LRT Laluan Kelana Jaya Brek Mengejut, 5 Penumpang Cedera Akibat Panel Kaca Pecah
Berdasarkan kenyataan Rapid KL, panel kaca di tepi tempat duduk itu telah pecah apabila botol air milik seorang penumpang melanggarnya akibat tren yang berhenti secara mengejut.
- Sebuah tren LRT Laluan Kelana Jaya berhenti mengejut berhampiran Stesen Dang Wangi, menyebabkan panel kaca pecah dan lima penumpang cedera.
- Rapid KL mengesahkan sistem keselamatan automatik diaktifkan, dan tren terlibat dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk pemeriksaan teknikal menyeluruh.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tren transit aliran ringan (LRT) merupakan salah satu mod pengangkutan awam utama di ibu kota, khususnya buat mereka yang bekerja.
Antara laluan LRT yang menjadi pilihan ramai pengguna ialah LRT Laluan Kelana Jaya yang menghubungkan pusat bandar Kuala Lumpur sehingga ke kawasan Gombak dan Petaling Jaya.
Namun tidak dapat dinafikan penumpang kerap kali berdepan pelbagai isu membabitkan tren di laluan ini termasuklah satu insiden yang berlaku semalam (4 Jun) sehingga menyebabkan kecederaan.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] “Terkeluar Skil Parkour Harini” – Penumpang LRT Kelana Jaya Berjalan Atas Rel Kerana Isu Gangguan Perkhidmatan
Baca Artikel Berkaitan: 60% Pengguna Rel Di Malaysia Adalah Wanita, Betul Ke?
Tren LRT Laluan Kelana Jaya Berhenti Mengejut, Penumpang Terlanggar Panel Kaca Sehingga Pecah
Berdasarkan hantaran tular di media sosial, pengguna Threads (@abu_bjq) berkata sebuah tren LRT telah berhenti secara tiba-tiba ketika berada di laluan antara Stesen Dang Wangi dan Stesen Kg Baru.
Menurutnya, perkara itu telah menyebabkan seorang penumpang yang tidak dapat mengawal keseimbangannya terlanggar panel kaca di tepi tempat duduk sehingga pecah.
Namun menerusi video lain yang dimuat naik ke Threads (@fidafifah), tren sama dilihat meneruskan perjalanan selepas insiden tersebut yang berlaku semalam (4 Jun).
Seorang pengguna media sosial yang juga sedang menaiki tren sama ketika itu mendakwa insiden itu sehingga menyebabkan beberapa penumpang tercedera termasuk luka di bibir dan pipi serta patah separuh gigi.
View on Threads
View on Threads
Ramai Dakwa Tren LRT Pernah Beberapa Kali Berhenti Mengejut
Di ruangan balas, ramai yang mendakwa bahawa mereka juga pernah berdepan masalah tren LRT yang berhenti secara mengejut.
Malah ada yang berkata tren yang terlalu penuh menyebabkan ramai tidak dapat memegang pemegang ketika sedang berdiri.
“Penuh sangat tren sampai tempat pegang pun penuh orang lain dah pegang. Taktau nak pegang mana. Bila brek mengejut pegang je apa yang nampak depan mata,” katanya.
Di samping itu, ramai juga yang meluahkan rasa risau sekiranya insiden sedemikian berlaku, terutamanya bagi mereka yang membawa kanak-kanak dan bayi bersama.



Tren Berhenti Mengejut Kerana Sistem Keselamatan Automatik Diaktifkan
Sehubungan itu, Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan insiden tersebut berlaku di dalam sebuah tren Laluan Kelana Jaya bernombor 62 ketika berada berhampiran Stesen Dang Wangi pada 6.07 petang semalam (4 Jun).
Katanya, insiden itu berlaku disebabkan oleh tren yang berhenti serta-merta apabila sistem keselamatan automatik diaktifkan ketika sedang bergerak keluar dari stesen.
“Pengaktifan sistem tersebut merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan tren sedia ada yang direka untuk memastikan sebarang situasi luar jangka dapat ditangani dengan segera,” katanya.
5 Tercedera, Penumpang Turun Di Stesen Damai Untuk Naik Tren Lain
Akibat tren yang berhenti secara mengejut, Rapid KL berkata seorang penumpang yang sedang berdiri dipercayai hilang imbangan sehingga botol air yang dipegang melanggar panel kaca di sebelah tempat duduk, sekali gus menyebabkannya pecah.
Susulan itu, beberapa penumpang yang duduk berhampiran terkena serpihan kaca yang pecah dan lima daripada mereka mengalami kecederaan.
“Dua daripada mereka telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala penumpang yang lain menerima rawatan di lokasi sebelum meneruskan perjalanan mereka,” katanya.
Dalam masa sama, pihak Rapid KL menjelaskan bahawa penumpang lain di dalam tren sama tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mereka juga telah diturunkan di Stesen Damai untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren yang seterusnya.
Tren Terlibat Dikeluarkan Dari Perkhidmatan Bagi Pemeriksaan Teknikal Menyeluruh
Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga dan selaras dengan prosedur operasi standard, tren yang terlibat telah dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi membolehkan pemeriksaan teknikal menyeluruh dilaksanakan.
Pun begitu, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya terus beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pengendalian insiden dengan pelarasan sementara pada kekerapan tren di beberapa lokasi.
“Rapid KL telah memulakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca insiden dan akan terus memastikan tahap keselamatan serta keselesaan penumpang sentiasa diberi keutamaan,” katanya.
Dalam pada itu, pihak Rapid KL turut menasihati para penumpang agar sentiasa berpegang pada pemegang tangan dan mengekalkan kedudukan stabil sepanjang perjalanan, terutamanya ketika tren sedang bergerak atau menghampiri stesen.
Baca Artikel Berkaitan: Rapid KL Ingatkan Penumpang Agar Tidak Duduk Di Atas Panel Pandu Tren
Baca Artikel Berkaitan: Tiada Yang Beri Tempat Duduk, Individu Bertongkat Terpaksa Berdiri Dalam MRT Koc Wanita [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Cipta Website Untuk Mudahkan Orang Ramai Cari Rumah Dekat Dengan LRT
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.