[Video] Tular Kad Klinik Kesihatan Dalam Bahasa Cina, KKM Tampil Beri Penjelasan
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya (JKWPKL&P) menjelaskan kad yang ditunjukkan dalam video tular merupakan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, tular video di media sosial yang menunjukkan satu kad Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut tukang rakam, dia telah ke sebuah klinik kesihatan sebelum menerima kad temu janji yang ditulis dalam Bahasa Cina.
Dapat dilihat keseluruhan kad temu janji tersebut tertulis dalam Bahasa Cina sebelum dicatat di bahagian tepi beberapa simptom dalam Bahasa Melayu.
“Tengok dia bagi kita bahasa Cina pula kad ni. Macam mana kita nak baca? Sehinggakan benda macam ni pun dah dipolitikkan,” katanya.
Kad Pesakit Ialah Rekod Pemantauan Pesakit Denggi, Disediakan Dalam Beberapa Bahasa
Dalam satu kenyataan, KKM menerusi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya (JKWPKL&P) menjelaskan kad yang ditunjukkan dalam video tular merupakan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina.
Menerusi siasatan, insiden tersebut didapati berlaku pada 18 Mei lalu di Klinik Kesihatan Setapak, Kuala Lumpur dan melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan disyaki kes demam denggi.
Dalam pada itu, JKWPKL&P menegaskan bahawa penggunaan rekod pemantauan pesakit secara rasmi adalah dalam bahasa Melayu.
“Namun, bagi membantu komunikasi dan pemantauan pesakit di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan kepada pesakit dan penjaga mengikut kesesuaian bahasa,” katanya.
Berlaku Kesilapan Semasa Pemberian Kad, Namun Penerangan Diberikan Dalam Bahasa Melayu
Pihaknya menjelaskan bahawa telah berlaku kesilapan pemberian kad dalam bahasa Cina kepada penjaga pesakit dengan tidak sengaja ketika itu.
Namun JKWPKL&P turut memaklumkan bahawa penerangan tentang rawatan dan pemantauan telah diberikan oleh pegawai perubatan dalam Bahasa Melayu, termasuk catatan pada kad tersebut.
Sehubungan itu, pihak JKWPKL&P memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku di institusi kesihatan tersebut.
Tambahnya lagi, langkah penambahbaikan telah diambil serta-merta agar pemberian kad pemantauan diberi dengan lebih teliti dan bersesuaian, di samping mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan.
Doktor Perjelas Kad Bahasa Lain Khas Untuk Pesakit Tak Boleh Baca Bahasa Melayu
Di ruangan balas, Pakar Perubatan Keluarga Dr Amirul Amzar, menjelaskan bahawa sememangnya terdapat bahasa yang berbeza bagi kad pemantauan berkenaan.
Katanya ia bertujuan untuk diberi kepada pesakit yang tidak boleh membaca dalam Bahasa Melayu, terutamanya mereka yang sudah berumur.
“Kad ni penting utk pesakit monitor tanda² bahaya dan pemantauan kendiri di rumah,” jelasnya.
Dalam pada itu, doktor berkenaan turut meminta orang ramai agar tidak mempolitikkan isu kesihatan di negara ini.
View on Threads
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



