunakan tidak kira usia dan sudah menjadi satu budaya dalam kalangan orang ramai.

Pelayan pun selalunya panggil pelanggan dengan gelaran yang sama!

Foto: Pexels
#2. Tapau

Kadangkala makanan yang dipesan di kedai makan adalah untuk dibungkus bawa pulang ke rumah.

Ada yang sebut perkataan ‘bungkus’ itu sendiri, ataupun ‘take-away‘ dalam bahasa Inggeris.

Namun buat rakyat Malaysia sejati, terutamanya apabila ke gerai tepi jalan, perkataan yang digunakan selalunya ialah ‘tapau’.

Diambil dari dialek Kantonis, ‘da bao’, ia bermaksud mahu membungkus makanan untuk dibawa pulang.

#3. Ikat Tepi

Jika ‘tapau’ bermaksud bungkus makanan untuk dimakan kemudian, ‘ikat tepi’ pula digunakan bagi minuman yang dibungkus di dalam plastik tetapi mahu diminum terus.

Perkataan ‘ikat tepi’ datang dari perbuatan mengikat bungkusan minuman di bahagian tepi plastik agar terdapat ruang untuk memasukkan penyedut atau straw.

Sebaliknya, ‘ikat mati’ pula bermakna bungkusan minuman itu diikat sepenuhnya dan hanya akan dibuka sendiri oleh pelanggan apabila mahu meminumnya kemudian.

Foto: FB Miz Juejue/ FB Kopilicious
#4. Banjir

Satu lagi perkataan yang sering digunakan di kedai makan, khususnya mamak, ialah ‘banjir’ yang bermaksud kuah dalam kuantiti banyak.

Selalunya digunakan bagi ‘roti canai banjir’ yang penuh dengan kuah kari dan dhal.

‘Kuah banjir’ pula digunakan bagi pesanan nasi kandar dengan kuah yang membanjiri nasi.

Kalau ‘roti canai tsunami’ pula bermaksud roti canai banjir yang ditambah pula telur separuh masak di atasnya. Memang surr!

Foto: FB Abu cari makan/ FB Ali Nasi Kandar Bukit Mertajam
#5. Special

‘Special‘ dari segi bahasa bermaksud istimewa. Bila disebut di kedai makan atau mamak, ia selalunya membawa maksud menu dipesan bersama tambahan telur mata.

Perkataan ini turut digunakan apabila memesan burger di tepi jalan.

#6. Cincai

Bila membeli di gerai tepi jalan, terdapat peniaga yang tidak berkira dengan pelanggan dan sering memberikan diskaun.

Orang kata, “Kira cincai je la”, yang selalunya bermaksud suatu harga dibundarkan tanpa terlalu mengambil kira nilai sen.

Berasal dari dialek Hokkien, ‘cincai’ juga boleh memberi maksud membuat keputusan tanpa berfikir terlalu mendalam, termasuklah ketika mencari tempat untuk lepak makan.

#7. Kaw

Apabila memesan minuman di mamak, mesti selalu dengar pelanggan sebut perkataan ‘kaw’ kan?

Juga berasal dari dialek Hokkien, ‘kaw’ bermaksud pekat atau kuat (strong), biasanya digunakan untuk minuman seperti kopi, teh dan milo.

Foto: Pexels
#8. Surr

‘Surr’ pula perkataan yang sering digunakan bagi makanan yang terlampau sedap dan penuh nikmat.

Selalunya perkataan ini lebih kerap digunakan bagi menu nasi kandar.

#9. Lepak

‘Lepak’ merujuk kepada budaya berjumpa sesama kawan untuk meluangkan masa dan bersantai.

Perkataan ini turut digunakan bagi mengajak rakan ke kedai makan atau mamak sekadar bagi makan ringan atau ‘minum-minum’.

Baca Artikel Berkaitan: Menu Di Kedai Mamak Ada Banyak, Tetapi Ada Satu Yang Ramai Wajib Order

#10. Bayar Asing

Bila dah lepak beramai-ramai di kedai makan, mustahil untuk seorang sahaja membelanjakan semuanya. Boleh pokai!

Jadi bila nak kira amaun yang perlu dibayar, selalunya pelanggan akan sebut sebagai ‘bayar asing’ yang bermaksud setiap individu akan membayar bagi menunya sendiri.

Kalau ada yang nak bayarkan untuk semua pula, situasi itu akan disebut sebagai ‘belanja‘, ‘payung‘ ataupun ‘open table‘.

Baca Artikel Berkaitan: “Macam Topi Wizard” – Pelancong Texas Terkejut Lihat Saiz Roti Tisu Di Kedai Mamak

Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Sebab Kenapa Maggi Goreng Jadi Kegemaran Rakyat Malaysia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd