Now Reading
“Tengah Run Jumpa Penyu” – Ramai Teruja Lihat Sekumpulan Individu Bantu Lepaskan 13 Anak Penyu Sesat Ke Lautan

“Tengah Run Jumpa Penyu” – Ramai Teruja Lihat Sekumpulan Individu Bantu Lepaskan 13 Anak Penyu Sesat Ke Lautan

Menurut pengguna Threads yang dikenali sebagai Sholahtul Hafizah, mereka mengambil keputusan untuk melepaskan kesemua 13 ekor anak penyu ke lautan kerana pusat pemuliharaan penyu berdekatan tutup pada hari itu.

In Brief
  • Sekumpulan individu yang sedang berlari pagi di Pantai Teluk Mak Nik berjaya menyelamatkan 13 ekor anak penyu yang tersesat di dalam parit.
  • Memandangkan pusat pemuliharaan penyu berdekatan tutup, mereka mengambil keputusan untuk melepaskan sendiri kesemua anak penyu itu ke lautan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebut sahaja Terengganu, haiwan yang pasti muncul dalam fikiran setiap orang mestilah penyu laut yang menjadi khazanah alam berharga di negeri itu.

Malah terdapat beberapa pusat konservasi penyu di Terengganu yang sekali gus menjadi destinasi eko-pelancongan yang dibuka kepada orang ramai.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa penyu kini diambang kepupusan, apatah lagi apabila lima daripada tujuh spesies diklasifikasikan sebagai haiwan terancam.

Oleh itu, sebarang usaha untuk melindungi spesies penyu yang mendarat dan bertelur di tanah air adalah amat dihargai.

Wanita & Rakan Terjumpa 13 Anak Penyu Sesat Di Pantai Teluk Mak Nik

Itulah yang turut dilakukan oleh sekumpulan individu apabila terjumpa beberapa ekor anak penyu ketika sedang melakukan aktiviti morning run di sekitar Pantai Teluk Mak Nik di Kemaman, Terengganu.

Menurut pengguna Threads yang dikenali sebagai Sholahtul Hafizah, dia dan beberapa rakan pada mulanya ternampak seekor anak penyu di dalam kawasan parit berhampiran pantai berkenaan.

Sebaik sahaja turun ke dalam parit tersebut, kelihatan dua ekor lagi anak penyu yang membuatkan mereka cuba untuk mencari adik-beradiknya yang lain.

Mereka akhirnya berjaya menemui sebanyak 13 ekor penyu yang tersesat di celahan rumput.

View on Threads

Pusat Pemuliharaan Tutup, Ambil Keputusan Lepaskan Anak Penyu Ke Lautan

Tambah Sholahtul, mereka telah cuba menghubungi sebuah pusat pemuliharaan penyu berdekatan, namun tidak berjaya kerana lokasi itu tutup pada hari Sabtu.

Mereka kemudian mengambil keputusan untuk melepaskan sendiri kesemua anak penyu itu ke lautan.

“Tenang hidup di Terengganu. Berlari jumpa anak penyu dalam parit. Nak hantar ke pusat pemuliharan penyu tapi Sabtu tutup. Jadi kita lepas sendiri la,” katanya.

Menerusi video dikongsi, dapat dilihat mereka telah melepaskan anak penyu beberapa meter dari gigi air sebelum haiwan akuatik itu meneruskan perjalanan mereka ke dalam lautan.

Foto: Threads @sholahfiza

Ramai Ucap Terima Kasih, Kongsi Cara Sebenar Lepaskan Anak Penyu

Menjenguk ke ruangan komen, kelihatan orang ramai berasa teruja dengan pengalaman unik mereka yang dapat berjumpa dan menyelamatkan anak penyu.

Mereka turut mengucapkan terima kasih kerana telah melepaskan kesemua anak penyu itu ke lautan agar tidak menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam masa sama, seorang individu turut mengingatkan tentang cara yang betul untuk memegang anak penyu memandangkan bahagian perutnya sensitif dengan haba.

Tambah seorang lagi, anak penyu juga kebiasaannnya dilepaskan ke lautan pada waktu senja untuk mengelakkan mereka dimakan oleh haiwan pemangsa.

Ada juga yang berpendapat anak-anak penyu itu pasti tersesat ke dalam parit berkenaan akibat pencemaran cahaya yang berlaku di kawasan pantai.

“Bila penyu menetas malam, mereka akan ikut naluri semula jadi untuk mencari cahaya bulan dan bintang sebagai petunjuk menuju ke laut. Tapi bila kawasan darat pantai banyak lampu, anak-anak penyu ni boleh keliru dan menuju ke arah lampu jalan atau kedai,” jelasnya.

Sumber: Threads

Anak Penyu Dilepaskan 5 Ke 7 Meter Dari Gigi Air, Bantu Ingat Lokasi Bertelur

Menurut Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, anak penyu, atau dikenali juga sebagai tukik, perlu diletakkan kira-kira 5 hingga 7 meter dari gigi air apabila dilepaskan ke lautan.

Jelasnya, wajib bagi anak penyu merangkak di pasir agar mereka mengingati ciri-ciri pasir (kasar atau halus) dan medan geomagnetik suatu tempat.

Ini merupakan satu memori yang akan memandu penyu betina dewasa kembali semula untuk bertelur kira-kira 20 tahun kemudian.

Tindakan Mengganggu Penyu Boleh Dikenakan Denda Atau Penjara

Sebagai info, terdapat tiga spesies penyu yang masih mendarat di Malaysia iaitu Penyu Agar, Penyu Lipas dan Penyu Karah. Kebiasaannya Penyu Agar yang paling lazim mendarat di perairan Terengganu.

Diingatkan bahawa penyu di pulau atau pantai tidak boleh dibawa ke tempat lain tanpa memohon kebenaran daripada Raja di tempat berkenaan, kerana ia dilindungi di bawah undang-undang negeri.

Di samping itu, Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 melarang sesiapa sahaja daripada menangkap, mengganggu, memburu atau menyentuh penyu dan mamalia akuatik.

Di bawah Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021), individu yang didapati bersalah mengganggu penyu boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara sekurang-kurangnya setahun, atau kedua-duanya sekali.

Baca Artikel Berkaitan: Raih Sijil ‘Green Globe’, Club Med Cherating Jadi Lokasi Holiday Mesra Alam Sekitar

Baca Artikel Berkaitan: Pulau Kapas, Pulau Pangkor & 4 Lagi Pulau Kid-Friendly Di Malaysia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd