“Tahfiz Bukan Tempat Pelupusan Sisa Makanan” – Lelaki Tegur Sikap Orang Ramai Hulur Sedekah Ke Madrasah
Dedah lelaki itu, dia bersama rakan tahfiz yang lain pernah menerima nasi minyak dan lauk sambal ayam yang sudah basi daripada individu yang hulur sedekah makanan ke madrasahnya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila berniaga atau menganjurkan sesebuah majlis, memang kadangkala kita tak dapat nak menganggarkan jumlah makanan yang perlu disediakan. Sebagai contoh untuk peniaga, ada masanya kedai dibanjiri dengan kunjungan pembeli yang ramai, tetapi ada masanya jualan tidak berapa laku.
Manakala kalau nak dikaitkan dengan situasi sekarang pula, ramai yang sedang menganjurkan rumah terbuka bersempena dengan Aidilfitri hingga menyebabkan segelintir berdepan dengan isu lebihan makanan.
Kebiasaannya, lebihan makanan ini akan diderma kepada jiran taman perumahan atau pelajar-pelajar tahfiz berdekatan.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] “Kenapa Tak Sedekah?” – Peniaga Bazar Buang Lebihan Air Balang Tidak Terjual Cetus Perdebatan
Lelaki Minta Jangan Sedekah Makanan Lebihan Kepada Madrasah
Walaupun sedekah merupakan satu amalan yang mulia, namun menderma lebihan makanan kepada pelajar tahfiz mungkin bukan satu pilihan yang baik.
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Threads apabila seorang lelaki dikenali sebagai Ikhwan menasihati orang ramai agar tidak memberikan sisa makanan sesebuah kenduri kepada pelajar di madrasah.
Jelas lelaki yang juga merupakan bekas pelajar tahfiz, dia pernah berasa luluh hati apabila menerima sumbangan nasi minyak dan lauk ayam merah yang sudah basi sebelum ini. Jelasnya, dia bersama rakan lain pada ketika itu berasa kecewa kerana dijamu dengan makanan dalam keadaan sebegitu rupa.
“Tak kisahlah banyak mana pun atau niat korang tak nak membazir ke tolong jangan buat (sedekah kepada pelajar tahfiz)!
“Aku pernah dapat sedekah nasi minyak satu tong dan lauk pauk ayam merah. Kau tahu perasaan budak tahfiz bila dapat makanan ni? Happy gila! Rasa macam nak lompat. Bayangkan kitorang masa tu makan tempe je. Tapi bila buka bau dah nak basi. Memang kecewa habis,” luahnya.
Makanan Yang Rosak Boleh Memudaratkan Kesihatan Pelajar Tahfiz
Menurut Ikhwan, mungkin makanan tersebut masih dalam keadaan baik semasa dalam proses pembungkusan untuk dihantar ke madrasah. Namun makanan-makanan itu dipercayai rosak selepas beberapa jam tempoh itu berlalu.
“Ini pendapat saya. Kadang-kadang makanan lebihan kita check ni masih elok. Tapi bila sampai basi. Bagi saya isu ni bukan isu kecil. Isu ini bermain dengan makanan dan kesihatan,” katanya.
Malah dia juga berkata pelajar-pelajar tahfiz ini hanya mampu mengeluh kerana tidak sampai hati membuat aduan terhadap individu yang menghulurkan sedekah.
“Nak mengadu pun tak boleh, kadang-kadang kitaorang yang rasa bersalah. Kalau tak makan ni tak sampai pahala dekat si pemberi. Kalau makanan tu elok makan je la macam biasa,” tambahnya lagi.
View on Threads
Ramai Ingatkan Pelajar Tahfiz Bukan ‘Tempat Pelupusan Sisa Makanan’
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata orang ramai bersetuju dengan pandangan lelaki tersebut tentang pengagihan makanan lebihan kepada pelajar tahfiz.
“Betul. Kalau berniat nak bagi dekat tahfiz, bagi awal supaya kualiti makanan terjaga,” kata seorang lelaki.
Malah ada juga individu yang berkongsi kisah pelajar tahfiz yang menerima makanan sudah rosak sebelum ini.
“Adik-adik saya bekas tahfiz. Dulu orang selalu sedekah lauk kenduri, tapi bila sampai kebanyakannya tinggal sisa, tulang yang dah berbuih. Budak-budak yang tadi teruja dah jadi sedih. Lepas tu nak kena bawa lauk tu untuk buang pula. Bertambah pekerjaan.
“Jadi Mudir tahfiz buat keputusan untuk hentikan perkara tu, dia beritahu awal-awal kalau nak bagi sedekah dekat budak (tahfiz) kena asingkan dulu lepas masak, bukan bagi sisa. Mereka bukan tempat buangan sisa makanan,” ujar seorang wanita.
Sementara itu, ramai juga berpandangan adalah lebih baik untuk menjemput pelajar tahfiz sebagai tetamu berbanding memberi makanan selepas majlis selesai.
“Buat open house, sama ada jemput budak-budak tahfiz ke rumah atau hantar makanan sebelum majlis bermula. Mereka pun tetamu juga, bukannya tempat lupuskan lauk tak habis,” kata seorang pengguna Threads.







Haram Infak Barangan Atau Makanan Yang Sudah Rosak Kepada Orang Lain
Menerusi semakan kami, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada menjelaskan bahawa hukum menginfak barangan yang tidak elok adalah makruh yang mana amalan tersebut tidak dilimpahkan ganjaran pahala.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِآخِذِيهِ إِلَّا أَن تُغْمِضُوا فِيهِ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”
[Surah al-Baqarah (267)]
Dalam pada itu, sekiranya barangan yang ingin diinfakkan sudah rosak dan basi, serta tidak boleh dimanfaatkan lagi maka haram hukumnya kerana ia merupakan satu bentuk kezaliman dan penganiayaan ke atas orang lain.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Terkedu Dimarahi Gelandangan Ketika Ingin Sedekah Makanan
Baca Artikel Berkaitan: “Serious Best Tak Tipu” – Ramai Terinspirasi Dengan Tindakan Sedekah Makan Buat Gelandangan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



