Seorang rider berkongsi video meminta pemandu memberi laluan semasa lane splitting, menggunakan isyarat tangan sebagai ganti hon.
Rider sendiri mengakui pemandu tidak melanggar undang-undang kerana laluan tengah bukan hak eksklusif motosikal.
Ramai netizen tidak bersetuju, berpendapat rider bersikap 'entitled' dan sepatutnya menunggu ruang tanpa meminta laluan.
Lane splitting tidak dilarang di Malaysia, tetapi rider mesti menunggang secara defensif, perlahan, dan berhati-hati.
Polis membenarkan lane splitting bagi mengelakkan kesesakan trafik yang lebih teruk jika motosikal beratur dalam trafik biasa.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kita pasti pernah melihat penunggang motosikal memotong di celahan kenderaan lain ketika di jalan raya, bukan? Perkara ini bukanlah sesuatu yang aneh, ia dikenali sebagai ‘lane splitting‘.
Kadangkala walaupun ruang sempit, mereka masih cuba melakukan perkara itu. Walaupun ada yang bersabar menunggu laluan, namun ada juga yang sehingga membunyikan hon mereka.
Baru-baru ini, seorang penunggang motosikal meluahkan rasa kecewa apabila pemandu ‘menghalang’ laluan antara kereta sehingga tiada ruang untuk motosikal ‘menyelit’.
Melihat video yang dikongsikan, rider itu telah menggunakan isyarat tangan untuk meminta pemandu berkenaan membuka laluan terbabit berbanding menunggu sahaja.
“Saya nak lalu tapi saya rasa serba salah jika guna hon. Jadi saya hanya tunjukkan isyarat menggunakan tangan dan berharap pemandu boleh lihat saya,” tulisnya pada video.
Selepas diberi laluan, dia sempat juga mengangkat tangan beberapa kali sebagai tanda terima kasih.
Rider Akui Pemandu Tak Salah Kerana ‘Halang’ Laluan
Pun begitu, dia berkata pemandu kereta sebenarnya tidak melakukan kesalahan kerana menghalang laluan bagi motosikal.
“Anda tidak termaktub di bawah undang-undang untuk meninggalkan ruang bagi penunggang motosikal. Laluan tengah bukan milik motosikal.
“Tapi apa yang anda akan dapat dengan menghalang motosikal?” katanya.
Dalam masa sama, rider tersebut turut mengambil kesempatan memuji pemandu di Malaysia kerana rata-ratanya sanggup bertolak ansur dan memberi laluan kepada penunggang motosikal.
Di ruangan balas, dia turut menjelaskan bahawa dia memotong di sebelah kanan kerana mahu masuk ke kanan di hadapan nanti.
Ramai Tak Setuju Rider Minta Pengguna Jalan Raya Lain Untuk Beri Laluan
Menjenguk ke ruangan balas, tindakan rider di atas tidak dipersetujui ramai kerana seolah-olah bersifat ‘entitled’.
Sebaliknya, ramai yang berpendapat penunggang motosikal perlu menunggu sahaja sehingga terdapat ruang dan tidak meminta pemandu kenderaan lain untuk memberi laluan.
Ada juga yang berkata lebih mengecewakan apabila rider tidak memberi peluang kepada kenderaan yang mahu menukar lorong.
Namun, seorang individu merasakan jalan raya di sekitar bandar Kuala Lumpur menjadi sedikit sempit selepas laluan basikal diperkenalkan.
“Jujurnya, DBKL patut cat balik laluan basikal tu menjadi laluan khas bagi motosikal dan saya pasti kemalangan ringan akibat lane splitting akan berkurangan,” katanya.
Dalam masa sama, segelintir individu turut bersetuju agar pemandu membuka sedikit laluan untuk dilalui oleh penunggang motosikal.
“Aku bagi je laluan kalau ada ruang. Kalau rider sangkut, dia naik kereta lagi teruk jem. Jalan raya bukan untuk aku sorang yang tak nak bagi jalan kat orang lain,” kata seorang wanita.
Sumber: Threads
Lane Splitting Tidak Melanggar Undang-Undang Di Malaysia
Bercakap soal undang-undang, Paultan menjelaskan bahawa tindakan lane splitting oleh penunggang motosikal tidak dilarang di Malaysia.
Memetik sumber di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, walaupun perkara itu dibenarkan, namun rider perlu menunggang motosikal secara defensif.
“Maksudnya tak boleh laju, kena berhati-hati dan mengikut arus lalu lintas,” katanya.
Tambah sumber terbabit, jika berlakunya kemalangan akibat lane splitting, penunggang motosikal biasanya akan dikenakan tindakan kerana menunggang dengan tidak berhati-hati atau berbahaya.
“Sebagai polis, kami benarkan lane splitting agar pergerakan trafik lancar serta mengurangkan bottleneck dan jem. Jika kami minta penunggang motosikal beratur dalam trafik, jem akan menjadi 100 kali lebih teruk,” ujarnya dipetik Paultan.