Penggunaan stroller dalam kereta api waktu kemuncak dipersoalkan, ada yang minta ibu ayah lipat stroller agar tidak mengganggu penumpang lain.
Ramai tidak setuju dengan kritikan itu, berpendapat ibu ayah mungkin ada urusan penting seperti temujanji hospital dan bukan semua mampu naik e-hailing.
Isu lipat stroller dalam lif juga diperdebatkan, ada yang bandingkan ia seperti meminta pengguna kerusi roda melipat alat bantuan mereka.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Penggunaan kereta sorong bayi atau stroller sering kali menjadi pilihan ibu ayah kerana dapat memudahkan perjalanan mereka.
Bukan sahaja untuk menyediakan tempat yang selesa bagi si kecil, tetapi stroller juga boleh digunakan bagi menyimpan barang-barang keperluan bayi seperti botol susu dan lampin.
Namun penggunaan stroller sering kali dilihat sebagai sesuatu yang ‘menyusahkan’ orang sekeliling.
Individu Persoal Penggunaan Stroller Di Dalam Tren Ketika Peak Hour
Seperti isu yang tular di media sosial baru-baru ini, terdapat pihak yang mempersoalkan penggunaan stroller di dalam kereta api seperti LRT dan MRT ketika waktu kemuncak.
Seorang individu berkata penggunaan kereta api ketika waktu kemuncak sepatutnya diutamakan buat golongan pekerja dan bukanlah untuk ibu ayah membawa anak berjalan-jalan menaiki stroller.
Malah ada yaang turut meminta ibu ayah untuk melipat stroller tersebut agar tidak ‘mengganggu’ penumpang lain.
Seorang ibu sendiri turut berpendapat bahawa penggunaan stroller di dalam kereta api sewaktu ramai yang mahu ke tempat kerja adalah sikap yang mementingkan diri.
Sumber: Threads
Ramai Kurang Setuju Dengan Kritikan, Anggap Ibu & Anak Mungkin Ada Urusan Penting
Pun begitu, ramai yang tidak bersetuju dengan kritikan yang diberikan terhadap golongan ibu ayah yang membawa stroller menaiki kereta api di awal pagi.
Beberapa individu berpendapat mungkin mereka juga mempunyai urusan tersendiri seperti membawa anak ke temujanji klinik atau hospital.
Walaupun ada yang berkata ibu ayah boleh sahaja memilih untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing, namun ramai berpendapat bukan semua orang berkemampuan dan terpaksa menaiki pengangkutan awam yang lebih rendah kosnya.
“Saya percaya orang tu pun tak ada pilihan lain. You ingat dia nak bersesak-sesak ke dengan anak kecil, dengan stroller lagi join office crowd? Tak semua mampu,” kata seorang wanita.
Malah orang ramai turut menegaskan bahawa penggunaan kereta api pada waktu kemuncak bukan dikhaskan untuk para pekerja sahaja, tetapi boleh digunakan oleh sesiapa pun.
“Kalau awak banyak complain sangat, beli la kereta, takpun naik Grab. Kenapa pula ibu tu yang kena naik Grab macam orang bekerja ni entitled sangat tren tu hak korang,” kata seorang individu.
Sumber: Threads
Ada Yang Suruh Lipat Stroller Apabila Masuk Lif
Isupenggunaan stroller ini bukan sahaja dikaitkan ketika menaiki kereta api. Sebelum ini terdapat individu yang meminta agar stroller dilipat apabila dibawa masuk ke dalam lif di pusat beli-belah.
Di Threads, seorang wanita menegaskan tidak logik untuk seorang ibu melipat stroller kerana perlu mendukung anak dan mengangkat barang-barang lain.
Ada juga yang menyamakan penggunaan stroller dengan kerusi roda oleh orang kurang upaya, yang mana tidak logik untuk meminta mereka melipat alat bantuan itu.
Beberapa individu turut berpendapat bahawa penggunaan lif sepatutnya diutamakan bagi golongan ibu bapa yang membawa anak-anak.
“Tak ada orang lipat stroller bila masuk lif. Saya duduk di UK. Memang yang masuk lif orang tua, OKU dan yang guna stroller. Jarang sangat orang sihat pakai lif,” kata seorang individu membandingkan situasinya ketika di luar negara.