“Orang Islam Memang Mesra” – Mat Saleh Puji Keramahan Rakyat Tempatan Di Kampung Malaysia
Pengembara yang dikenali sebagai Spencer Ocean itu juga dilihat telah berkunjung ke sebuah masjid dan menunaikan solat.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Mungkin ramai pelancong yang lebih kerap berkunjung ke suatu negara untuk ke tempat-tempat peranginan dan tarikan yang terkenal.
Namun ada juga mereka yang hadir bukan sekadar atas tujuan melancong, tetapi untuk betul-betul mengenali budaya dan kehidupan harian masyarakat setempat.
Di Malaysia, perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana rakyatnya yang memang terkenal dengan keramahan dan kemesraan walaupun terhadap seseorang yang baru sahaja dikenali.
Dalam tidak sedar, sikap inilah yang sebenarnya menjadi tarikan, lebih-lebih lagi buat mereka yang datang dari negara di mana penduduknya boleh dikatakan sedikit ‘dingin’.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Minah Saleh Terharu ‘Dikejar’ Penunggang Motosikal Hanya Untuk Belanja Roti & Minuman
Baca Artikel Berkaitan: Pelancong Menangis Terharu Kerana Jumpa Ramai Rakyat Malaysia Yang Baik Hati
Baca Artikel Berkaitan: “Everyone Seems Very Happy” – Ini Pendapat Mat Saleh Tentang Pros & Cons Melancong Di Malaysia
Mat Saleh Pergi Ke Batu Kurau Setelah Dihubungi Seorang Penduduk Tempatan
Baru-baru ini, seorang mat saleh yang dilihat kerap mengembara, telah berkongsi pengalamannya mendapat layanan mesra ketika berada di Malaysia.
Menerusi hantaran video di Instagram (@spencer.ocean), Spencer Ocean berkata dia telah menetap di sebuah rumah di Kampung Repoh yang terletak di Batu Kurau, Perak.
Katanya, dia pada mulanya telah dihubungi oleh Dina, pemilik tapak perkemahan Seven Beret di kampung tersebut.
“Kalau ada sesiapa bernama Dina hubungi anda di internet, hati-hati. Kerana anda mungkin akan ke kota yang hampir tiada seorang pun pelancong,” katanya secara berseloroh.
Berdasarkan ruangan info di akaun Instagram, dia telah berkunjung ke lebih 45 buah negara, dan Malaysia menjadi destinasi terkininya.
Mat Saleh Rasai Kehidupan Harian Di Kampung, Siap Singgah Ke Masjid & Bersolat
Kunjungan mat saleh itu ke kampung tersebut bukan semata-mata demi menjamu makanan tempatan yang sedap atau ke tempat tarikan.
Tetapi dia dilihat merasai sendiri kehidupan harian yang dipraktikkan di sana, termasuklah dalam menjalankan ajaran agama Islam.
Menerusi beberapa klip video, Spencer telah berkunjung ke sebuah masjid dan dilihat mendengar ceramah yang disampaikan ketika itu. Dia kelihatan saling tidak ubah seperti rakyat tempatan, memakai T-shirt, kain pelikat dan kopiah.
Malah dia juga berkata sempat cuba merasai sendiri bulan Ramadan seperti seorang Muslim. Dapat dilihat dia turut mengambil wuduk dan menunaikan solat.
Mat Saleh Dapat Jumpa Ramai Penduduk Tempatan, Puji Keramahan Orang Islam
Pengalaman Spencer di kampung itu membuatkannya rasa gembira dengan keputusan yang dibuat.
Bukan seperti kebanyakan pelancong lain, dia turut berkesempatan bertemu dan mengenali ketua kampung, seorang guru silat dan seorang ‘pemburu air terjun’ yang semuanya merupakan penduduk tempatan.
“Anda mungkin akan belajar ribuan perkara yang anda tidak akan dapat jika duduk di party hostel. Keramahan orang Islam memang penuh mesra.
“Selepas mengembara ke lebih 45 negara sekarang, saya percaya sepenuh hati, penduduknya yang membuatkan suatu tempat itu istimewa,” ujarnya.
Mat Saleh Sempat ‘Berlawan’ Dengan Guru Silat
Salah seorang individu yang ditemui oleh Spencer ketika berada di Batu Kurau ialah seorang guru silat yang dikenali sebagai Tuan Guru Zulfahmi.
Bukan sekadar berbicara bersama, malah kedua-dua individu itu turut mencuba pergerakan seni bela diri dengan satu sama lain.
“Dia (guru silat) terus dapat memahami pergerakan tubuh badan saya. Dia kenal pasti titik lemah dan mengambil kesempatan terhadapnya.
“Ketika itu saya tahu, saya akan kalah dalam pertarungan dengan lelaki tua ini,” katanya.
Spencer juga cuba bertanya dari manakah asal-usul silat yang sebenar dan diberitahu ia mempunyai akar dalam agama Islam. Zulfhami menerangkan bahawa kekuatan silat datang daripada hubungan antara manusia, alam sekitar dan Tuhan.
Ramai Kagum Spencer Kongsi Sisi Baik Rakyat Malaysia
Perkongsian oleh Spencer itu sememangnya menarik perhatian ramai rakyat Malaysia yang berterima kasih kepadanya kerana berkongsi sisi baik negara ini.
Bukan itu sahaja, ada juga yang menghargai mat saleh itu kerana menunjukkan bahawa Islam merupakan sebuah agama yang aman.
Kerana kawasan kampung itu yang begitu cantik, ada juga yang berseloroh bahawa Spencer sebenarnya telah masuk ke ‘alam bunian’.
Perkongsian oleh Spencer turut menarik minat beberapa individu yang turut mahukan pengalamannya yang sama.
“Kalau nak datang ke Malaysia dan rasai keramahan ini, anda cuma perlu tunjukkan tingkah laku baik dan hormati budaya mereka. Itu sahaja.” kata seorang lelaki.





Baca Artikel Berkaitan: “Contoh Baik Untuk Ajar Anak” – Mat Saleh Kagum Ramai Rakyat Malaysia Boleh Cakap Lebih 1 Bahasa
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Mat Saleh Dari Scotland Anggap Pulau Tioman Lagi Best Dari Pulau Maldives
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



