Now Reading
Krisis Sebenar Sedang Bermula? Pegawai PMO Beri Amaran Kepada Rakyat Malaysia

Krisis Sebenar Sedang Bermula? Pegawai PMO Beri Amaran Kepada Rakyat Malaysia

Dengan bahan mentah semakin berkurangan, terdapat kemungkinan kekurangan barangan harian boleh mula berlaku seawal Jun.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Rakyat Malaysia mungkin bakal berdepan gangguan bekalan barangan harian selain kenaikan harga minyak, apabila krisis minyak global mula memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia.

Situasi ini berpotensi menyebabkan sesetengah produk menjadi sukar didapati dan lebih mahal dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, menegaskan bahawa walaupun isu bekalan bahan api sering menjadi tajuk utama, kebimbangan lebih besar sebenarnya terletak pada kekurangan petrokimia, yang menjadi asas kepada pelbagai produk digunakan dalam kehidupan seharian.

“Keseluruhan ekonomi kita bergantung kepada petrokimia lebih daripada yang disedari ramai orang. Plastik, nilon, poliester, malah barangan seperti kosmetik, produk kebersihan, lampin bayi dan berus gigi semuanya datang daripada bahan ini,” katanya ketika program Breakfast Grille yang disiarkan stesen radio BFM 89.9 pada Rabu lalu.

Bagi pengguna, Nurhisham berkata situasi ini mungkin akan mula dirasai secara perlahan-lahan tetapi jelas, termasuk barangan yang semakin sukar didapati, harga yang meningkat, dan kesan terhadap pekerjaan serta pendapatan seawal Jun ini.

“Kita mungkin mula melihat pengurangan pengeluaran, pengurangan kerja lebih masa, dan akhirnya tekanan terhadap pendapatan. Ia tidak berlaku dalam sekelip mata, tetapi akan semakin membina,” katanya memberi amaran.

Kebimbangan utama ketika ini adalah penyusutan inventori apabila kebanyakan syarikat hanya mempunyai stok bahan mentah untuk sekitar dua bulan.

Nurhisham berkata walaupun syarikat besar mungkin masih mempunyai stok simpanan untuk bertahan sementara waktu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini sudah mula berdepan tekanan akibat bekalan bahan mentah yang semakin berkurangan.

“Ada PKS yang hanya mempunyai baki bekalan untuk satu hingga dua minggu sahaja. Apabila ia habis, gangguan pengeluaran tidak dapat dielakkan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa situasi ini mempunyai persamaan yang membimbangkan dengan fasa awal pandemik Covid-19, apabila tanda-tanda amaran sudah mula kelihatan tetapi kehidupan harian masyarakat ketika itu masih berjalan seperti biasa.

“Saya rasa seperti kita berada pada Februari 2020, semuanya nampak normal, tetapi krisis sedang terbina secara senyap.”

Nurhisham mengulas mengenai situasi di Asia Barat susulan gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran gagal dicapai.

Beliau menjelaskan bahawa perang yang masih berterusan itu bukan sahaja menyebabkan penghantaran melalui Selat Hormuz terganggu, malah turut menjejaskan pengeluaran minyak di Asia Barat.

Disebabkan minyak tidak dapat dihantar melalui Selat Hormuz, pengeluar terpaksa menutup telaga minyak menerusi proses yang dikenali sebagai “shut in” — satu proses yang menurutnya jauh lebih rumit daripada sekadar menghentikan bekalan minyak biasa.

“Apabila telaga ditutup, ia sebenarnya dimeterai. Untuk menghidupkannya semula bukan sesuatu yang segera, ia boleh mengambil sekurang-kurangnya tiga bulan, kadangkala lebih lama bergantung kepada keadaan,” katanya.

Beliau menambah bahawa dianggarkan sekitar 12 hingga 13 juta tong pengeluaran minyak sehari kini berada di luar operasi.

Walaupun konflik berakhir hari ini sekalipun, Nurhisham memberi amaran bahawa sehingga tiga perempat pengeluaran minyak di Asia Barat masih tidak dapat diakses untuk beberapa bulan.

Situasi itu turut diburukkan lagi dengan lambakan barangan terkandas, apabila ribuan kapal tersadai di laluan perkapalan utama yang juga memerlukan masa berbulan-bulan untuk diselesaikan.

“Secara realitinya, kita melihat sekurang-kurangnya enam bulan selepas konflik tamat sebelum bekalan minyak kembali normal, dan garis masa itu pun masih belum bermula lagi,” katanya sambil menambah bahawa penstabilan penuh mungkin hanya berlaku menjelang penghujung tahun atau sehingga 2027.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd