Now Reading
Anjing Selebriti China Miliki 1.5 Juta Followers Diculik, Dijual RM107 Sebelum Dimakan

Anjing Selebriti China Miliki 1.5 Juta Followers Diculik, Dijual RM107 Sebelum Dimakan

Anjing Border Collie yang digelar sebagai Chutou itu dilaporkan hilang dari rumah tuannya berhampiran bandar Liuhe pada 11 Mei lalu.

In Brief
  • Chutou, seekor anjing selebriti Border Collie dengan 1.5 juta pengikut di Douyin, diculik ketika tuannya berada di Georgia.
  • Penculik menjual Chutou kepada restoran daging anjing dengan harga hanya RM107, dan anjing itu telah disembelih serta dimakan.
  • Tuan Chutou membuat laporan polis, namun kes jenayah hanya boleh dibuka jika nilai anjing itu melebihi RM1,191.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sering digelar sebagai ‘sahabat baik manusia’, anjing sememangnya seekor haiwan yang terkenal dengan sifat kesetiaannya.

Seperti seekor anjing selebriti yang terkenal di China dikenali sebagai Chutou, dia sebelum ini dilihat sentiasa menjelajah bersama tuannya.

Namun satu insiden yang berlaku baru-baru ini menyebabkan ramai bukan sahaja di China, tetapi masyarakat dunia yang berasa terkesan dan kecewa.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Aksi Individu Beri Makan Kepada Anjing Jalanan Raih Pujian

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Hujan Lebat Sebabkan Anjing Berteduh Depan Pintu Rumah, Tindakan Lelaki Ini Biarkan Ia Rehat Raih Pujian

Chutou Diculik Individu Tidak Dikenali Dari Perkarangan Rumah Keluarga

Chutou (锄头), seekor anjing jenis Border Collie dengan bulu berwarna putih kelabu, dilaporkan hilang berhampiran bandar Liuhe di Daerah Ningling, China pada 11 Mei lalu.

Anjing selebriti berusia lapan tahun itu yang dimiliki oleh pempengaruh dan pengembara dikenali sebagai Guo, mempunyai lebih 1.5 juta pengikut di laman media sosial China, Douyin.

Menurut laporan SCMP, Chutou sebelum itu telah dibeli oleh Guo daripada penjual jalanan pada harga 2000 Yuan (RM1,191) ketika usianya baru sahaja tiga bulan.

Walaupun sering mengikut tuannya mengembara, namun Guo baru-baru ini meninggalkan Chutou di rumah di bawah jagaan ibu bapanya ketika mengadakan pengembaraan solo ke Georgia.

Siapa sangka perkara itu menyebabkan Chutou menjadi mangsa penculikan oleh dua individu yang tidak dikenali.

Mengetahui insiden itu, Guo segera pulang ke China untuk mencari anjing kesayangannya. Namun, hakikatnya tidaklah seperti yang diharapkan.

Antara gambar terakhir Chutou sebelum dilaporkan hilang. (Sumber: Chutoucoin.com)

Penculik Jual Chutou Pada Restoran Daging Anjing Dengan Harga Rm107

Selepas kira-kira dua minggu kemudian, Guo akhirnya menemui individu yang didakwa menculik Chutou dan menawarkan 10,000 Yuan (RM5,959) agar anjingnya dipulangkan semula.

Namun lelaki berkenaan mendakwa dia tidak tahu bahawa Chutou mempunyai tuan dan anjing itu sendiri telah mengikutinya apabila dipanggil.

Guo menolak penjelasan tersebut, memandangkan Chutou sentiasa memakai kolar dengan penjejak serta sedang berada di tanah keluarganya ketika penculikan berlaku.

Lelaki itu kemudiannya mendedahkan dia telah menjual Chutou kepada sebuah restoran daging anjing pada harga 180 Yuan (RM107) dan bahawa anjing tersebut telah dimakan.

Lebih mengecewakan lagi apabila lelaki itu dan keluarganya tidak membuat sebarang permohonan maaf kepada Guo.

“Anjing itu dah mati, jadi berhenti buat kecoh. Saya tak melanggar undang-undang,” dia didakwa berkata.

Selepas menerima berita yang amat meruntun jiwa itu, Guo telah berjumpa dengan pekerja di restoran terbabit yang menyembelih Chutou dengan harapan untuk mendapatkan sisa bulu anjingnya.

“Bulu (anjing itu) sudah lama dibuang dalam tong sampah,” katanya.

Tuan Laporkan Insiden Kepada Polis, Boleh Jadi Kes Jenayah Kecurian Jika Nilai Chutou Lebih RM1,191

Guo memilih untuk tidak berdiam diri dengan insiden yang berlaku dan melaporkannya kepada pihak polis.

Dia turut menyerahkan bukti nilai pasaran Chutou dan berharap agar satu kes jenayah akan dibuka.

Memetik SCMP, peguam di Sichuan Weixu Law Firm, Du Wei berkata, kes kecurian boleh dituntut sebagai satu jenayah hanya jika nilai harta dicuri melebihi 2,000 Yuan (RM1,191).

Katanya, jika nilai Chutou dapat ditetapkan, suspek boleh didakwa atas tuduhan mencuri dan berdepan penjara sehingga tiga tahun.

Peguam juga berkata Guo boleh meminta pampasan bagi kerugian terus, namun nilai komersial Chutou sebagai seekor anjing selebriti dan kerugian emosi Guo mungkin sukar untuk dibuktikan.

Setakat ini, China tiada sebarang undang-undang berkenaan perlindungan haiwan peliharaan yang sering kali dilayan sebagai harta benda.

Yulin Dog Meat Festival Masih Berlangsung, Namun Anjing & Kucing Sebenarnya Dibunuh Sepanjang Tahun

China memang terkenal dengan tradisi memakan haiwan peliharaan termasuk anjing dan kucing.

Walaupun terdapat beberapa bandar seperti Shenzhen dan Zhuhai yang telah melarang aktiviti memakan anjing dan kucing, namun sesetengah wilayah masih menganggap daging anjing sebagai bahan makanan tradisional.

Malah, satu festival dikenali sebagai Yulin Dog Meat Festival telah dilancarkan pada tahun 2010 oleh penjual daging anjing dan diadakan sekitar 20 dan 21 Jun setiap tahun.

Namun menurut Humane World for Animals, hakikatnya anjing dan kucing dibunuh sepanjang tahun di Yulin bagi mendapatkan dagingnya.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Anjing Terlepas Naik Tren, Netizen Puji Orang Ramai Tak Panik & Cuba Bawa Ia Keluar

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Aksi Lucu Anjing Merajuk Dengan Tuan Bikin Ramai Geli Hati. Macam Tengok Diri Sendiri!

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kelibat Bas Khas Hantar Anjing Pergi Sekolah Buat Ramai Teruja


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd