Now Reading
[Video] Penjual Makanan Malaysia Hidangkan Maggi Goreng Di Nottingham

[Video] Penjual Makanan Malaysia Hidangkan Maggi Goreng Di Nottingham

Syiok Lah menarik pelanggan dalam kalangan penduduk tempatan British dan Asia, serta rakyat Malaysia yang merindui cita rasa masakan kampung halaman.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


“Syiok Lah” tarik perhatian penduduk tempatan dan komuniti Asia termasuk rakyat Malaysia yang rindu masakan tanah air.

Seorang penjual makanan jalanan dari Malaysia di United Kingdom tular baru-baru ini selepas berkongsi video gaya POV dirinya menyediakan maggi goreng, salah satu hidangan kegemaran rakyat Malaysia, di Nottingham.

Dalam video tersebut, Kent Hau menyediakan hidangan Maggi goreng ayam untuk pelanggan, lengkap dengan bahan-bahan biasa seperti daun bawang, bawang goreng dan cili merah yang menambah rasa lebih ‘kick’.

Hau, yang berasal dari Kuala Lumpur, telah menetap di UK hampir 20 tahun sebelum memulakan perniagaan food truck miliknya, Syiok Lah pada tahun 2021.

Sejak itu, Syiok Lah pantas menjadi lokasi pilihan bagi penduduk tempatan dan pelancong untuk menikmati makanan jalanan Malaysia yang autentik.

Selain maggi goreng, trak makanan ini juga terkenal dengan nasi lemak yang menjadi tarikan bukan sahaja kepada penduduk tempatan British dan Asia, tetapi juga pelajar Malaysia yang merindui cita rasa kampung halaman.

Satu lagi menu popular ialah bao bun — roti lembut berinti ayam berempah yang disiram sos, memberikan kombinasi rasa yang seimbang dan menyelerakan.

Walaupun kebiasaannya beroperasi di sekitar Nottingham, Hau juga aktif menyertai acara pop-up dan festival tempatan.

Tahun lalu sahaja, Syiok Lah telah menyertai lebih 70 acara dan lima festival, dengan sambal mereka menjadi antara tarikan utama.

Dari Reka Dalaman Ke Dunia Makanan

Menariknya, Hau tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kulinari.

Sebelum ini, beliau bekerja sebagai pereka dalaman dan kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina dan reka bentuk di Nottingham.

Selepas tamat pengajian, beliau menghabiskan hampir sedekad sebagai Project Manager dalam bidang CGI untuk seni bina dan reka dalaman.

Namun, segalanya berubah apabila pandemik COVID-19 melanda—ketika itulah beliau mula merindui makanan Malaysia.

Beliau kemudian menghubungi ibunya untuk belajar memasak. Dari situ, beliau mula menjual nasi lemak secara kecil-kecilan, dan setiap kali jualan memang akan habis terjual.

Apabila sekatan pergerakan ditarik balik, beliau mengembangkan perniagaan daripada penghantaran sahaja kepada penyertaan dalam acara pop-up, festival dan pasar tempatan, sekali gus meluaskan lagi pelanggan.

“Dulu saya bina ruang dalaman. Sekarang saya bina rasa, bina komuniti, dan bina sebahagian Malaysia di UK,” katanya menerusi satu perkongsian di Instagram.

Impian Buka Restoran Malaysia

Kini, Hau menyimpan impian untuk membuka restoran makanan Malaysia yang autentik di Nottingham suatu hari nanti dan rata-rata rakyat Malaysia pastinya menyokong usaha tersebut.

Kisah ini bukan sahaja membuktikan bahawa makanan mampu merapatkan jurang budaya, tetapi juga bagaimana rasa ‘rindu kampung halaman’ boleh menjadi inspirasi untuk membina sesuatu yang lebih besar di perantauan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd