Now Reading
Amelia Henderson Temubual Matt Damon & Tom Holland, Siap Ajar Slang Malaysia!

Amelia Henderson Temubual Matt Damon & Tom Holland, Siap Ajar Slang Malaysia!

Amelia Henderson mengambil kesempatan untuk menemu bual dua bintang Hollywood itu dalam sesi lima minit Studio Sembang Slice, ketika tayangan perdana The Odyssey di Mumbai, India.

In Brief
  • Amelia Henderson menemubual Matt Damon dan Tom Holland di Mumbai, membincangkan cabaran penggambaran filem The Odyssey.
  • Matt dan Tom diminta menyebut slang Malaysia, dengan Tom dipuji kerana menyebutnya seperti rakyat tempatan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Filem terbaharu arahan Christopher Nolan, The Odyssey, baru sahaja mula ditayangkan di peringkat antarabangsa hari ini (17 Julai).

Sempena sesi tayangan perdana The Odyssey di Mumbai, India sebelum ini, pelakon dan pengacara tempatan, Amelia Henderson berkesempatan menjemput dua bintang yang ditampilkan dalam filem itu ke sesi Studio Sembang Slice.

Dalam sesi pendek selama lima minit itu, Amelia menemu bual dua pelakon Hollywood, Matt Damon dan Tom Holland, mengenai perjalanan mereka ketika merakamkan babak-babak sewaktu pembikinan filem The Odyssey.

Tom & Matt Berkongsi Cabaran Masing-Masing Ketika Penggambaran Filem The Odyssey

Apabila ditanya, Tom berkata salah satu cabaran yang dihadapi adalah apabila kamera khas yang digunakan bagi kesan IMAX hanya mempunyai tempoh jangka filem selama tiga minit.

Oleh itu, bagi babak yang berdurasi lebih lama, pelakon perlu mengekalkan momentum mereka agar rakaman dapat dimulakan semula dengan pergerakan sama.

“Bagi saya, ia lebih kepada seperti melakonkan pementasan teater. Bila kita pentaskan teater dan buat kesalahan, kita tak dapat perbetulkan sampailah persembahan seterusnya,” katanya.

Matt yang melakonkan watak utama, Odysseus di dalam filem itu berkata, penggambaran itu membawa kelainan daripada kebanyakan filem kerana terdapat babak yang dirakam di atas bot.

Dia yang merasakan setiap hari mempunyai cabaran tersendiri, menjelaskan bahawa mereka juga terpaksa mendaki gunung dan menahan cuaca yang amat sejuk di Iceland.

“Tapi itulah keseronokannya. Ia terasa lebih kepada satu ekspedisi daripada filem kerana kami semua berkongsi pengalaman yang sama,” ujarnya.

Matt & Tom Diminta Sebut Slang Malaysia, Tak Ubah Macam Rakyat Tempatan!

Bukan itu sahaja, Amelia turut ‘menyuntik’ sedikit semangat Malaysia kepada kedua-dua pelakon hebat itu dengan meminta mereka menyebut dialog di dalam Bahasa Melayu.

Matt diminta menyebut “Gerak lu!” yang bermakna “Mari kita pergi dulu”, satu slang yang sering digunakan di Malaysia.

Manakala Tom pula membacakan dialog yang berbunyi “Bapa aku ondewei”, iaitu versi bahasa Manglish yang bermakna “Ayah saya dalam perjalanan”.

Tom berkata dia gemarkan dialog tersebut dan turut diusik oleh Amelia bahawa dia layak berpindah ke Malaysia selepas berjaya menyebutnya dengan gaya saling tidak ubah seperti rakyat tempatan.

Amelia Sempat ‘Jemput’ Matt & Tom Agar Bercuti Ke Malaysia

Sebagai tanda peringatan, Amelia turut menyediakan cenderamata khas untuk Matt dan Tom dalam bentuk T-shirt berkolar dengan nama, tarikh lahir dan dialog mereka masing-masing.

Mengulas tentang aktiviti yang dilakukan selepas penggambaran The Odyssey, Matt berkata dia kembali meluangkan masa bersama anak dan isterinya, manakala Tom pula terus menyertai satu penggambaran baharu.

Sebelum menamatkan sesinya, Amelia sempat mengambil peluang untuk menjemput kedua-dua bintang Hollywood itu agar datang bercuti ke Malaysia.

The Odyssey Dirakam Menggunakan Kamera IMAX®

Filem The Odyssey arahan pengarah hebat Christopher Nolan, dihasilkan menggunakan teknologi filem baharu IMAX® sepenuhnya, dengan bajet dilaporkan sekitar USD250 juta (RM1.02 bilion).

Merupakan sebuah filem aksi fantasi epik, The Odyssey diadaptasikan daripada puisi kuno oleh penyajak Yunani, Homer.

Dengan masa tayangan mencecah tiga jam, filem itu mengisahkan tentang Odysseus (lakonan Matt Damon) dalam perjalanan pulang selepas Perang Trojan, untuk bertemu semula dengan isterinya Penelope (Anne Hathaway) dan anak lelaki, Telemachus (Tom Holland).

Mula ditayangkan di Malaysia sejak 16 Julai, The Odyssey menampilkan barisan pelakon hebat, Matt Damon, Zendaya, Tom Holland, Robert Pattinson, Anne Hathaway, Charlize Theron dan Lupita Nyong’o.

The Odyssey Filem Pertama Nolan Selepas Oppenheimer

Filem The Odyssey merupakan arahan pertama Nolan selepas Oppenheimer pada tahun 2023.

Bukan sekadar filem aksi, The Odyssey turut menerima pujian kerana menggambarkan semula mitos itu sebagai sebuah penerokaan psikologi mengenai trauma perang, rasa bersalah individu yang terselamat, dan legasi yang menjadi beban.

Memetik BBC, The Telegraph menyebut The Odyssey sebagai ‘film of the year‘, manakala Metro berkata ia merupakan sebuah filem yang akan mengubah landskap pawagam buat selamanya.

The Odyssey turut menerima pujian The Times yang menyifatkan ia sebagai sebuah masterpiece dari setiap sudut.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd