Now Reading
“Pastikan Pendidikan Terbela” – MARA Ambil 2 Anak Mangsa Kemalangan Pemandu Mabuk Sebagai Anak Angkat

“Pastikan Pendidikan Terbela” – MARA Ambil 2 Anak Mangsa Kemalangan Pemandu Mabuk Sebagai Anak Angkat

Dua anak kepada Allahyarham Amirul Hafiz akan diberi elaun bulanan sebanyak RM120 seorang ketika di sekolah rendah dan RM150 seorang apabila melangkah ke sekolah menengah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 29 Mac lalu, tular satu insiden penunggang motosikal, Amirul Hafiz bin Omar, 33, yang dirempuh sebuah kereta jenis Honda City sehingga maut di Klang, Selangor.

Pemandu kereta yang berusia 20-an didapati di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah sewaktu kemalangan berlaku.

Sehubungan itu, pemergian Allahyarham Amirul meninggalkan isteri bersama dua orang anak yang sedang bersekolah rendah, dan seorang yang baru sahaja berusia dua tahun.

Baca Artikel Berkaitan: Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Pemandu Mabuk, Ramai Gesa Undang-undang Lebih Ketat

Baca Artikel Berkaitan: Kes Pemandu Mabuk: Arwah Pernah Berjenaka Nak ‘Masuk’ TV, Ibu Mangsa Reda Pemergian Anak

MARA Jadikan Aqif & Atif Sebagai Anak Angkat

Terbaharu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menjadikan kedua-dua anak arwah yang bersekolah iaitu Muhammad Aqif Amsyar, 9, dan Muhammad Atif Izz Rayqal, 7, sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Berita itu dimaklumkan oleh Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, dalam kenyataan di akaun Facebook semalam (31 Mac).

Katanya, keputusan itu merupakan satu komitmen jangka panjang agar pendidikan dua beradik itu terus terbela sehingga ke peringkat sekolah menengah.

Berita gembira itu telah dimaklumkan oleh Asyraf Wajdi kepada ibu arwah yang dikenali sebagai Puan Faridah menerusi satu panggilan video.

“Dalam nada penuh sebak, beliau berkongsi bahawa arwah adalah seorang anak yang baik dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga.

“Kehilangan ini bukan sekadar kehilangan seorang insan tetapi hilangnya tempat bergantung buat anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Akan Diberi Elaun Bulanan Hingga RM150 Sepanjang Persekolahan

Berdasarkan hantarannya, Aqif dan Atif akan diberikan bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang ketika berada di sekolah rendah, yang kemudiannya ditingkatkan kepada RM150 seorang apabila melangkah ke sekolah menengah.

Pihak MARA turut menjalankan pemantuan berterusan sehingga kedua-dua mereka tamat persekolahan.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut mengemukakan ucapan terima kasih buat Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff dan CEO Yayasan Pelajaran MARA, Faisalludin bin Mohamat Yusuff kerana telah menziarah dan menghulurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham Amirul.

“Kepada adik Aqif dan Atif, teruslah kuat dan tabah. Belajarlah bersungguh-sungguh dan jadilah kebanggaan keluarga. InsyaAllah, MARA akan sentiasa bersama kalian dalam membina masa depan yang lebih baik,” ujarnya.

Ramai Pihak Gesa Tindakan Tegas Dikenakan Terhadap Pemandu Mabuk Hingga Sebabkan Kematian

Kemalangan maut yang menimpa Allahyarham Amirul telah menyebabkan banyak pihak menggesa agar tindakan tegas dikenakan terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian.

Malah, blok pembangkang turut menggesa kerajaan agar mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji hukuman mati terhadap golongan tersebut.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berpendapat bahawa hukuman sedia ada gagal memberi kesan pencegahan memandangkan kejadian sama terus berulang.

Dalam masa sama, pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan sedang merangka cadangan bagi pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Cadangan pindaan itu mewajibkan individu yang memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol agar membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain menjalani hukuman penjara.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Pemandu Mabuk Sebabkan Kematian: Pembangkang Desak Kerajaan Kaji Hukuman Mati

Baca Artikel Berkaitan: Hukuman Penjara Sahaja Tak Cukup, Ustaz Wadi Gesa Kerajaan Perkasa Undang-undang Susulan Kes Pemandu Mabuk


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd