[Video] Aksi Satria Neo Keluar Simpang Secara Melulu Hingga Sebabkan Kemalangan Raih Kecaman
Tindakan pemandu Satria Neo yang keluar dari simpang sebelum bangunan Damansara Intan itu telah menyebabkan pertembungan antara sebuah Honda City dan Infiniti.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, tular di media sosial video yang menyaksikan satu kemalangan di Lebuhraya Sprint berhampiran pusat beli belah 3 Damansara di Damansara Intan, Petaling Jaya.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka, kelihatan kereta jenis Satria Neo berwarna kuning keluar daripada simpang sebelum bangunan Damansara Intan secara melulu sehingga memakan jalan utama di lebuh raya berkenaan.
Perkara ini sehingga menyebabkan kemalangan antara sebuah kereta jenis Honda City dan Infiniti di lokasi sama.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Pemandu Selamba ‘Reverse’ Kereta Di Jalan Raya Hanya Kerana Terlepas Simpang
Honda City Cuba Elak Dilanggar Satria, Tapi Bertembung Pula Dengan Infiniti
Dipercayai akibat tindakan refleks untuk mengelak pertembungan dengan Satria terbabit yang datang dari belah kiri, Honda City tersebut telah melanggar pula kereta Infiniti di sebelahnya.
Walaupun Satria itu tidak melanggar mana-mana kenderaan, namun dipercayai tindakannya yang memandu secara berbahaya telah mengakibatkan kemalangan terbabit.
Namun pemandu Satria dilihat terus memandu pergi sebelum dikejar oleh seorang rider penghantar makanan.
Dalam satu rakaman dashcam lain, kelihatan rider berkenaan seperti memarahi pemandu Satria dan memintanya agar memberhentikan kenderaannya.
Namun kami tidak menjumpai maklumat lanjut tentang apakah yang berlaku selepas itu dan sama ada pemandu berkenaan telah dikenakan tindakan.
View on Threads
Ramai Berang Dengan Tindakan Satria, Dakwa Pernah Sebabkan Kemalangan Serupa
Menjenguk ke ruangan komen, orang ramai berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab pemandu Satria tersebut.
Malah seorang individu mendakwa kereta sama telah menyebabkan satu lagi kemalangan serupa di tempat sama.
“Saya rasa ini kereta sama yang brek mengejut lepas tu pancung terus masuk kiri lepas flyover. Saya hampir kemalangan!” dakwa seorang lagi individu.
Dalam masa sama, beberapa individu turut memuji tindakan rider penghantar makanan tersebut kerana mengejar kereta Satria berkenaan. Mereka merasakan dia layak menerima penghargaan atas tindakannya itu.
Ramai Berpendapat Simpang Tersebut Memang Berbahaya
Pun begitu, ada juga yang merasakan simpang tersebut yang bermasalah dan perlu diubah, serta bukanlah pertama kali kenderaan memotong keluar seperti Satria terbabit.
“Saya hadapi situasi sama dekat lokasi sama! Tak faham kenapa sesetengah orang keluar laju ke jalan raya utama yang sibuk,” kata seorang wanita.
“Simpang ni sebabkan kereta beratur masa waktu kemuncak. Patut diubah jadi lorong masuk tanpa gangguan daripada kenderaan dari SPRINT,” seorang individu berkongsikan pendapatnya.
Untuk info, simpang tersebut merupakan jalan yang bersambung dari Jalan Harapan dan sering sesak pada waktu puncak.
Jalan itu boleh digunakan untuk memintas dari kawasan SS2, Petaling Jaya ke Lebuhraya SPRINT, sama ada untuk ke kawasan Damansara, Bandar Utama, TTDI atau terus ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).







Ubah Haluan Dengan Mengejut Sehingga Menyebabkan Kemalangan Boleh Dikenakan Denda Atau Penjara
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2022 memaklumkan bahawa tindakan mengubah haluan secara mengejut tanpa memberi isyarat amaran sehingga menyebabkan kecederaan parah boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Apabila kemalangan berlaku sehingga menyebabkan kecederaan parah, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan akta tersebut, pemandu yang menyebabkan kemalangan boleh dikenakan hukuman sama ada:
- Denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau;
- Penjara tidak melebihi 12 bulan.
Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Ubah Haluan Secara Tiba-tiba Boleh Didenda Hingga RM10,000
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Simpang Empat Tiada Lampu Isyarat & Garisan, Ramai Gesa Pihak Berwajib Ambil Tindakan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.