Noh Salleh melancarkan versi duet baharu Sang Penikam 2026 bersama penyanyi Aina Abdul pada 17 Julai.
Susunan muzik baharu Sang Penikam 2026 dihasilkan oleh komposer lagenda dari Indonesia, Alvin Witarsa.
Versi duet Sang Penikam 2026 mendapat sambutan positif, dengan ramai peminat menyifatkannya sebagai duet terbaik tahun ini.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pemuzik tempatan terkenal, Noh Salleh, yang pada dahulunya bermula dengan kumpulan rock alternatif, Hujan, kini sedang mencipta nama sebagai penyanyi solo dalam industri muzik tanah air.
Antara lagu solo popular nukilan Noh ialah Angin Kencang, Rahsia Tuhan, Nirmala dan Sang Penikam yang menggabungkan irama santai dengan lirik yang puitis.
Hari ini (17 Julai), Noh mengumumkan pengeluaran versi baharu Sang Penikam 2026 hasil nyanyian duet bersama penyanyi, Aina Abdul.
Sang Penikam Lagu Yang Dekat Di Hati Aina Abdul
Sekali mendengar Sang Penikam 2026, gabungan mantap Noh dan Aina Abdul sememangnya membuatkan pendengar meremang bulu roma.
Buat Noh, tiada penyanyi lain yang lebih sesuai berbanding Aina Abdul bagi gandingan yang memberi nafas baharu kepada lagu Sang Penikam.
Dia berkata, Aina Abdul dipilih bukan hanya kerana kebolehannya dalam nyanyian dan menyampaikan rasa menerusi lagu itu, tetapi betapa dekatnya Sang Penikam di hati penyanyi itu.
“Beberapa kali bertemu dan berbual mengenai betapa kami menghormati karya masing masing, namun setiap kali bertemu saya pasti merasakan Aina Abdul ialah penyanyi wanita generasi baharu yang harus saya berkolaborasi untuk apa saja karya seni,” kata Noh dalam hantaran di Instagram.
Menurut Noh, sudah tiga tahun sejak Aina Abdul bersetuju untuk melakukan duet Sang Penikam bersamanya sebelum versi baharu itu dikeluarkan hari ini.
Susunan Muzik Sang Penikam 2026 Oleh Alvin Witarsa
Penyanyi popular itu turut mengulas serba sedikit mengenai susunan muzik baharu bagi versi Sang Penikam 2026.
Katanya, susunan itu merupakan hasil komposer muzik lagenda dari Indonesia, Alvin Witarsa.
Noh merasakan Alvin sebagai individu yang layak dalam mengendali hala tuju Sang Penikam bersama Aina kerana dia juga bertanggungjawab menghasilkan susunan muzik bagi versi orkestra lagu-lagu dari album Angin Kencang.
“Susunan Tuhan untuk kami mengeluarkan lagu yang saya percaya sangat indah dan mampu melahirkan rasa yang bermacam buat pendengar diluar sana sangatlah sempurna.
“Tidak dipaksa, tidak dilengahkan, penuh nuansa percaya dan rasa dengan waktu yang sempurna, setelah 3 tahun mengunci janji untuk mewarna alam dengan sebuah lagu yang sempurna rasanya, terima lah Sang Penikam 2026,” katanya.
Sang Penikam 2026 gandingan khas Noh dan Aina Abdul telah menerima pujian positif daripada sebahagian besar peminat lagu itu.
Menjenguk ke ruangan komen, ramai yang merasakan susunan muzik itu adalah lebih menusuk jiwa berbanding versi asal yang sudah cukup hebat dengan nyanyian solo Noh.
“Sang Penikam the haunting masterpiece. sebelum versi 2026 pun dah ada banyak versi yang best,” kata seorang individu.
Ada juga yang menyifatkan nyanyian Noh dan Aina Abdul itu sebagai ‘duet of the year’.
Sumber: Instagram
Sang Penikam Dikeluarkan 12 Tahun Lepas
Sebagai info, Sang Penikam versi asal telah dikeluarkan oleh Noh pada tahun 2014 di bawah album ‘Angin Kencang’.
Ini bukanlah nyanyian pertama Noh bersama Aina, apabila kedua-dua penyanyi itu pernah berganding di Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas pada tahun 2025 untuk mempersembahkan lagu Sang Penikam juga.