Now Reading
[Foto] Naik Pesawat Spider-Man? Scoot Tampil Dengan Kabin Tema Spider-Man: Brand New Day

[Foto] Naik Pesawat Spider-Man? Scoot Tampil Dengan Kabin Tema Spider-Man: Brand New Day

Bagi mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman ini, pastikan anda menyemak jadual pesawat bertemakan Spider-Man sebelum membuat tempahan kerana kempen ini hanya berlangsung untuk tempoh yang terhad.

In Brief
  • Scoot bekerjasama dengan Sony Pictures menawarkan pengalaman penerbangan bertemakan Spider-Man: Brand New Day sehingga 13 September 2026.
  • Dua pesawat Scoot, Airbus A321neo dan Boeing 787 Dreamliner, dihiasi dekorasi khas, muzik filem dan cenderamata eksklusif.
  • Penerbangan sulung bermula ke Tokyo pada 30 Jun dan Chiang Mai pada 1 Julai 2026.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kalau anda peminat tegar Spider-Man, penerbangan yang akan datang bersama Scoot mungkin terasa sedikit berbeza.

Syarikat penerbangan tambang rendah milik Singapore Airlines (SIA) itu baru-baru ini mengumumkan kolaborasi bersama Sony Pictures sempena filem Spider-Man: Brand New Day, sekaligus menawarkan pengalaman penerbangan bertemakan adiwira popular tersebut.

Lebih menarik, pengalaman ini turut merangkumi hiasan dalam kabin, muzik latar dan cenderamata eksklusif untuk penumpang.

Kabin Bertemakan Spider-Man Hingga September 2026!

Kempen khas ini berlangsung sehingga 13 September 2026, membabitkan dua pesawat Scoot iaitu Airbus A321neo dan Boeing 787 Dreamliner.

Sepanjang tempoh itu, penumpang berpeluang menikmati suasana penerbangan bertemakan Spider-Man: Brand New Day menerusi dekorasi khas dalam kabin, termasuk penutup kepala tempat duduk (headrest cover) dan muzik daripada filem berkenaan.

Bagi melengkapkan pengalaman, Scoot turut menawarkan cenderamata eksklusif seperti flight tag atau beg lipat mesra alam, tertakluk kepada terma dan syarat pembelian dalam penerbangan.

Penerbangan Sulung Ke Tokyo & Chiang Mai

Pesawat bertemakan Spider-Man itu dijadual memulakan penerbangan sulung ke:

  • Tokyo (Haneda) pada 30 Jun 2026 menggunakan Boeing 787 Dreamliner.
  • Chiang Mai pada 1 Julai 2026 menggunakan Airbus A321neo.
Foto: Fly Scoot

Selepas itu, kedua-dua pesawat akan digunakan secara bergilir ke beberapa destinasi terpilih di Australia, China, Jepun, Filipina dan Thailand.

Menariknya, disebabkan operasi penerbangan dijalankan seperti biasa, ada kemungkinan penumpang yang tidak menempah penerbangan bertemakan Spider-Man secara khusus akan ‘tersangkut’ dengan pesawat istimewa ini secara tidak sengaja.

Tapi untung juga, kan? Dapatlah merasa.

Pengalaman Bermula Seawal Daftar Masuk

Foto: Fly Scoot

Bukan sahaja di dalam pesawat, pengalaman bertemakan Spider-Man turut bermula di Lapangan Terbang Changi Singapura Terminal 1, apabila kawasan daftar masuk dihiasi dengan pemasangan (installation) khas Spider-Man.

Menurut Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan, kolaborasi itu bertujuan memberikan pengalaman perjalanan yang lebih menyeronokkan kepada pelanggan.

Foto: Fly Scoot

“Kami teruja bekerjasama dengan Sony Pictures bagi membawa pengalaman penerbangan yang lebih mengasyikkan dan tidak dapat dilupakan kepada pelanggan.

“Selain menawarkan perkhidmatan berkualiti dan nilai terbaik, kerjasama ini mencerminkan komitmen Scoot untuk terus berinovasi dalam memberikan pengalaman baharu kepada pelanggan,” jelasnya.

Penerbangan Bertema Spider-Man

Foto: Fly Scoot

Penerbangan bertemakan Spider-Man: Brand New Day telah dilabel khas di laman web dan aplikasi mudah alih Scoot bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan.

Bagaimanapun, jadual penerbangan adalah tertakluk kepada perubahan dan kelulusan pihak berkuasa.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd